Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

60% hidap diabetes orang Melayu

Written By JOM JALAN on 2/08/04 | Isnin, Ogos 02, 2004

JOHOR BAHRU 1 Ogos - Orang Melayu dikenal pasti sebagai kumpulan
terbesar di negara ini menghidap diabetes atau kencing manis ekoran
kurangnya penjagaan kesihatan terutama ketika mengambil makanan
harian.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Pembangunan
Masyarakat Johor, Dr. Robia Kosai berkata, sehingga kini kajian
menunjukkan 60 peratus penghidap diabetes di Malaysia adalah orang
Melayu.

``Penyakit yang sama juga turut menyerang masyarakat Cina dan India
iaitu masing-masing cuma 20 peratus dan kadar itu agak rendah
berbanding orang Melayu iaitu pada kadar 60 peratus.

``Jadi, kerajaan mahukan semua kaum di negara ini menjaga kesihatan
untuk mencegah diabetes, terutama mengelakkan diri daripada mengambil
makanan dan minuman yang manis pada kadar yang berlebihan,'' ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Kumpulan Sokongan
Diabetes Hospital Pakar Johor di Hospital Pakar Johor di sini, hari
ini.

Robia seterusnya menyatakan, diabetes perlu dielakkan oleh setiap
individu kerana penyakit tersebut boleh menyebabkan kesakitan,
kesengsaraan, kecacatan dan kematian terhadap penghidapnya.

``Oleh itu, pencegahan dan rawatan awal sangat mustahak. Pencegahan
awal cukup mudah, iaitu hanya memerlukan perubahan dari segi cara
hidup.

``Contohnya ialah dengan mengubah tabiat pemakanan dengan mengamalkan
pengambilan makanan secara seimbang dengan betul dan mengurangkan
makanan yang berkalori tinggi, lemak dan gula,'' jelasnya.

Selain itu, tambah Dr. Robia, aktiviti senaman yang sistematik dan
berterusan juga dapat menjamin kesihatan dan dapat mengawal berat
badan.

Robia juga turut mengingatkan orang ramai supaya mengurangkan
pengambilan minuman bergas seperti minuman dalam tin yang menggunakan
pelbagai jenis jenama.

``Minuman bergas dalam tin yang menjadi perhatian umum sekarang
sebenarnya memiliki kandungan gula yang tinggi iaitu secara purata
setiap satu tin mengandungi tujuh sudu gula,'' ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Hospital Pakar Puteri, Aminudin
Dawam ketika berucap pada majlis yang sama berkata, pihaknya
mewujudkan Kumpulan Sokongan Diabetes itu untuk membantu para pesakit
dan ahli keluarganya mengenai rawatan dan penjagaan pesakit diabetes.

Melalui kumpulan itu juga, katanya, ia boleh membantu para pesakit
berkenaan cara-cara untuk memperoleh bimbingan untuk mendapatkan
rawatan yang terbaik bagi mengatasi penyakit
tersebut.(http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2004&dt=0802&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_10.htm)

0 ulasan: