Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Kembar Siam: ahmad & Muhammad

Written By JOM JALAN on 9/01/05 | Ahad, Januari 09, 2005

Alam ceria Along, Angah
Oleh Ahmad Fauzi Mustafa


SIAPA sangka pasangan kembar, Ahmad dikenali sebagai Along dan Muhammad dikenali sebagai Angah, yang selamat dipisahkan melalui pembedahan lebih 17 jam di Riyadh, Arab Saudi dua tahun lalu, semakin serasi mengharungi kehidupan normal.



Anak pasangan Rosli Abdul Rahim, 34, dan Aisyah Kanda, 30, terus ceria setelah mereka memulakan alam persekolahan, Isnin lalu. Pada wajah mereka, keperitan dan pengalaman pahit masa lalu tidak tidak lagi menghantui fikiran.

Bapa mereka, Rosli pernah menitiskan air mata gembira dan bersyukur apabila anaknya dapat bersekolah seperti kanak-kanak normal lain di Tabika Kemas Siber, Kampung Tengah di Puchong, awal Januari 2003.

Ahmad dan Muhammad dapat menyesuaikan diri dengan kanak-kanak lain walaupun baru kali pertama bertemu, malah ketika sesi memulakan persekolahan di taman bimbingan itu menjadi tumpuan ramai.

Situasi sama sekali lagi menjelma Isnin lalu pada sesi suai kenal hari pertama sekolah di mana Ahmad dan Muhammad kelihatan bersemangat dan ceria di Sekolah Rendah Kebangsaan Seksyen 27(2) Shah Alam yang terletak kira-kira 6.5 kilometer dari rumah mereka.

Kehadiran pasangan itu menjadi tumpuan kanak-kanak lain dan guru apabila mereka tidak janggal bergaul dengan rakan baru yang turut memberi bantuan kepada mereka untuk bergerak dari satu tempat ke tempat lain.

Pasangan kembar itu yang tiba di sekolah pada kira-kira jam 7 pagi dengan berkerusi roda, disorong bapa mereka, Rosli yang kemudian membawa mereka ke kelas di tingkat dua sekolah berkenaan.

Ahmad dan Muhammad diletakkan dalam kelas Satu Anggerik. Penulis yang mengunjungi rumah pasangan kembar di Jalan Kempas, Kampung Tengah, terpaksa menunggu hampir empat jam apabila kedua-dua mereka tidur kerana kepenatan pada hari kedua persekolahan.

Sambil menunggu dan ditemani bapa mereka, penulis sempat menjeling ke arah dua beg sekolah yang tersusun rapi serta buku latihan yang diikat rapi di ruang tamu. Terdetik hati penulis, agaknya milik pasangan kembar itu.

Apapun sebaik terjaga dua kanak-kanak istimewa itu, suara Along dan Angah mula kedengaran memecah kesunyian.

Mungkin tidak perasan kunjungan penulis, kedua-dua adik beradik itu terus mencapai beg sekolah sebelum mengeluarkan pensil warna dan buku.

Wah! Semangat sungguh kedua-duanya sebelum disapa penulis dan bapa mereka sehinggakan Ahmad dan Muhamad tersipu-sipu. Namun perasaan itu hanya seketika dan mula tidak mempedulikan tetamu.

Semakin ligat tangan mereka mewarnakan gambar dan sesekali membaca dengan kuat.

“Saya suka bermain bola...saya suka makan...saya suka membaca...saya suka menyanyi.

“Sekarang abang (Along) pula baca buku ini,” kata Angah. Kemudian dibalas balik abangnya: “Nanti dulu, biar Along warnakan gambar ini. Lepas tu barulah baca buku.”

Penulis sempat bertanya apa perkara menarik yang ditempuhi sepanjang dua hari bersekolah. Secara serentak, Ahmad dan Muhammad mengatakan mereka mempunyai terlalu ramai kawan.

“Ramai kawan sampai tak ingat nama mereka. Semuanya baik-baik. Kawan banyak bantu (tolak kerusi roda). Kalau macam ni... kan bagus,” kata Ahmad.

