Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Musibah sebagai kifarat penghapusan dosa manusia

Written By JOM JALAN on 9/01/05 | Ahad, Januari 09, 2005

Taqwil al-Quran: Musibah sebagai kifarat penghapusan dosa manusia
Bersama Prof Madya Dr Abdul Rashid Ahmad


"(PAHALA daripada Allah) itu bukanlah menurut angan-angan kamu yang kosong dan tidak (pula) menurut angan-angan Ahli Kitab. Se siapa yang mengerjakan kejahatan nescaya akan diberi pembalasan dengan kejahatan itu dan dia tidak mendapat perlindungan dan tidak (pula) penolong baginya selain daripada Allah. Sesiapa yang mengerjakan amal baik, sama ada lelaki mahu pun wanita, sedangkan dia orang yang beriman, maka mereka itu masuk ke dalam syurga dan mereka tidak dianiaya walau sedikit pun." – (An-Nisa’ ayat 123 dan 124)



Menerusi ayat di atas, Allah menggariskan prinsip utama mengenai amalan dan balasannya. Sesungguhnya, ukuran pahala dan dosa, balasan baik dan jahat bagi seseorang, tidaklah terhenti kepada angan-angannya.

Tetapi ia dirujukkan kepada satu kaedah dan prinsip yang ditetapkan, satu peraturan yang tidak berubah dan ia adalah perundangan yang adil dan saksama, perundangan yang meletakkan semua orang sama rata di hadapan-Nya.

Berdasarkan prinsip itu, setiap yang melakukan kejahatan akan menerima balasan jahatnya. Dan sebaliknya orang yang melakukan kebaikan akan menerima balasan baiknya tanpa sebarang pilih kasih dan berat sebelah.

Dalam ayat tadi dengan jelas dan terang Allah menafikan balasan baik kepada kalangan musyrikin dan Ahli Kitab berdasarkan angan-angan mereka kerana kalangan musyrikin Quraisy berangan-angan serta mengharapkan berhala sembahan mereka akan menolong mereka di akhirat nanti, manakala Ahli Kitab, iaitu kaum Yahudi dan Nasrani pula mendakwa bahawa merekalah anak dan kekasih Allah.

Dakwaan mereka itu tercatat dalam firman Allah yang bermaksud: "Orang Yahudi dan Nasrani mengatakan: "Kami ini adalah anak-anak Allah dan kekasih-Nya. Katakanlah: Maka mengapa Allah menyeksa kamu kerana dosa-dosamu? (Kamu bukanlah anak-anak Allah dan kekasih-Nya) tetapi kamu adalah manusia (biasa) di antara orang yang diciptakan-Nya." – (Al-Maidah, ayat 18)

Dalam ayat lain Allah berfirman, maksudnya: "Dan mereka berkata: "Kami sekali-kali tidak akan disentuh oleh api neraka, kecuali selama beberapa hari saja. Katakanlah: "Sudahkah kamu menerima janji daripada Allah sehingga Allah tidak akan memungkiri janji-Nya ataukah kamu hanya mengatakan terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui?" – (Al-Baqarah, ayat 80)

Demikianlah impian Yahudi dan Nasrani. Dan memang sejak dulu lagi kaum Yahudi sentiasa mendakwa bahawa merekalah bangsa pilihan Allah di dunia ini. Dan boleh jadi sesetengah umat Islam terlintas di hatinya bahawa merekalah golongan yang terbaik. Namun, walau apapun dakwaan dan harapan mereka itu, Allah tetap mengatasi segala-galanya.

Sesungguhnya nas dan ayat al-Quran di atas adalah sebesar-besar pendorong kepada semua pihak agar beramal dan bekerja keras untuk mencapai kebahagiaan di sisi Allah, bukan hanya sekadar berangan-angan. Dorongan dan galakan yang menjurus ke arah satu nilai dan prinsip yang tetap iaitu pengabdian diri sepenuhnya kepada Allah serta iltizam dan komited dalam mengamalkan ajaran Islam yang sebenar.

Juga dalam ayat di atas, Allah berfirman, maksudnya: "Sesiapa yang mengerjakan kejahatan, nescaya akan diberi pembalasan dengan kejahatan itu."

Sesudah mendengar firman Allah itu, sahabat-sahabat Nabi dan umat Islam lainnya berasa keberatan dan susah hati kerana mereka mengetahui tabiat nafsu yang ada dalam diri manusia tidak terlepas daripada berbuat kejahatan sebagaimana baik pun orang melakukan kebaikan.

Kalangan sahabat menyedari hakikat diri mereka yang tidak sunyi daripada kekurangan dan kelemahan yang disebabkannya akan terlanjur melakukan kejahatan apabila kadang kala dikuasai nafsu sedangkan setiap kejahatan akan dibalas. Inilah yang menyebabkan mereka gementar dan takut menghadapi balasan itu.

Demikianlah keistimewaan kalangan sahabat yang boleh menghayati balasan akhirat yang bakal diterima seolah-olah benar-benar dirasai dalam hidupnya di dunia sekarang.

Dalam konteks ini, Al-Imam Ahmad meriwayatkan sebuah hadis daripada Abu Bakar bin Abu Zuhair, katanya: "Diceritakan padaku bahawa Abu Bakar as-Siddik berkata: "Wahai Rasulullah! Bagaimana hendak melepaskan diri daripada ayat ini... di mana setiap kejahatan yang kita lakukan akan dibalas?"

Lantas Rasulullah menjawab: "Mudah-mudahan Allah mengampunkan dosamu hai Abu Bakar. Tidakkah engkau pernah sakit? Tidakkah engkau pernah keletihan? Tidakkah engkau pernah dukacita? Tidakkah pernah engkau ditimpa bencana? Jawab Abu Bakar: "Ya, pernah mengalami semua itu." Lalu baginda bersabda: "Maka itulah balasannya terhadap kejahatan itu."

Dalam satu riwayat lain daripada Abu Hurairah, katanya: "Apabila turun ayat tadi, orang Islam berasa berat. Lalu baginda bersabda: "Bersikap luruslah dan hampirkanlah dirimu kepada Allah. Sesungguhnya pada setiap apa yang menimpa seorang Muslim itu adalah sebagai kifarat (denda untuk menghapuskan dosa) sehingga sebarang duri yang mencucuk kaki dan sebarang bahaya yang menimpanya."

Daripada dua hadis di atas, dapatlah disimpulkan bahawa balasan terhadap kejahatan itu kadangkala dikenakan di dunia ini dalam bentuk sakit, letih, bala dan seumpamanya.

Tidaklah semua kejahatan itu dibalas di akhirat. Oleh itu, apabila sakit dan ditimpa bala hendaklah kita bersabar kerana itu satu daripada cara penghapusan dosa daripada Allah.

Seterusnya untuk melahirkan keadilan-Nya, Allah menegaskan bahawa sesiapa mengerjakan amal salih, sama ada lelaki mahupun wanita, asalkan mereka benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat, tentu akan dapat masuk syurga. Mereka tidak akan dizalimi sekalipun amalannya hanya sedikit.

Kesimpulannya, jalan menuju ke kebahagiaan sebenarnya adalah amalan baik yang disertai dengan iman manakala jalan ke neraka pula perbuatan jahat dan buruk. Tiada gunanya sebarang dakwaan sekiranya tidak mengikuti syarat Allah dengan sebenar-benarnya.