MUI desak yayasan Kristian pulangkan anak yatim Aceh
Daripada: ZULKIFLEE BAKAR
JAKARTA 14 Jan. - Majlis Ulama Indonesia (MUI) mendesak sebuah yayasan Kristian yang berpusat di Virginia, Amerika Syarikat (AS) memulangkan segera 300 anak Aceh yang dibawa keluar dari wilayah itu semasa bencana gempa bumi dan tsunami pada 26 Disember lalu.
Setiausaha Agung MUI, Din Syamsuddin menegaskan kesemua anak Aceh yang kini diasuh oleh yayasan itu dan sebahagiannya sudah berada di luar Jakarta perlu dikembalikan ke wilayah asal mereka melalui saluran pemerintah.
``Jika permintaan ini diabaikan kami akan bertindak lebih tegas kerana kami mempunyai nama pemimpin kelompok yang membawa anak-anak tersebut,'' katanya seperti dipetik detik.com hari ini.
Beliau mengulas tindakan Yayasan WorldHelp yang mengaku telah membawa 300 anak yatim Aceh, mangsa bencana gempa bumi dan ombak tsunami ke Jakarta.
Yayasan ini mempunyai rangkaian di Jakarta yang mengelola rumah anak yatim.
Dalam laporan akhbar Washington Post, 13 Januari lalu yayasan tersebut menyatakan bencana besar di Aceh memberi peluang kepada mereka membawa anak-anak Aceh yang sebahagian besar berumur di bawah 12 tahun keluar dari wilayah itu untuk ditukarkan agama mereka.
Ini kerana, menurut yayasan itu, pada waktu biasa Aceh tertutup untuk orang asing dan penyebar agama.
``Mereka trauma, yatim-piatu, tidak punya rumah, tidak tahu mahu pergi ke mana dan tidak memiliki sesuatu untuk dimakan,'' kata WorldHelp seperti dipetik akhbar harian Republika hari ini.
Presiden Susilo Bambang Yudhoyono sebelum ini mengeluarkan larangan mana-mana pihak membawa keluar anak yatim Aceh dari wilayah itu semasa isu penculikan dan perdagangan anak tersebar luas.
Din seterusnya menjelaskan kes seumpama itu tidak boleh dibiarkan kerana akan menjadi isu serius kepada umat Islam.
``Kami mengetahui 300 anak Aceh yang diambil oleh kelompok fundamentalis Kristian yang dibiayai oleh WorldHelp ini sudah berada di luar Jakarta,'' kata Din lagi.
MUI juga kata Din menyeru pemerintah bertindak tegas mengusir WorldHelp dan organisasi asing lainnya yang menggunakan dalih memberikan bantuan kemanusiaan di Aceh tetapi sebaliknya mempunyai tujuan lain.
WorldHelp yang dikatakan telah mengumpulkan sumbangan sebanyak RM1.3 juta untuk bantuan ke Aceh mengaku mendapat izin pemerintah Indonesia untuk membawa keluar anak-anak Aceh.
Yayasan itu yang ditubuhkan pada 1991 kini mempunyai 100 tenaga kerja di AS dan sejumlah aktivis di 50 buah negara.
Selain WorldHelp beberapa pertubuhan seperti WorldVision, Catholic Relief Services and Church World Service dan Advancing Native Missions (Charlottesville, AS) dikatakan telah berada di Aceh untuk menyebarkan agama Kristian.
Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar Indonesia, Marty Natalagawa menegaskan, pemerintah Indonesia tidak pernah mengeluarkan izin untuk WorldHelp membawa keluar anak-anak Aceh.
Sehubungan itu, katanya, pihaknya akan mendapatkan penjelasan daripada WorldHelp melalui Kedutaan Besar Indonesia di Amerika Syarikat. - Utusan