Tetamu BM: Air mata menitis selepas dipintal angin
DUNIA mengiktiraf kejayaan Datin Paduka Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir, merentasi benua sejuk Antartika dalam tempoh 22 hari. Kejayaannya bukan saja mencatat rekod sebagai wanita Malaysia dan Asia pertama berbuat demikian, malah beliau adalah wanita terpantas berjaya merentasi Kutub Selatan secara solo.
Kejayaannya juga menambah senarai wira negara yang menakluki ‘puncak’ sasaran masing-masing.
Namun, tidak ramai di antara kita yang dapat merasai kepayahannya mengharungi ekspedisi sejauh 1,100 kilometer dengan kaedah ski di persekitaran sepi dan sejuk dengan suhu jauh di bawah paras beku.
Sharifah Mazlina menceritakan pengalaman pahit manis sepanjang ekspedisinya itu beliau di Antartika kepada wartawan BERITA MINGGU, Hafizah Iszahanid untuk dikongsi bersama.
Impian menjadi kenyataan
SYUKUR Alhamdulillah. Apa yang saya impikan selama ini menjadi kenyataan. Tepat jam 10.45 malam pada 29 Disember lalu, tercatatlah suatu kenangan yang cukup manis. Bukan saja kerana saya menjadi wanita Malaysia pertama merentasi Antartika secara solo tetapi juga wanita Asia pertama berbuat demikian.
Meskipun pada awalnya saya menjangkakan akan menamatkan ekspedisi merentas Kutub Selatan sejauh 1,100 kilometer itu dalam masa 30 hari, saya berjaya menamatkannya dalam masa 22 hari.
Saya sangat bersyukur kepada Tuhan kerana akhirnya dengan izin-Nya, saya dapat juga menyempurnakan ekspedisi ini dalam masa yang lebih cepat daripada yang dijangkakan walaupun berhadapan dengan masalah angin dan kecederaan.
Walaupun lutut cedera dan kesakitan masih terasa, saya harus meneruskan juga cabaran ini kerana ia bukan sesuatu yang boleh dibuat sambil lewa. Sakit selagi boleh ditahan, saya kena tahan. Waktu itu saya banyak bergantung pada ubat penahan sakit, bandage dan knee guard.
Saya juga mengubah cara sailing supaya dapat mengelak bebanan yang banyak pada lutut yang sakit. Kalau sakit sangat, saya berhenti sekejap, sembur pain killer spray dan begitulah seterusnya. Pada waktu malam, saya akan tuam dengan heat pack dan sapu ameltz atau apa saja yang boleh kurangkan sakit.
Berjalan 80 kilometer sehari
SEPANJANG ekspedisi, saya menghabiskan perjalanan sejauh 70 ke 80 kilometer sehari tapi pada hari ke-20, saya berjaya bergerak 134 km dalam tempoh 11 jam. Hari itu adalah yang terbaik dan manis untuk saya kenang.
Bagaimana saya dapat habiskan hingga 134 km? Mudah saja, dalam waktu berjalan, saya sudah nampak Patriot Hills dari jauh. Setiap kali saya berasa letih, saya akan berkata kepada diri sendiri, sikit lagi, sikit lagi, begitulah seterusnya sehingga saya keletihan dan perlu berehat.
Satu lagi faktor yang mempercepatkan langkah, apabila saya dimaklumkan pihak base camp saya akan memasuki satu lagi kawasan tiada angin. Mengingatkan kejadian tidak bergerak pada minggu pertama semasa memulakan ekspedisi di kawasan seawal South Pole membuatkan saya bimbang akan terlewat untuk menamatkan cabaran ini kerana saya tahu jika tiada angin selalunya akan berpanjangan hingga 3-4 hari dan boleh hingga berminggu.
Tarikh penerbangan saya juga sudah ditetapkan 4 Januari. Jadi semua itu membuat saya bersemangat untuk sampai ke Hercules Inlet lebih awal.
Terseret angin hingga 50 kilometer
JIKA ditanya dari sudut formula psikologi, saya sebenarnya akan memastikan mental dan emosi tidak lemah atau terganggu. Memang saya melalui masa menjerihkan terutama pada hari ke-17, waktu itu untuk makan pun saya tidak lagi berselera hingga terpaksa makan dengan menelan makanan yang ditolak masuk dengan air glukos.
Tapi hari itulah saya terseret oleh angin sejauh 50 km apabila terjatuh dan sail saya ditarik angin. Lutut saya sangat sakit. saya menangis meminta tolong sendirian.
Saya tahu, saya tidak boleh lagi tidak makan kerana itu sumber tenaga. Saya harus menguatkan mental dan emosi bagi membantu fizikal saya bertenaga untuk meneruskan cabaran. Saya juga buat mental training setiap kali sebelum tidur, buat penilaian diri setiap hari dan melihat kemampuan diri. Saya mulakan hari dengan berzikir kepada Allah dan memohon doa supaya sentiasa tenang menghadapi cabaran.
Sebenarnya walau di mana pun berada, kita harus sedar bahawa Allah Maha Berkuasa dan menentukan segala-galanya. Kita hanya berikhtiar dan bertawakal.
Berada di Kutub Selatan dengan cuaca sejuk bukan alasan untuk tidak menunaikan solat. Selama di sana, tiada kesukaran untuk solat sama sekali. Malah saya merasakan kemudahan yang Allah beri kepada musafir dan pengembara seperti saya. Saya tunaikan solat secara jamak dan wuduk dengan tayamum.
