Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Orang Islam kebumikan mangsa Kristian di selatan India

Written By JOM JALAN on 9/01/05 | Ahad, Januari 09, 2005

Teropong Riong: Orang Islam kebumikan mangsa Kristian di selatan India
oleh Munsyi


AKHBAR on-line, India, The Indian Express, 30 Disember lalu, memaparkan laporan dari selatan bertajuk “Caring has no religion, ask this Jamaat chief in a Cuddalore corner” (Keprihatinan tidak kira agama, lihatlah keikhlasan pemimpin tabligh ini di Cuddalore). Tajuk kecil laporan itu pula berbunyi: “Jemaah masjid bekerja habis-habisan menolong mangsa Hindu dan Kristian.” Laporan itu mendedahkan bagaimana jemaah sebuah masjid di kawasan perkampungan nelayan Hindu dan Kristian itu terselamat kerana berada di dalamnya sedang ramai nelayan dihanyutkan tsunami.



MUNSYI: Tentunya hidup kita lebih mulia dengan melakukan kebajikan. Kisah dibawa The Indian Express itu sungguh menyentuh jiwa dan menunjukkan betapa umat Islam, penganut Hindu dan Kristian boleh hidup saling bantu membantu dan dalam suasana aman dan sejahtera.

Beberapa minit selepas ombak besar melanda dan memusnahkan kampung nelayan Pudukuppam, Samyarpetah, Chinoor dan yang lain di pantai Cuddalore pada pagi Ahad itu, Mohammed Younus, presiden United Islamic Jamaat, menggembleng seluruh ahli tabligh melancarkan misi bantuan.

Dalam masa setengah jam saja, ahli pertubuhan itu, hampir semuanya peniaga menaiki van, kereta, beca atau basikal menghantar mangsa tsunami yang cedera parah ke hospital. Menjelang tengah hari, ahli tabligh itu sudah pun mendapatkan bekalan susu untuk beratus-ratus bayi dan makanan bagi lebih 3,000 mangsa yang terselamat.

Apabila malam tiba, kira-kira 3,000 orang Islam membantu lebih 10,000 mangsa Hindu dan Kristian di khemah-khemah dibina di padang sekolah tempatan. Beberapa ratus lagi mangsa diajak masuk ke pekarangan masjid, di madrasah milik pertubuhan itu dan pejabat berhampiran.

Laman web itu turut menceritakan bagaimana Rahmatullah bersama anak buahnya pulang ke masjid itu selepas mengebumikan mayat seorang lelaki Kristian dikenali sebagai salib dililit pada benang di lehernya. Mereka turut memasang sebuah salib kayu di kubur lelaki itu.

Sejak hari bencana itu, 24 tukang masak pertubuhan itu bekerja 24 jam untuk memasak makanan bagi 9,000 mangsa. Beras dibekalkan oleh kerajaan tempatan manakala kumpulan tabligh itu menyediakan sayur-sayuran dan keperluan lain dari tabungnya sendiri. Kumpulan itu mempunyai kira-kira 20,000 ahli di selatan India dan dapur mereka yang besar digunakan bagi memasak setiap kali ada perhimpunan digunakan sepenuhnya bagi membantu mangsa tsunami.

Laporan The Indian Express itu turut menyelitkan satu fakta menarik mengenai kejadian di Cuddalore itu - tidak seorang pun daripada penduduk Islam di kawasan itu yang mati atau cedera dalam malapetaka itu. Begitu juga tidak seorang pun daripada penduduk Islam itu menjadi nelayan, malah mereka adalah golongan peniaga yang kaya raya yang berbahasa Hindustan dan menghantar anak lelaki mereka belajar di negara Arab.