Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Tujuh mangsa mati sebaik sahaja helikopter terhempas

Written By JOM JALAN on 31/07/04 | Sabtu, Julai 31, 2004




TIMBALAN Ketua Menteri Sarawak, Dr. George Chan bersama Pesuruhjaya Polis Sarawak, Talib Jamal meninjau bangkai pesawat helikopter Hornbill Skyways yang terhempas 12 Julai lalu sambil diberi penerangan oleh Timbalan Pengarah DCA, Kapten Yahya Abdul Rahman di lokasi kejadian di barat daya Pa Lungan, dekat Bario, semalam. - Gambar ZUL AZHAR SHEBLEE.



MIRI 30 Julai - Kesemua enam penumpang dan juruterbang helikopter Bell 206 Long Ranger mati sebaik sahaja pesawat itu terhempas di kaki Gunung Murud dekat Bario pada 12 Julai lalu.

Berdasarkan ujian awal dan keadaan mayat yang reput dan hanya tinggal tulang itu, kesemua mangsa mati lebih 16 hari lalu sebelum ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat.

Seorang pakar forensik mendedahkan hasil bedah siasat yang dijalankan ke atas kesemua mangsa nahas helikopter itu kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pakar tersebut yang merahsiakan identitinya turut berkata:

``Semua mangsa dikenal pasti berdasarkan keadaan mayat yang hanya tinggal tulang yang telah tercerai.

``Kita susah untuk kenal pasti setiap tulang mangsa kerana sebahagiannya hilang dan tidak lengkap.''

Menurut beliau, dua mayat terakhir dibawa hari ini adalah Kapten Samsuddin Hashim dan jurutera Perbadanan Pembekalan Letrik Sarawak (Sesco), Jason Eng.

Katanya, Samsudin paling jauh dijumpai kerana dipercayai tercampak keluar semasa terhempas.

Datuk Marcus Raja pula paling mudah dikenali kerana keadaan tidak begitu reput dan kemungkinan dia yang terakhir meninggal dunia.

Beliau memberitahu, bedah siasat yang dijalankan semalam, berjalan hingga pukul 4 pagi manakala usaha mengenal pasti identiti mangsa berdasarkan ujian Asid Deoxyribonucleic (DNA) dan rekod pergigian.

Pasukan forensik diketuai oleh Pakar Patologi dan Ketua Jabatan Patologi Hospital Umum Sarawak (HUS), Dr. Jamil Dolkadir.

Anggota yang lain ialah Dr. Mohd. Shah Mahmood (Pakar Perunding Kanan Forensik Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur (HKL); Dr. Wan Mohd. Zamri Wan Nawawi (Pegawai Perubatan Kanan IPFN HKL); Dr. Norliza Ibrahim (IPFN HKL); Dr. K. Vanitha (Pegawai Perubatan Jabatan Kecemasan Hospital Miri dan Zaidun Che Mat (Pembantu Perubatan IPFN HKL).

Kumpulan ante-mortem dianggotai oleh Dr. Nor Azah Mohamad Nawi (Pakar Kesihatan Keluarga Jabatan Kesihatan Bahagian Miri) dan Dr. Siti Munirah Che Amat (Pegawai Perubatan Jabatan Kesihatan Bahagian Miri).

Kumpulan forensik pergigian terdiri daripada Dr. Oeny Irma Santi Sain (Pegawai Bahagian Pejabat Pergigian Bahagian Miri), Dr. Wan Mariam Wan Abd Rahman (Pegawai Pergigian Miri) dan Dr. Katherine Kong Loh Sen juga Pegawai Pergigian Miri.

Mereka turut dibantu oleh dua Pembantu Pembedahan Pergigian Mat Zamrie Mohamed Takip dan Aziz Zulqarnain.

Dalam kejadian 12 Julai lalu, helikopter Bell milik Hornbill Skyways yang berlepas pada pukul 12 tengah hari itu membawa Ahli Dewan Undangan Negeri Ba'kelalan yang juga Menteri Muda Kesihatan Awam Sarawak, Dr. Judson Sakai Tagal bersama lima penumpang lain telah hilang.

Selain juruterbang Samsuddin, penumpang lain ialah Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembekalan Letrik Sarawak (Sesco), Roger Wong dan dua jurutera Sesco, Jason Eng dan Ling Tian Ho, ahli perniagaan keturunan Kelabit, Datuk Marcus Raja dan Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan, Lawrence T'hng.

0 ulasan: