Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Peserta wanita PLKN bersanding di kem Sintok

Written By JOM JALAN on 2/08/04 | Isnin, Ogos 02, 2004



MOHAMAD Nassron Bahari memakaikan baret PLKN kepada isterinya, Rusmani Aspalaila Yasin, selepas majlis persandingan mereka di Kem Sintok, Kedah semalam. Gambar ISMAIL KAMADIN.




SINTOK 1 Ogos - Seorang wanita yang sedang mengikuti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) hari ini menaiki jinjang pelamin di kem latihan Sintok, Universiti Utara Malaysia (UUM) selepas diijabkabul dengan suaminya 12 hari lalu.

Majlis persandingan itu diatur khas pengelola kem latihan berkenaan, Uniutama Management Holding Sdn. Bhd. dan Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN), Datuk Dr. Ahmad Fauwzi Mohd Basri.

Peserta itu, Rusmani Aspalaila Yasin, 18, menyifatkan majlis persandingan itu akan menjadi satu kenangan abadi dan cukup istimewa bagi diri beliau dan suaminya, Mohamad Nassron Bhari, 25.

Majlis itu juga mencatat sejarah tersendiri dalam diari PLKN sejak ia dimulakan bulan Mac tahun ini.

Rusmani berkata, dia tidak menduga langsung akan bersanding di dalam kem tersebut selepas mendaftar masuk untuk menyertai latihan pada Ahad lalu.

``Saya berasa bangga dan berterima kasih kepada pihak pengurusan yang mengadakan majlis persandingan yang cukup simbolik ini,'' katanya.

Pengelola kem tersebut telah membuat persiapan akhir sejak beberapa hari lalu dengan menyediakan pelamin, hidangan untuk pengantin serta tetamu termasuk 150 peserta di kem berkenaan.

Apa yang berbeza, majlis persandingan kedua pengantin ini yang memakai pakaian songket berwarna kuning keemasan hanyalah berlatar belakangkan pokok getah dan khemah peserta PLKN tanpa dihadiri oleh rakan-rakan sekampung dan saudara mara.

Walaupun hujan sejak pagi, majlis persandingan yang diatur secara sederhana itu tetap meriah dengan paluan kompang, perarakan bunga manggar dan persembahan pencak silat serta istiadat merenjis.

Dr. Ahmad Fawzi yang juga Naib Canselor UUM mendahului majlis merenjis pasangan mempelai diikuti jemputan lain termasuklah Kem Komandan, Mejar Zolkepli Saad serta ibu mertua Rusmani, Diyaton Ahmad.

Apa yang menarik, Rusmani dan Mohamad Nassron yang merupakan jiran sekampung juga akan disandingkan sekali lagi di Kampung Pinang, Kuala Nerang hari ini bersama abangnya, Mohd. Roswali Yasin dan pasangannya, Siti Fauziah Md. Daud.

Rusmani yang gagal mendaftar pada sesi pertama program itu kerana kurang sihat telah diberi kelepasan beberapa hari berikutan majlis perkahwinan di kampungnya itu sebelum meneruskan latihannya di kem Sintok.

Beliau yang bertunang sejak bulan Disember tahun lalu bersyukur kerana diberi kesempatan untuk pulang ke kampung bagi meraikan majlis perkahwinannya.

``Masalah terpaksa berjauhan dengan suami walaupun baru berkahwin terpaksa saya lupakan dan saya tidak mahu masalah itu menjadi satu tekanan kepada saya kerana saya tetap boleh berhubung dengan suami saya setiap hari,'' katanya.

0 ulasan: