Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Fenomena aneh salji di padang pasir

Written By JOM JALAN on 9/01/05 | Ahad, Januari 09, 2005

Fenomena aneh salji di padang pasir
Oleh Meor Hisham Zulkifli


MINGGU penutup tirai 2004 menyaksikan dua keajaiban berlaku di dunia. Pertama bencana tsunami yang mengorbankan lebih 150,000 penduduk di pesisir pantai Lautan Hindi dan diikuti dengan turunnya salji di bumi padang pasir pada 28 Disember lalu.



Buat kali pertama dalam sejarah, penduduk Emiriah Arab Bersatu (UAE) menerima salji, fenomena yang amat pelik di negara gurun yang terkenal dengan suhu hingga 50 darjah Celsius ketika musim panas.

Ahli kaji cuaca melaporkan, salji tebal turun di kawasan pergunungan Ras al-Khaimah, kawasan paling utara di Emiriah itu ketika rantau berkenaan mengalami musim sejuk.

Perbadanan Penyiaran Britain melaporkan, penduduk memberitahu media tempatan, buat kali pertama sepanjang ingatan sejarah, salji turun di negara itu.

“Ia sudah pasti kejadian pelik yang berlaku setiap 20 atau 30 tahun sekali,” kata seorang pegawai kaji cuaca kepada Reuters.

Akhbar tempatan sebelum ini melaporkan, penduduk dikejutkan dengan hamparan putih salji di sebahagian jajaran pergunungan al-Jees.

Akhbar berbahasa Inggeris, Gulf News melaporkan, kawasan pergunungan yang terletak 1,737 meter daripada paras laut itu menyaksikan salji turun pada waktu malam dalam tempoh dua hari berikutan cuaca sejuk sehingga mencecah suhu serendah -5 darjah Celsius dan mengejutkan ramai penduduk negara ini.

Kawasan pergunungan itu bermula di UAE sehingga ke Oman dan tempat tertinggi di sesetengah tempat mencecah 2,500 hingga 3,000 meter.

Pada 27 Disember lalu, hujan lebat berukuran 12.6 milimeter berlaku di kawasan gurun Dubai, satu daerah yang jarang sekali menerima hujan.

Malah, turunnya salji di negara itu yang muncul berikutan hujan lebat dikatakan berlaku selepas pemimpin negara itu mengarahkan penduduk supaya mengadakan solat hajat dan berdoa meminta hujan pada November lalu.

Dan bulan lalu, Presiden UAE, Sheikh Khalifa bin Zayed Al Nahyan dan Sheikh lain turut mengetuai penduduk Islam untuk sekali lagi mengadakan solat meminta hujan.

Mereka mengadakan solat hajat berikutan peningkatan penggunaan air di negara itu sejak beberapa tahun ini mencetuskan krisis bekalan air di negara berkenaan selain masalah jumlah hujan yang semakin sedikit.

Dan doa mereka itu dimakbulkan dan penduduk bergembira menerima hujan lebat malah mendapat imbuhan apabila dapat memegang salji di bumi bergurun itu.

Putera Mahkota dan timbalan pemerintah Ras al-Khaimah, Sheikh Saud Bin Saqr Al Qasimi, sempat melawat kawasan pergunungan bersalji itu dan membawa pulang salji itu untuk ditunjukkan kepada rakyatnya, lapor Gulf Times.

Suhu di Dubai yang menarik sejumlah besar pelancong kerana mereka mahu menikmati keadaan cuaca yang menyenangkan kerana tidak panas dan tidak pula sejuk, jatuh hingga 12 darjah Celsius pada 28 Disember lalu. Pada musim panas suhu mencecah 50 darjah Celsius.

Ketika ramai yang berpesta menerima hujan, polis pula melaporkan peningkatan kadar kemalangan jalan raya akibat hujan lebat.

Polis melaporkan 500 kemalangan jalan raya berlaku dalam tempoh 24 jam, termasuk satu nahas maut yang berpunca daripada hujan lebat selama tiga hari berturut-turut.

Dan seperti yang diramalkan oleh pegawai kaji cuaca, suhu sejuk di negara itu mula berkurangan pada minggu ini dan salji pula mula mencair.

Meskipun seketika, kenangan kemunculan salji di negara bercuaca panas pasti mencetuskan rasa aneh bagi penduduk UAE dan dunia.