Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Gempa: Penduduk Lembah Klang panik

Written By JOM JALAN on 29/03/05 | Selasa, Mac 29, 2005

Penduduk Lembah Klang cemas, panik
Oleh ANGELINA SINYANG
KUALA LUMPUR 28 Mac - Keadaan kelam-kabut melanda beribu-ribu penduduk di sekitar Lembah Klang terutama yang tinggal di bangunan tinggi apabila mereka bergegas turun menyelamatkan diri sebaik sahaja bangunan kediaman mereka bergegar tengah malam tadi, kesan daripada gempa bumi di perairan Sumatera.
Antara tempat yang teruk dilanda gegaran di ibu negara ialah kawasan rumah pangsa di sekitar Jalan San Peng, Jalan Loke Yew dan Jalan Hang Tuah serta beberapa buah kondominium dan bangunan tinggi di Bandar Sri Permaisuri dan Jalan Ampang.
Turut merasai gegaran tersebut ialah penduduk yang tinggal di bangunan tinggi di Petaling Jaya, Damansara, Subang Jaya dan Shah Alam.
Gegaran selama lima minit itu mengakibatkan penduduk yang kebanyakan sudah tidur nyenyak terjaga lalu berebut menyelamatkan diri tanpa sempat membawa apa-apa dari rumah masing-masing.
Grace Kolandaisamy, 45, yang tinggal di Rumah Pangsa Melati, Jalan Loke Yew berkata, dia yang sudah tidur terjaga apabila mendengar orang ramai menjerit memberitahu berlaku gegeran di bangunan rumah pangsa mereka.
``Jeritan kuat itu mengejutkan saya dan bila terbangun terasa rumah saya bergoyang kuat dan tanpa berfikir panjang terus saya bergegas turun tangga menyelamatkan diri,'' katanya ketika ditemui di sini.
Seorang nenek, Norsiah Awang, 65, pula berkata, dia yang tinggal di Bagan Serai, Perak baru tiba di rumah anaknya semalam.
``Tidak sangka pula, berlaku gegaran di bangunan rumah pangsa anak saya pada tengah malam ini.
``Pengalaman itu memang menakutkan kerana sejak lahir sehinggalah berusia 65 tahun, inilah pertama kali saya melalui pengalaman seperti ini,'' katanya.
Seorang mekanik, Wong Chia Khong, 39, memberitahu, dia bersama isteri dan tiga anaknya sedang tidur apabila berlaku gegaran di rumahnya.
Kata Chia Khong, gegaran tersebut begitu kuat sehingga menggoyangkan katil di bilik tidur mereka.
Serentak itu, katanya, dia mendengar Balai Bomba dan Penyelamat Hang Tuah yang terletak bersebelahan dengan rumah pangsanya mengeluarkan amaran meminta penduduk keluar meninggalkan rumah masing-masing.
Pengurus Besar Hospital Pusat Rawatan Islam (PUSRAWI), Jalan Ipoh, Wan Mahmood Wan Yaacob, 56, berkata, dia berada di rumah apabila dimaklumkan oleh kakitangannya bahawa berlaku gegaran kuat di pusat rawatan tersebut.
``Mendengar sahaja berita itu, saya bergegas pergi ke hospital. Saya tidak panik kerana pernah melalui pengalaman yang sama semasa insiden tsunami tahun lepas.
Seorang kakitangan Utusan Malaysia yang kebetulan dirawat di hospital itu, Aziz Ghani, 53, berkata, dia terasa seperti dibuai-buai semasa berlaku gegaran tersebut.
Melihat pesakit lain masing-masing keluar menyelamatkan diri, Aziz yang sakit lutut terpaksa mengagahkan dirinya berjalan keluar.
``Saya baru dimasukkan ke hospital pada petang ini. Tidak sangka pula berlaku gegaran kuat dan inilah pertama kali saya merasai gempa bumi,'' katanya.