Mangsa tsunami terdedah ancaman pelbagai penyakit berbahaya
Oleh Raihanah Abdullah
MANGSA ombak besar tsunami kini diancam pelbagai penyakit bawaan air yang boleh membawa maut seperti taun, demam kepialu, malaria dan cirit-birit berdarah. Tanpa disedari dan dalam sekelip mata, ribuan manusia terdedah kepada penyakit berbahaya yang boleh meragut nyawa jika tiada rawatan khusus.
Taun atau kolera memang penyakit bahaya yang boleh menyebabkan maut jika penghidapnya tidak mendapat rawatan segera.
Ini kerana, pesakit taun akan mengalami masalah kehilangan air, zat dan garam galian daripada tubuh dan jika kehilangan itu tidak diganti segera, ia boleh mengancam nyawa mangsa.
Penyakit berjangkit itu amat berbahaya kerana bakteria halus berbentuk seperti tanda koma itu menyerang sistem penghadaman dan menyebabkan kehilangan air yang banyak daripada tubuh penghidapnya.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam yang juga Ketua Bahagian Bebanan Penyakit Institut Kesihatan Umum Kementerian Kesihatan, Dr Ahmad Faudzi Yusoff, berkata penyakit taun berlaku apabila manusia dijangkiti sejenis kuman dikenali sebagai Vibrio cholerae.
Beliau berkata, taun lebih kerap ditemui di negara Asia Tenggara, dan negara lain seperti Bangladesh dan India.
Kelemahan mereka itu menyebabkan kuman taun yang boleh membiak dengan begitu pantas, bercambah dan menjadi sehingga beribu-ribu ekor dalam masa beberapa minit.
Faktor persekitaran iaitu yang kotor dan tidak terurus adalah punca utama merebaknya penyakit itu.
"Ini termasuk makanan, terutama makanan yang tidak dimasak, makanan sejuk seperti ais, ais krim, air batu campur dan cincau. Lalat, telaga yang terdedah dan tangan penghidap adalah ejen pembawa kuman taun yang ada pada najis dan muntah penghidapnya," katanya.
Dr Ahmad Faudzi berkata, lalat itu kemudian menyebarkan kuman taun dengan hinggap pada makanan terdedah, manakala punca air yang tercemar itu membawa kuman kepada mereka yang minum air tidak dimasak.
Tangan yang kotor dan dicemari kuman taun pula menyebabkan kuman taun tersebar apabila menyentuh makanan tanpa membasuh tangan terlebih dulu.
Katanya, pembawa taun mempunyai dua kategori, iaitu mereka yang menunjukkan tanda berpenyakit taun dan pembawa yang sihat tetapi kronik.
Beliau berkata, pembawa yang sihat tetapi kronik selalunya tidak menunjukkan sebarang tanda penyakit itu tetapi di dalam saluran penghadaman mereka dipenuhi kuman taun dan lazimnya akan menyebarkan kuman terbabit.
"Proses pengeraman kuman taun ialah di antara beberapa jam hingga lima hari dan selepas tempoh itu, mangsa akan mula menunjukkan tanda-tanda diserang wabak itu," katanya.
Katanya, pada tempoh itu juga kuman dalam saluran penghadaman mangsa akan menghasilkan sejenis toksin atau racun yang mengubah sistem dalam saluran penghadaman.
Beliau berkata, dalam proses normal, saluran penghadaman itu akan menyerap semua air tetapi toksin terbabit menjadikan mangsa cirit-birit dan muntah-muntah.
FAKTA:
Cara transmisi
MELALUI makanan dan minuman yang tercemar oleh agen penyebab dan mencemar secara langsung atau tidak langsung sama ada daripada najis pesakit atau pembawa atau dari muntah pesakit atau pembawa.
Makanan laut yang tercemar oleh kuman taun dan dimasak tidak sempurna. Contohnya, kerang, siput sedut dan lala.
Selain itu, makanan hasil susu, telur dan ayam yang tercemar oleh kuman taun juga boleh menyebarkan kuman penyakit itu jika ia tidak dimasak dengan sempurna.
Simptom:
Cirit-birit.
Najis yang dikeluarkan selalunya mengandungi banyak air dan bercampur garam dan potasium.
Mual dan loya.
Muntah-muntah berterusan.
Kulit badan menjadi kering dan pesakit selalu dahaga, lidah menjadi kering dan mata cengkung akibat banyak cecair hilang daripada badan melalui muntah dan cirit-birit.
Lidah kebiru-biruan.
Perut leper kerana cirit-birit.
Nadi lemah.
Percakapan menjadi perlahan.
Tekanan darah menurun.
Otot menjadi tegang dan berlaku tarikan atau kekejangan otot yang kerap.
Pitam dan pengsan.
Tindakan:
PENGHIDAP hendaklah segera ke klinik atau hospital berdekatan dan perlu minum air sebanyak mungkin bagi mengelak proses dehidrasi (kekeringan air) yang teruk.
Bagaimanapun, sebelum ke klinik, penghidap perlu meminum air sebanyak mungkin bagi mengelak proses dehidrasi yang teruk.
Panduan mencegah jangkitan
Minum air yang dimasak kerana suhu air mendidih akan membunuh bakteria. Gunakan air bersih seperti air paip atau telaga yang diletak klorin untuk kegunaan harian seperti membasuh pinggan mangkuk, makanan segar, menggosok gigi dan mengambil wuduk.
Pilih gerai atau tempat makan yang bersih. Bagaimanapun, langkah lebih bijak ialah dengan menghentikan pengambilan makanan di gerai makanan buat sementara waktu.
Pastikan makanan yang dibeli tidak dihurung lalat.
Pastikan pengendali makanan memakai apron, penutup kepala dan penyepit atau senduk apabila mengambil makanan.
Elakkan minum air sejuk, terutama ais kacang, cincau atau cendol.
Sebaik-baiknya, ambil makanan panas dan elakkan makanan sejuk seperti ais, ais krim, air batu campur kerana bakteria taun mudah membiak dalam suhu sejuk.
Pastikan persekitaran rumah bersih. Musnahkan semua tempat pembiakan lalat dan makanan hendaklah ditutup.
Sayur-sayuran dan buah-buahan segar hendaklah dicuci dengan sempurna menggunakan air bersih.
Pastikan tandas sentiasa bersih.
Jaga kebersihan tandas selepas menggunakannya.
Pam tandas setiap kali selepas menggunakannya.
Basuh tangan selepas keluar dari tandas.
Basuh tangan dengan sabun sebelum makan.
Basuh tangan sebelum memasak dan mengendalikan hidangan.