Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Written By JOM JALAN on 8/04/05 | Jumaat, April 08, 2005


Siti mahu fasih bahasa Inggeris
Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
KEYAKINAN diri! Itulah perkara yang paling berharga buat karier Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2004, Siti Nurhaliza ketika mengulas pengalamannya sepanjang menjayakan konsert solonya di Royal Albert Hall, London 1 April lalu.
Selama ini, penyanyi berkenaan mengaku, dia memiliki semua itu dalam dirinya, namun dia tidak berani dan segan untuk meluahkan segala-galanya. Namun, dengan sokongan mereka yang banyak membantunya di sana, termasuk Mahadzir Lokman, dia berjaya menggunakan keyakinan itu sebaiknya.

Antara lain, Mahadzir banyak membantu Siti mempelajari cara berkomunikasi dengan baik bersama penonton ketika berada di pentas. Malah, ‘kelas’ komunikasi bahasa Inggeris (BI) yang dipelajarinya bersama Mahadzir selama dua minggu dengan tiga kali seminggu, dilihatnya, serta pemerhati hiburan, sebagai meninggalkan kesan cukup mendalam dalam diri artis terbabit.

Lalu, dia tidak teragak-agak untuk terus menyambung pembelajarannya demi menguasai bahasa antarabangsa itu.

“Siti faham, abang Mahadzir sudah tentunya sibuk dengan jadual kerjanya juga. Jadi, Siti tidak pasti akan dapat belajar daripada beliau lagi selepas ini. Bagaimanapun, Siti ingin terus belajar dalam memantapkan komunikasi Siti. Kerana itu, Siti mempunyai guru BI sendiri. Sudah tiga bulan Siti belajar daripada guru BI itu. “Maaf, Siti tidak dapat beritahu namanya kepada wartawan. Atas permintaannya, dia tidak mahu publisiti. Namun, apa yang Siti boleh beritahu, guru BI Siti itu ialah wanita India. Siti akan terus menggunakan khidmatnya hinggalah Siti benar-benar fasih BI,” kata penyanyi berusia 26 tahun itu yang turut mempertahankan trofi Penyanyi Wanita Popular buat kali kelapan termasuk dalam edisi ABPBH kali ini.

Selain itu, Siti berkata, tiada apa-apa perubahan yang dirasainya sekembali dari London. Tegas Siti, peribadinya masih seperti dulu biarpun hakikatnya dia sudah melakar sejarah tersendiri menjadi penyanyi Malaysia pertama yang mengadakan konsert solo di dewan berprestij itu.

“Cuma, Siti ingin bawa perubahan pada kerjaya Siti. Siti ingin kekalkan kualiti persembahan Siti selepas ini, sebagaimana Siti lakukan di London. Kerana itu juga Siti perlukan sokongan dan kerjasama baik semua pihak, sebagaimana kerjasama Siti Nurhaliza Productions (SNP) dengan Palace of the Golden Horses ini,” katanya.

Siti berkata demikian ketika ditemui wartawan pada sidang media mengumumkan persembahannya, An Evening With Siti Nurhaliza, di Palace of the Golden Horses, sehari selepas kepulangannya ke tanah air.

Persembahan makan malam di hotel itu akan berlangsung 20 April ini, bermula jam 8 malam. Tiket berharga RM500, RM300 dan RM250 seorang sudah mula dijual dan pada hari sidang media itu. Pihak hotel sudah menerima tempahan kira-kira 40 meja, daripada 95 meja yang disediakan persembahan eksklusif itu.

Kira-kira 30 peratus kutipan yang dibuat daripada majlis anjuran bersama pihak hotel berkenaan bersama SNP itu akan disalurkan kepada Persatuan Kebajikan Anak Pesakit HIV/Aids Nurul Iman Malaysia (Pernim).

Kata Siti, persembahannya nanti berbeza dengan apa yang dibuat di Royal Albert Hall. Selain berkonsep akustik, Siti yang diiringi tujuh pemuzik akan mengadakan persembahan di pentas bergerak yang diletakkan di tengah dewan.

“Kami juga bukan secara suka-suka meletakkan harga mahal untuk persembahan ini. An Evening with Siti Nurhaliza bukan acara biasa. Persembahan ini berbentuk eksklusif dan kami bakal memberikan sesuatu yang terbaik buat penonton. Banyak tenaga kami curahkan bagi menjayakan acara ini yang dirancang sejak dua bulan lalu,” katanya.

Siti juga menegaskan, SNP kini sering mengadakan projek usaha sama bersama pihak lain atas tujuan memajukan lagi perniagaan mereka. Di samping itu, pihaknya juga dapat bertukar-tukar idea serta mempelajari sesuatu yang baru daripada orang lain.

“Apabila SNP mengadakan kerjasama seperti ini, kami mendapat banyak kelebihannya. Atas dasar perniagaan juga, masing-masing mendapat pulangan setimpal dan keuntungan turut dikongsi bersama,” jelas Siti yang sebelum itu memberitahu, persembahan kali ini bukan persembahan sempena Minggu Setiausaha sebagaimana biasa diadakannya sebelum ini.

Untuk persembahan itu, Siti bakal mendendangkan lapan lagu yang sesuai dengan mood acara berkenaan. Katanya, lagu yang dipilih adalah sepadan suasana romantik majlis itu. Selain lagu Melayu, Siti akan juga mendendangkan beberapa lagu Inggeris.

Paling istimewa, Siti akan mempersembahkan hidang pemanis mulut kegemarannya pada malam berkenaan.

Difahamkan, setiap kali bertandang ke hotel itu, Siti akan menikmati hidangan yang diperbuat daripada pisang dan kacang merah yang dibungkus dengan kafaifi serta dihidang bersama ais krim.