Bapa pasangan kembar itu, Rosli, ketika ditemui berkata, dia melihat kedua-dua anaknya sungguh gembira dan tidak sabar untuk memulakan persekolahan.

“Walaupun mereka terpaksa bergerak menggunakan kerusi roda, semangat mereka berkobar-kobar untuk belajar.

“Malah saya sudah pesan kepada Ahmad dan Muhammad bahawa menerusi ilmu saja yang boleh membantu nasib mereka berjaya pada masa depan.

“Itulah harta yang saya boleh berikan kepada mereka. Tanpa ilmu seseorang itu tidak akan ke mana. Kerana itu, saya cuba terapkan (proses pembelajaran) secara perlahan kepada dua anak saya itu.

“Jangan kasihan mereka kerana ia boleh membuat anak saya terlupa dan terleka. Apa yang penting berikan peluang dan ruang,” katanya.

Pasangan kembar itu mendapat perhatian masyarakat selepas didedahkan media pada awal 1999. Lahir pada 23 April 1998 di Hospital Universiti Petaling Jaya, Ahmad dan Muhammad pada awalnya sebagai pasangan kembar siam.

Kedua-duanya bercantum pada bahagian dada hingga ke punggung. Anggota luaran tersendiri di atas dada dan kepala. Satu anggota bawah punggung dan berkongsi anggota yang tidak normal. Mempunyai tiga kaki. Satu daripadanya tidak berfungsi. Malah kedua-duanya berkongsi usus, berkongsi saluran kencing, berkongsi tulang pelvik di bahagian pinggul serta pembuluh darah banyak bersilang antara pundi kencing.

Di samping itu, hati dalam satu pundi pembalut, berkongsi dua buah zakar dan bahagian kemaluan bertindih (Muhammad miliki kemaluan luar).

Ketika detik kelahiran kembar itu, ibu Ahmad dan Muhammad terpaksa menjalani pembedahan kerana tidak boleh melahirkan anak secara normal.

Pada awalnya, Rosli tidak menyangka akan kehadiran anak sulung mereka sehingga dia tergamam tetapi dipujuk sanak saudara bahawa itu adalah ketentuan Ilahi dan mempunyai hikmahnya.

Selepas kelahiran itu, anak kembar siam diletakkan di dalam inkubator selama 40 hari supaya pengawasan rapi boleh dilakukan ke atas mereka. Selepas tempoh itu, kembar berkenaan dibenarkan pulang selama seminggu sebelum diletakkan di wad selama tiga hari dan diberi rawatan selama dua minggu.

Keperitan keluarga Rosli dan Aisyah menyara anak kembar mereka terus mendapat perhatian sehingga apa yang dianggap mustahil memisahkan Ahmad dan Muhammad akhirnya menjadi realiti.

Sumbangan, keprihatinan dan keikhlasan pelbagai lapisan masyarakat dari peringkat golongan Raja, bangsawan dan orang biasa membolehkan pasangan kembar siam itu berjaya dipisahkan.

Segala-galanya bermula dari kejayaan pembedahan diketuai Perunding Pembedahan Kanak-Kanak, Dr Abdullah al-Rabeeah serta 30 pakar perubatan dari Hospital King Fahd National Guard, Bandar Perubatan King Abdul Aziz di Riyadh, Arab Saudi, 17 September 2002.

Pembedahan itu selesai sepenuhnya tepat jam 12.40 malam (5.40 pagi waktu Malaysia). Pembiayaan pembedahan pemisahan yang bernilai RM1.69 juta ditaja Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Abdullah Abdul Aziz.

Hasil pembedahan itu, Ahmad memperoleh kepala, tangan, jantung, sebahagian daripada hati, paru-paru, usus kecil dan dua pertiga kolon, satu buah pinggang dan saluran kencing yang disambung semula, zakar, satu buah zakar, satu kaki dan satu kaki palsu dan sebahagian pinggul.

Muhammad pula memperoleh kepala, tangan, jantung, sebahagian daripada hati, paru-paru, usus kecil dan satu pertiga kolon, satu buah pinggang dan saluran kencing yang disambung semula, zakar, satu buah zakar, satu kaki dan satu kaki palsu, sebahagian pinggul dan tiub saluran najis (tiruan).