Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Dr Jamilah Mahmood di Aceh

Written By JOM JALAN on 9/01/05 | Ahad, Januari 09, 2005

Sukarelawan tidak putus asa rawat pesakit


KUALA LUMPUR: “Sesuatu yang cukup menyedihkan buat seorang doktor apabila bertungkus lumus merawat pesakit, tetapi ia masih tidak dapat diselamatkan. Saya tidak mampu meluahkannya dengan kata-kata apabila ramai mangsa tsunami di Banda Aceh menemui ajal,” kata Presiden Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy), Datuk Dr Jamilah Mahmood.



Tanpa perasaan putus asa, Dr Jamilah dan sukarelawan lain meneruskan misi mereka memberikan bantuan, selain menyelamatkan nyawa mangsa yang tercedera.

Mercy Malaysia menjadi pasukan perubatan pertama tiba di Banda Aceh 28 Disember lalu, selepas dua hari bandar itu dilanda bencana tsunami.

Beliau yang kembali ke tanah air bersama dua sukarelawan lain, Dr Quah Boon Leong dan Che Tah Hanafi selepas hampir dua minggu berada di Banda Aceh menceritakan pengalamannya merawat beratus-ratus mangsa dan pesakit di Hospital Tentera Kesdam, sebuah hospital tentera kecil di bandar berkenaan.

Dr Jamilah berkata, beliau tidak pernah melalui pengalaman dan keadaan yang begitu teruk seperti di Banda Aceh, walaupun sebelum ini pernah memberi bantuan kepada ratusan mangsa bencana dan peperangan di negara lain.

“Mayat mangsa bencana berada di mana-mana. Lebih menyayat hati apabila melihat ratusan mayat bergelimpangan di lobi hospital.

“Saya tidak mam pu mengira ratusan mayat mangsa yang berada di ruang legar lobi hospital dalam sesuatu masa. Dengan lolongan kanak-kanak yang luka parah dan raungan pesakit yang menahan kesakitan sementara menunggu giliran untuk diberi rawatan cukup menghibakan,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di Hospital Pakar Ampang Puteri, di sini, petang semalam.

Sambil menitiskan airmata, Dr Jamilah berkata, keputusan paling menyukarkan baginya apabila terpaksa memilih hanya mereka yang mempunyai peluang cerah untuk hidup dari kalangan beratus-ratus mangsa yang memerlukan rawatan perubatan segera.

Katanya, seramai 19 sukarelawan Mercy Malaysia masih berada di Banda Aceh dan bekerja dengan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Antarabangsa untuk memberikan bantuan. Kumpulan keempat seramai tujuh sukarelawan tiba di Banda Aceh semalam, membabitkan pakar bedah, gynaecologists dan cardiologists.

Sementara itu, Dr Quah Boon Leong, 25, berkata keadaannya tidak sama ketika memberi bantuan mangsa peperangan di Bam, Iraq, sebelum ini.

“Situasi di Bam tidak seteruk keadaan di Banda Aceh dan apa yang saya lihat apabila pertama kali menjejak kaki ke bumi itu adalah kemusnahan. Mayat manusia berada di mana-mana dan ia bukan lagi sesuatu yang pelik apabila hampir dua minggu memberikan bantuan perubatan pada mangsa,” katanya.

Dr Quah berkata, beliau tidak dapat menganggarkan berapa pesakit yang dirawat sejak mula memberikan bantuan perubatan pada mangsa.

“Sukar untuk saya ingat berapa ratus pesakit yang dirawat dalam masa sehari kerana ia terlalu ramai. Ada yang hampir dijemput maut dan ada juga yang masih boleh diselamatkan,” katanya.