Oleh OPAT RATTANACHOT
SERDANG 30 Julai - Seorang pemandu lori, Liau Kok Keong, 38, yang dipercayai kecewa berpisah dengan isterinya bertindak menamatkan nyawa tiga anaknya berusia 7, 11 dan 13 tahun, sebelum menggantung dirinya di sebuah rumah kedai di Seri Kembangan, di sini malam tadi.
Kejadian memilukan itu berlaku sebaik sahaja Kok Keong anak beranak meraikan hari jadi anak bongsunya itu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah malam itu, mayat Kok Keong dijumpai tergantung bersama tali nilon di lehernya pada penyangkut kipas siling dalam ruang tamu rumah berkenaan.
Berdekatan mayat Kok Keong ialah anak perempuan keduanya, Liau Wan Juan, 11, dengan kesan jerutan di leher.
Dua lagi anak Kok Keong masing-masing berlainan jantina; Liau Wan Yee, 13, dan Liau Chen Liang, 7, ditemui terlentang dalam bilik tidur berasingan.
Semasa ditemui, Wan Yee masih memakai pakaian seragam sekolah.
Ayam goreng Kentucky Fried Chicken (KFC) dan kek hari jadi dipercayai juadah terakhir kanak-kanak itu ditemui di dalam rumah berkenaan semasa polis memeriksa mayat mereka.
Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Selatan, Asisten Komisioner Muhammad Fuad Talib ketika ditemui pemberita di tempat kejadian pukul 2 pagi ini berkata, mangsa dipercayai bertindak membunuh ketiga-tiga anaknya dengan menjerut leher menggunakan tali jenis nilon antara pukul 10 dan 12 malam tadi.
``Dia baru berpisah dengan isterinya kira-kira dua minggu lalu dan sedang dalam proses bercerai,'' katanya.
Beliau berkata, kejadian tersebut disedari oleh saudara lelaki Kok Keong setelah mangsa tidak menjawab panggilan telefon selepas pukul 10 malam.
``Kali terakhir mangsa menjawab telefon ialah pada pukul 9.30 malam dan dia sepatutnya tiba di rumah emaknya di Salak Selatan kira-kira pukul 10 malam,'' ujarnya.
Muhammad Fuad menambah, saudara kepada mangsa yang mengesyaki sesuatu kemudian pergi ke rumah berkenaan dan didapati berkunci.
``Apabila diketuk, mangsa masih tidak membuka pintu. Melihat keadaan itu, lelaki itu kemudian pergi ke rumah keluarga isteri mangsa untuk mendapatkan kunci.
``Bagaimanapun, usaha membuka pintu gagal kerana mangsa dikatakan mengunci dari dalam rumah,'' jelasnya.
Beliau berkata, lelaki tersebut seterusnya bertindak memecahkan pintu masuk ke rumah itu dan mendapati Kok Keong mati dalam keadaan tergantung.
``Dia memotong tali dan membaringkan Kok Keong di atas sofa sebelum membuat panggilan ke Balai Polis Seri Kembangan kira-kira pukul 1.20 pagi untuk tindakan lanjut,'' katanya.
Ketika ditanya mengenai punca kejadian, Muhammad Fuad berkata, siasatan awal mendapati mangsa menghadapi krisis keluarga.
``Kemungkinan besar ia adalah masalah rumah tangga dan kita menolak andaian bahawa mangsa menghadapi masalah kewangan kerana si mati dan isterinya masing-masing bekerja,'' jelasnya.
Selain itu katanya, mangsa dipercayai merancang terlebih dahulu untuk membunuh anak-anak.
``Berdasarkan pemeriksaan, semasa mangsa melakukan pembunuhan, dia dipercayai mengambil minuman keras sebanyak tiga tin.
``Di samping itu, mangsa turut meninggalkan nota pesanan dalam bahasa Cina di dinding rumah bermaksud: `Mak, minta bakar mayat saya dan anak-anak mengikut ajaran Buddha','' katanya.
Beliau berkata, polis mengklasifikasi kes tersebut sebagai bunuh dan membunuh diri.
``Siasatan akan dibuat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,'' katanya.
Beliau memberitahu, kesemua mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat.
Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di rumah mayat HKL mendapati, kesemua mayat dituntut oleh ahli keluarga kira-kira pukul 1.30 petang ini.
Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya Selatan, Asisten Supritendan Ng Lean Seong ketika ditemui berkata, pihaknya akan mengambil keterangan daripada isteri mangsa dalam tempoh terdekat.
``Buat masa ini, kita memberikan dia tempoh untuk bertenang sementara waktu,'' katanya.
Bapa bunuh tiga anaknya sebelum bertindak menggantung diri -- Tragedi pilu di Serdang
Written By JOM JALAN on 31/07/04 | Sabtu, Julai 31, 2004
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 ulasan:
Catat Ulasan