Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Lapangan Terbang Aceh sesak dengan pesawat bantuan asing

Written By JOM JALAN on 9/01/05 | Ahad, Januari 09, 2005

Ombak Besar: Lapangan Terbang Aceh sesak dengan pesawat bantuan asing
Daripada Wan Jailani Razak di Banda Aceh


PADA hari-hari sebelum 26 Disember lalu, Lapangan Terbang Aceh, Indonesia, hampir sunyi dan hanya digunakan bagi penerbangan domestik.



Dengan keluasan kira-kira sebesar Lapangan Terbang Ipoh, lapangan terbang itu dianggarkan mengendalikan tidak lebih 20 penerbangan sehari.

Bagaimanapun, selepas bencana tsunami paling teruk melanda wilayah ini, lapangan terbang itu kini bertukar wajah. Pelbagai jenis pesawat kargo dari seluruh dunia kini bertumpu di sini.

Semua hadir dengan satu tujuan – melaksanakan misi bantuan kemanusiaan bagi meringankan penderitaan mangsa.

Jika di pulau pelancongan Langkawi, Malaysia, ia hanya berlaku ketika Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (Lima) yang diadakan setiap dua tahun apabila dikunjungi pelbagai pesawat canggih bertandang.

Di ini pula, ia boleh dianggap ‘mini Lima’ apabila dapat disaksikan pesawat dari Amerika Syarikat iaitu Hercules C-130, helikopter Blackhawk dan kapal perang USS Lincoln, manakala Tentera Udara Diraja United Kingdom dengan Hercules C-17.

Selain itu, pesawat C-130 dari Australia dan Singapura juga dilihat berlegar di ruang udara Aceh.

Deruan enjin pesawat di udara sebenarnya amat dinanti-nantikan penduduk Aceh. Setiap deruan bermakna ‘bantuan sudah tiba’.

Apa tidaknya, ada penduduk kampung hanya berkain dan tidak berbaju bagi lelaki dan kanak-kanak pula tanpa berselipar meluru ke arah bunyi deruan pesawat yang terbang rendah untuk menantikan kotak berisi makanan dan bantuan lain dijatuhkan dari pesawat.

Bagaikan ‘rezeki jatuh dari langit’. Perebutan sesama mereka bukan lagi keadaan luar biasa.

Kehadiran pesawat atas nama kemanusiaan menyebabkan berlaku kesesakan trafik di udara dan landasan lapangan terbang itu sehingga memaksa beberapa penerbangan asing terpaksa ditangguh.

Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) tidak terkecuali apabila dua Hercules C-130 terpaksa menangguhkan penerbangan, kelmarin selepas tidak mendapat lampu hijau daripada menara kawalan trafik udara di Medan.

Pasukan penyelamat yang menyertai penerbangan itu hanya selamat tiba di Lapangan Terbang Aceh di sini, pada jam 4 petang semalam (jam 3 petang waktu Indonesia), selepas dua jam penerbangan.

Bagaimanapun, mereka terpaksa menunggu setengah jam sebaik mendarat untuk mendapatkan ruang untuk meletak pesawat berikutan laluan trafik di landasan yang sibuk.

Kesukaran itu kemudian diatasi apabila sebuah helikopter Nuri milik TUDM dialihkan ke padang rumput berhampiran.

Ketika menunggu giliran itu, empat helikopter asing berlegar di udara untuk mendarat. Paling banyak, 10 pesawat bersaiz C-130 berada di landasan pada satu-satu masa.

Dalam pada itu, berbekalkan semangat tinggi untuk berkhidmat, seramai 100 anggota penyelamat yang menyertai misi kedua itu terus mengeluarkan barangan bantuan dari pesawat sebelum menghadiri satu taklimat mengenai operasi di sini bagi menyambung tugasan misi pertama.

Menceritakan mengenai penangguhan penerbangan sebelum itu, Pengarah Bahagian Keselamatan Negara (BKN), Jabatan Perdana Menteri, Nadzri Siron, yang mengetuai misi kedua itu, berkata penerbangan terpaksa ditangguhkan beberapa kali kerana tidak mendapat ’lampu hijau’ daripada menara kawalan di Lapangan Terbang Medan, Indonesia.

Bagaimanapun, katanya, anggota pasukan tetap bersemangat tinggi bagi membantu mangsa di wilayah yang paling teruk dilanda tsunami itu apabila semua hadir di pangkalan udara di sini sebelum jam 8 pagi untuk hari kedua percubaan berlepas.

“Kita tidak boleh menyalahkan sesiapa kerana ketika ini, lapangan terbang Aceh terus sesak dengan penerbangan bantuan kemanusiaan dari seluruh dunia yang prihatin dengan penderitaan mangsa.

“BKN juga terus menerima permohonan daripada banyak pihak yang mahu ke Aceh untuk menyertai pasukan bantuan kemanusiaan. Bagaimanapun setiap permohonan perlu diteliti demi keselamatan mereka,” katanya ketika ditemui sebelum berlepas.

BKN yang menjadi sekretariat kepada operasi menyelamat dan bantuan kemanusiaan sedang berunding dengan kerajaan Indonesia bagi mendapatkan sebidang tanah untuk dijadikan tapak stor simpanan.

Ini berikutan pusat operasi di lapangan terbang di sini tidak lagi sesuai berikutan kerja pemunggahan barang dan kemudahan untuk bertugas agak terhad.

Kelmarin, anggota pasukan yang mengikuti misi berkenaan sudah berada dalam ‘perut’ Hercules pada jam 7.15 petang dan sedia berlepas tetapi terpaksa keluar semula selepas juruterbang tidak mendapat kebenaran untuk mendarat, pada saat akhir.

Misi kedua itu disertai pegawai BKN, Smart, Jabatan Bomba dan Penyelamat, paramedik Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia, Hospital Kuala Lumpur (HKL), Global Peace Malaysia dan wartawan.

Pemergian dengan dua pesawat Hercules C-130 milik TUDM itu ialah bagi menggantikan misi pertama yang sepatutnya pulang petang kelmarin, selepas 10 hari berada di Aceh.

Malaysia sehingga kini menghantar dua penerbangan bantuan kemanusiaan pada 28 dan 29 Disember lalu dan sebuah kapal KD Sri Mahawangsa milik Tentera Laut Diraja Malaysia, Rabu lalu.

Orang ramai di Malaysia boleh melayari mms.rmkl.fm untuk mengetahui berita terkini tsunami di Aceh.