Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Pemuda tetak bakal bapa mertua hingga mati

Written By JOM JALAN on 2/08/04 | Isnin, Ogos 02, 2004

Oleh: ZAID MD NOOR dan AZMAN MD. NOOR

SIK 1 Ogos - Seorang pemuda menetak bakal bapa mertuanya dengan kapak
hingga mati di sini petang ini kerana dipercayai terlalu marah selepas
didakwa membawa keluar tunangnya selama beberapa hari sebelum ini.

Selepas menyerang bakal mertuanya yang berusia 74 tahun, lelaki
tersebut menyerang pula isteri mangsa yang berusia 62 tahun dan anak
perempuannya yang berusia 22 tahun.

Cucu lelaki mangsa yang berusia sembilan bulan juga diserang.

Ketiga-tiga mereka cedera parah. Isteri dan anak perempuan mangsa kini
dirawat di Hospital Sik sementara cucu mangsa dirujuk ke Hospital Alor
Star.

Kejadian itu berlaku di Kampung Jurung, Danglau, Mukim Sok di sini
pada kira-kira pukul 4.30 petang ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Sik, Asisten Supritendan Jalil Ramli
memberitahu, polis percaya kejadian itu berpunca daripada salah faham
dalam keluarga berkenaan.

Katanya, lelaki yang menyerang itu berusia 22 tahun dan tinggal di
Kampung Kuala Beris, tidak jauh dari situ kemudian melarikan diri
dengan sebuah motosikal.

Dua lagi cucu mangsa yang berada di rumah itu, masing-msing berusia
lima dan enam tahun, bagaimanapun terselamat setelah mereka melarikan
diri ke dalam hutan dan meminta bantuan penduduk kampung.

Lelaki yang mengamuk itu dikatakan datang ke rumah bakal bapa
mertuanya dan terus menyerang mangsa yang ketika itu berada di hadapan
rumah.

Mangsa yang ditetak di bahagian tengkuk dan kepala mati di tempat kejadian.

Selepas itu, lelaki tersebut masuk ke dalam rumah dan menyerang isteri
dan anak perempuan mangsa yang sedang berada bersama anaknya yang
berusia sembilan bulan.

Bagaimanapun tunang lelaki yang menyerang itu tidak berada di rumah
tersebut ketika kejadian itu.

Utusan Malaysia difahamkan, mangsa dikatakan tidak bersetuju anak
perempuannya dibawa oleh lelaki tersebut beberapa hari lalu.

Dia dikatakan telah membuat laporan polis dan ini membuatkan bakal
menantunya itu naik berang.

Menurut Jalil, polis kini sedang memburu lelaki tersebut dengan
mengadakan sekatan di beberapa batang jalan raya sekitar daerah Sik.
(Utusan Malaysia)

0 ulasan: