Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Wardina: keluarga entah hidup, entah mati

Written By JOM JALAN on 9/01/05 | Ahad, Januari 09, 2005

60 lagi keluarga Wardina entah hidup, entah mati
Oleh Hanisah Selamat


BAYANGKAN 60 ahli keluarga saudara-mara kami di Meulaboh, di wilayah Aceh belum ditemui. Entah hidup entah mati. Siapa yang tidak sedih,” kata pelakon berdarah campuran Aceh – Australia, Wardina Saffiyah Fadhlullah ketika ditemui di rumahnya di Petaling Jaya, baru-baru ini.



Air matanya tidak mampu ditahan lagi sebaik saja bercerita mengenai saudara-maranya di sana. Sesekali dia mengesat air mata sambil meminta jurugambar supaya tidak merakamkan gambarnya sedang menangis.

“Hingga hari ini saya tidak boleh tidur lena, apatah lagi ibu saya... kami masih terputus hubungan dengan keluarga di sana. Begitupun, kami tidak akan putus memanjatkan doa untuk saudara mara kami dan mangsa tsunami walau di mana saja mereka berada. Insya-Allah, mungkin jika keadaan mengizinkan, kami sekeluarga akan ke sana dalam masa terdekat. Tanah Aceh tetap di hati biarpun ombak sudah membawa pergi segala kenangan dan orang yang kami sayangi...,” katanya.

Ketiadaan sistem perhubungan menyebabkan keluarga Wardina hanya menanti berita terbaru menerusi telefon bimbit dan kabel TV. Pada peringkat awal, ibunya sering menangis mengenangkan saudara mara mereka terutama di Meulaboh.

Tambahan pula, ketika itu salah seorang kakak ibunya belum dijumpai. Lebih menyedihkan apabila dikhabarkan ramai lagi saudara mara mereka masih tidak dapat ditemui dan sebahagiannya sudah disahkan meninggal dunia.

“Hanya doa yang mampu kami iringi untuk mereka yang sudah meninggal dunia. Tetapi mereka yang masih diberi kesempatan untuk meneruskan hidup perlu dibantu. Bukan saja untuk saudara mara kami di sana malah mangsa lain terutama anak kecil yang menjadi yatim piatu.

“Keadaan itu menyebabkan kami berusaha mengumpul sumbangan daripada rakan dan saudara mara di sini. Sebenarnya, sudah enam lori barangan dihimpun dan dihantar ke sana. Syukur.... bukan saja kami, banyak pihak lain turut berusaha membantu semua mangsa,” katanya.

Khabar angin mengatakan kanak-kanak Aceh akan dibawa ke negara ini sebagai anak angkat menambah runsing ibu muda kepada seorang cahaya mata itu. Baginya, ia satu niat yang baik tetapi beliau berharap perkara berkenaan dikaji lebih terperinci dengan memikirkannya dari segenap sudut. Biarpun ramai warga Malaysia yang menyatakan berkeinginan memelihara anak itu, ia bukan penyelesaian terbaik.

“Ini sekadar pandangan peribadi saya. Sebagai bangsa Aceh, kami bangga dengan budaya dan warisan yang diperturunkan dari satu generasi ke generasi lain. Mungkin ini bukan masa terbaik untuk bercerita mengenai salasilah keturunan, namun kita perlu memikirkan kesan jangka panjang. Anak-anak yang tinggal inilah yang akan meneruskan warisan nenek moyang,” katanya.

Menatap satu persatu keratan berita mengenai nasib anak kecil yang menjadi mangsa tragedi ini, Wardina mengakui perasaan terkejut, takut dan sedih saling berbaur. Terkejut kerana tidak menyangka ada manusia yang sanggup menculik dan mengambil kesempatan terhadap si kecil yang tidak mengerti apa-apa. Takut memikirkan masa depan mereka, malah beliau berasa cukup sedih kerana hanya mampu membantu dari jauh.

Anak kedua daripada lima beradik itu berkata, budaya Aceh diterapkan sejak mereka kecil, malah ibu mereka, Asmah Abdul Ghani, menjadikan dialek Aceh sebagai bahasa pertuturan di rumah, selain bahasa Melayu dan Inggeris. Setiap tahun, mereka sekeluarga tidak lupa menziarahi sanak saudara di sana yang kebanyakannya tinggal di Meulaboh, antara kawasan paling teruk ditimpa bencana itu.

Cuma sejak Wardina berusia 14 tahun, mereka tidak lagi dapat ke sana sekeluarga berikutan keadaan politiknya. Hanya ibu dan bapanya yang kerap pulang disebabkan adik-beradik sebelah ibunya masih tinggal di sana.

Bagaimanapun, hubungan dengan sanak saudara tidak pernah terputus apabila mereka sering mengunjungi keluarga Wardina di Petaling Jaya. Kali terakhir ibunya pulang ke Meulaboh, kira-kira dua bulan lalu. Malah ketika majlis perkahwinan Wardina dan suaminya, Ikhwan Johari, tiga tahun lalu, lebih 100 ahli keluarganya dari Aceh ‘berkampung’ di Petaling Jaya.

“Segala-galanya seperti mimpi. Macam baru semalam kami beramai-ramai berkumpul. Saya gembira kerana mereka dapat datang walaupun jauh. Apabila dikhabarkan mengenai bencana ini dan apabila mengetahui ramai sepupu, mak cik dan pak cik saya hilang, terbayang-bayang gurauan mereka ketika berkumpul dulu,” katanya dengan sebak.

Melihat pada bahagian depan rumah Wardina, sudah sedia terhimpun barangan keperluan yang didermakan orang ramai terutama pakaian, mainan dan tidak ketinggalan tilam serta bantal. Selain sekitar Selangor dan Kuala Lumpur, ada penderma yang sanggup datang dari Pulau Pinang untuk menyerahkan sumbangannya kepada keluarga pelakon dan model itu.

Wardina juga menjelaskan, atas usaha Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Datuk Seri Sanusi Junid, yang juga berketurunan Aceh, sumbangan berkenaan dapat dihantar segera. Bukan saja keluarganya rapat dengan keluarga bekas Menteri Besar Kedah itu tetapi hubungan persaudaraan sesama orang Aceh di sini terjalin erat, malah kediaman keluarga Wardina boleh dianggap sebagai ‘Aceh kecil’ di sini.