Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Pelajar digigit anjing enggan balik ke rumah

Written By JOM JALAN on 24/03/05 | Khamis, Mac 24, 2005


MASHITAH Saaid memberi minum kepada anaknya, Mohd. Hazman Khan Seh Zahidi yang cedera diserang anjing di Hospital Putrajaya, semalam. - Gambar AZMAN GHANI.

Oleh: FAUZIAH AROF dan YAP LEE YING

MASHITAH Saaid memberi minum kepada anaknya, Mohd. Hazman Khan Seh Zahidi yang cedera diserang anjing di Hospital Putrajaya, semalam. - Gambar AZMAN GHANI.
PUTRAJAYA 21 Mac - ``Sakit mak, sakit...,'' rintih Mohd. Hazman Khan Seh Zahidi, 9, yang menerima 180 jahitan akibat digigit tiga ekor anjing garang semasa berjalan untuk solat Jumaat di Puchong, minggu lalu.
Dia kini menghadapi trauma. Murid Tahun Tiga Sekolah Kebangsaan Putra Perdana itu enggan pulang ke rumah kerana takut anjing-anjing berkenaan akan menyerangnya lagi.
Igauannya digigit anjing jenis kacukan Jerman Shepherd dan Rottweiler secara serentak sukar dilupakan.
Hazman terpaksa bergantung kepada ubat penahan sakit untuk tidur nyenyak, tetapi selepas terjaga dia akan menangis lagi.
``Walaupun dia sudah boleh berdiri dan berjalan, keadaannya masih lemah.
``Kecederaan pada seluruh bahagian badan Hazman menyukarkan pergerakan serta jadual makan minum hariannya,'' ujar bapanya, Seh Zahidi Seh Hashim, 36, ketika ditemui di kediamannya di Taman Putra Perdana, di sini.
Hazman dibenarkan keluar dari Hospital Putrajaya petang ini.
Bagaimanapun, anak sulung daripada tiga beradik yang dibenarkan pulang pada pukul 4 petang ini, masih perlu mendapatkan rawatan susulan dalam tempoh minggu ini.
Kata Seh Zahidi, anaknya mula meminta ibunya menyuapkan makanan dan boleh bercakap.
``Perkataan yang keluar daripada mulutnya kepada ibunya adalah keluhan keperitan menanggung kesakitan dan enggan pulang ke rumah kerana trauma dengan kejadian yang menimpanya,'' katanya sambil ditemani isterinya, Mashitah Saaid.
Jumaat lalu, Hazman diserang anjing peliharaan jirannya di Taman Putra Perdana, Puchong ketika sedang dalam perjalanan bersama dua orang sepupunya untuk bersembahyang Jumaat.
Akibat serangan itu, Hazman dimasukkan ke bilik bedah hospital hospital hampir lapan jam dari pukul 6 petang hingga 2 pagi bagi membolehkan doktor menjahit luka-luka pada seluruh badannya.
Menurut Seh Zahidi, Hazman asyik merengek-rengek dan mengadu seluruh badannya sakit.
Seh Zahidi menegaskan beliau tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pemilik anjing terbabit.
``Ini kerana bukan kali pertama kejadian tersebut berlaku.
``Walaupun beberapa laporan mengenai anjing terbabit dibuat sebelum ini, tiada sebarang tindakan yang diambil sehingga insiden yang menimpa anak saya,'' katanya.

Lihat tajuk berkaitan:
Pelajar digigit anjing luka 180 jahitan
Anjing ada `rekod'
Hazman dimasuk semula ke hospital
Hazman terkejut setiap kali terdengar bunyi bising