Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Written By JOM JALAN on 8/04/05 | Jumaat, April 08, 2005


Jawi sedia jadi orang tengah antara Nasha dengan bapa
Oleh Norhafzan Jaafar
KUALA LUMPUR: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sedia menjadi orang tengah bagi menyelesaikan kes saman yang dikemukakan terhadap Nasha Aziz, oleh bapa kandungnya, Abdul Aziz Mohamed Ali.
Pengarah Jawi, Che Mat Che Ali, berkata kedua-dua pihak boleh mendapatkan khidmat nasihat serta kaunseling daripada Bahagian Undang-undang Syariah Jawi bagi menyelesaikan pertikaian dua beranak itu.
“Kedua-duanya boleh datang berjumpa pegawai bahagian berkenaan yang dapat membantu bagi menyelesaikan krisis berkenaan.

“Mereka juga boleh mendapatkan khidmat melalui Pusat Pembangunan Keluarga Islam yang terletak di Masjid Amru Ibnu Al-Ass, Bandar Baru Sentul,” katanya di pejabatnya di sini, semalam.

Pada 31 Mac lalu, Abdul Aziz, 57, memfailkan saman terhadap Nasha di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil di Wisma Denmark, berhubung kenyataan yang didakwanya memfitnah kerana membawa maksud dia sudah meninggal dunia.

Peniaga yang juga guru silat itu mendakwa perkataan fitnah yang dinyatakan Nasha diterbitkan dalam akhbar Mingguan Malaysia menerusi artikel bertajuk ‘Jangan tanya hal peribadi’ keluaran 24 Oktober tahun lalu, juga bermaksud beliau bukan ayah kandung artis itu.

Che Mat berkata, krisis antara Nasha dengan bapanya itu bukan masalah besar kerana ia hanya membabitkan hal ehwal kekeluargaan yang boleh diselesaikan secara perbincangan keluarga.

“Mungkin ia hanya berpunca daripada salah faham dan pastinya ada jalan lain yang boleh menyelesaikan perkara itu selain tindakan mahkamah,” katanya sambil berharap agar pihak terbabit dapat menyelesaikan perkara itu di luar mahkamah.

Beliau berkata, isu saman menyaman membabitkan hal ehwal keluarga tidak sepatutnya berlaku dalam masyarakat Islam.

Katanya, masyarakat Islam boleh merujuk kepada Jabatan Agama Islam negeri masing-masing sekiranya berhadapan dengan masalah keluarga, bukannya membawa perkara itu ke mahkamah.