Khemah saya ada tiga bahagian. Khemah depan untuk memasak, khemah tengah untuk tidur dan khemah belakang saya gunakan untuk dapatkan salji bersih untuk tayamum. Semuanya mudah, cuma saya sembahyang duduk. Solat subuh seawal pagi, Zuhur dan asar ketika berhenti makan tengah hari atau Asar sembahyang selepas tamat perjalanan. Maghrib dan Isyak selepas makan malam.
Cabaran hari ke-20
HARI yang menguji saya adalah yang ke-20, waktu tahap sejuk di bawah beku -47 darjah Celsius. Walaupun waktu itu matahari memancar tetapi suhu sangat sejuk. Saya sentiasa menggigil. Saya memakai lima lapis baju tanpa berani membuka sarung tangan walaupun sekejap kerana kesejukan yang sejuk menggigit sehingga dengan sekelip mata terasa beku dan kebas.
Waktu itu saya sudah tidak dapat merasa jari tangan kiri. Sakitnya tak terhingga dan jari saya bertukar menjadi biru. Saya cuba gerakkan jari kelingking itu tapi tidak berjaya sebaliknya jari terasa beku dan terlalu kebas. Ini sangat bahaya boleh menjadi frost bite. Pantas saya masukkan jari kelingking ke dalam mulut sebelum mencari glove dan dapatkan heat pack.
Sesuatu yang penting untuk elak frost bite dengan menggunakan pakaian yang sesuai mengikut cuaca dan suhu. Kalau pakaian terlalu tebal dan lapisan yang tidak betul hingga menyebabkan contohnya tapak kaki berpeluh dalam stokin yang terlalu tebal (sebab lapisan dan stokin yang tidak sesuai boleh membuatkan kita berpeluh dan peluh akan bertukar menjadi kristal ais dalam kasut). Kelembapan itu akan buat kaki sangat sejuk dan kebas dan frost bite mudah terjadi.
Pada waktu cuaca yang agak selesa, saya tidur dalam sleeping bag dengan baju yang betul supaya ia dapat membantu pengaliran udara panas dan mengatasi kesejukan yang amat sangat. Semasa sailing saya pastikan tiada anggota badan terdedah pada suhu yang ekstrem ini.
Jangan fikir semua ini mudah kerana tiga rakyat Australia menarik diri selepas empat hari memulakan ekspedisi manakala seorang lelaki Norway mengalah selepas berjalan 300 km kerana masalah kesejukan dan kecederaan.
Buang air jauh dari khemah
MUNGKIN ramai yang mahu tahu pengalaman saya sebagai seorang wanita dari segi kebersihan dan sebagainya.
Untuk membuang air besar dan kecil ketika di base camp tiada masalah sebab ada tandas disediakan tetapi semasa ekspedisi, saya boleh membuang najis di mana saja asalkan jauh dari tapak khemah.
Untuk buang air besar, saya perlu membawa penyodok dan gali lubang sedalam yang saya fikirkan sesuai. Kalau dalam khemah ketika tidur dan terasa ingin buang air kecil, saya ada ‘potee’ alat membuang air kecil seperti di hospital. Selepas itu saya hanya perlu buat lubang kecil di luar khemah dan jiruskan ke dalam lubang itu dan air kencing akan terus meresap dalam salji.
Jika berkhemah lama, saya boleh buat separuh igloo untuk melindungi dari tiupan angin atau gunakan shelter mini yang ada saya bawa bersama untuk proses membuang air besar.
Semuanya ini agak kekok awalnya tapi lama kelamaan ia menjadi biasa dan mudah. Saya bersihkan diri dengan bawa bekalan air panas untuk dibancuh dengan salji untuk menjadikannya suam dan boleh untuk mencuci atau guna tisu basah, tisu dan cuci semula dalam khemah dengan menggunakan air suam. Semua sampah harus dikumpul dan dibawa balik ke base camp.
Rindukan nasi lemak
SELEPAS menamatkan ekspedisi 22 hari ini, saya mahu pulang ke Malaysia secepat mungkin. Saya rindukan nasi lemak panas dan makanan segar seperti ikan dan sayur tetapi terpaksa menunggu kira-kira dua minggu lagi untuk pulang ke Malaysia.
Apapun, selepas ini saya mahu berehat dulu. Saya teramat letih setelah selesai ekspedisi dan dinasihatkan tidur secukupnya untuk mendapatkan kembali tenaga yang hilang. Bagaimanapun saya bersyukur kerana doktor mendapati tidak ada tanda saya mendapat penyakit akibat kesejukan atau frostbite. Doakan saya agar selamat pulang ke tanah air tercinta.
Saya mendapat pelbagai tawaran antaranya ekspedisi ke Kutub Utara. Biasanya apabila sudah sampai ke Kutub Selatan, seseorang itu akan juga ke Kutub Utara. Saya teringin juga, tapi saya mahu memikirkannya dulu dan tengoklah macam mana keadaan kekuatan fizikal dan kesihatan.
Buat masa ini saya hanya mahu berehat dan berkongsi pengalaman yang telah saya lalui dengan anda semua. Saya mahu pengalaman saya menjadi iktibar kepada semua orang bahawa kita boleh lakukan apa saja. Malaysia Boleh!
PROFIL
Nama penuh:
Datin Paduka Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir
Asal : Johor
Usia : 39 tahun
Pendidikan : Universiti McGill, Montreal Kanada
Jawatan : Pensyarah Psikologi Sukan, Fakulti Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi Mara (UiTM