Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Agenda Amina Wadud persenda hukum Islam

Written By JOM JALAN on 8/04/05 | Jumaat, April 08, 2005

Artikel Oleh Ghafani Awang Teh

DALAM sejarah moden Islam, kita melihat muncul pelbagai nama yang menimbulkan kontroversi seperti Mirza Ghulan Ahmad mendakwa ia sebagai Rasul Allah terakhir. Serpihan pengikut Mirza telah mewujudkan ajaran Qadiyani yang memfatwakan sebagai agama baru.

Kemunculan Mirza di Pakistan mendapat sokongan kuat penjajah British ketika menjajah Pakistan dan India. Kemudian muncul pula Salman Rashdie yang mendakwa al-Quran sebagai ayat syaitan dan diberi perlindungan hebat oleh masyarakat Barat.

Di Bangladesh pernah muncul Taslima Nasreen yang menulis novel berasaskan mencaci al-Quran. Di negara kita sendiri pernah wujud sekelompok umat Islam tidak mengaku Sunnah Rasulullah dan menerbitkan pula kitab BACAAN.

Persoalan besar timbul ialah apakah kontroversi yang dikeluarkan oleh orang Islam jahil silih berganti itu menjadi agenda pihak-pihak tertentu atau komplot untuk menghakis peranan ulama dan fuqaha dalam menjaga kesucian dan kekuatan nilai ajaran Islam?

Pada 18 Mac lalu, umat Islam terkejut dengan laporan berita luar negara yang menyebutkan seorang wanita menjadi imam dan membaca khutbah sembahyang Jumaat yang diadakan di sebuah gereja di Manhattan New York Amerika Syarikat.

Wanita yang menjadi imam itu ialah Amina Wadud (gambar) seorang profesor dalam bidang pengajian Islam di Universiti Commonwealth Virginia Amerika Syarikat. Beliau seorang ibu tunggal dan mempunyai lima anak.

Tindakan kontroversi Amina Wadud mengenai amalan ajaran Islam bukanlah perkara pelik baginya. Beliau pernah menjadi pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dari 1989-1992 tetapi perkhidmatannya tidak dilanjutkan kerana pandangannya selalu kontroversi.

Dalam satu Persidangan Perundingan Kepemimpinan Islam Peringkat Antarabangsa Berhubung HIV/Aids di Kuala Lumpur pada 20 Mei 2003, beliau mencaci al-Quran dan Sunnah kerana mendakwa ajarannya berkaitan pendidikan seks menyebabkan HIV/Aids merebak.

Isu utama dalam tindak tanduk terbaru Amina Wadud ialah menjadi imam sembahyang Jumaat, membaca khutbah dan setiap saf-saf sembahyang Jumaat itu bercampur aduk lelaki dan wanita.

Tindakan Amina Wadud menjadi wanita Islam pertama di dunia menjadi imam sembahyang Jumaat dan membaca khutbah menerima kecaman ulama di seluruh dunia, antaranya Syeikh Yusuf al-Qardhawi.

Menurut Syeikh Yusuf al-Qardhawi, fuqaha bersependapat wanita diharamkan menjadi imam sembahyang Jumaat dan membaca khutbah. Pendapat ini berdasarkan pengajaran dan bukan berdasarkan adat sesuatu kaum seperti mana yang didakwa, ketika memberi ulasan lanjut kepada agensi berita Islam Online tentang wanita diharamkan menjadi imam sembahyang kepada makmum lelaki ialah:

Tidak pernah terjadi dalam sejarah Islam seorang wanita menjadi imam solat Jumaat dan membaca khutbah;

Tidak ada seorang Fuqaha pun bersetuju membenarkan wanita menjadi imam solat Jumaat dan membaca khutbahnya;

Sembahyang dalam Islam membabitkan perbuatan pelbagai pergerakan zahir dan batin. Ia tidak mengandungi semata-mata upacara keagamaan serta tidak bercampur aduk antara lelaki dan wanita. Ibadah sembahyang dalam Islam memerlukan tumpuan penuh minda, perasaan dan penyerahan hati khusyuk kepada Allah swt.

Islam menggariskan beberapa peraturan untuk menentukan umatnya beribadah kepada Allah swt secara tertib dan beradab bagi mencapai kekhusyukan dalam menunaikan ibadah kepada Allah.

Selari dengan kehebatan ibadah sembahyang, maka Islam menetapkan beberapa garis panduan dalam melaksanakannya.

Dalam peraturan menunaikan sembahyang berjemaah lelaki dan perempuan Rasulullah bersabda: "Sebaik-baik saf bagi lelaki ialah saf yang pertama dan seburuk-buruknya saf yang terakhir manakala sebaik-baik saf bagi wanita ialah saf yang paling belakang dan seburuk-buruknya adalah saf yang pertama." – (Riwayat: Muslim).

Hadis ini adalah hadis sahih. Ini adalah peraturan dan disiplin sembahyang berjemaah dalam beribadah kepada Allah.

Islam membenarkan wanita menjadi imam kepada makmum wanita saja. Beberapa hadis yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi dan Darqatani menyatakan Aisyah dan Ummu Salamah (isteri-isteri Rasulullah) menjadi imam kepada jemaah wanita saja.

Tempat duduk bagi imam wanita pula adalah dalam saf yang pertama sebaris dengan makmum, tidak terkedepan seperti mana peraturan kedudukan imam lelaki. Tidak ada hadis yang menyebut langsung mengenai wanita boleh menjadi imam sembahyang Jumaat dan membaca khutbah.

Islam memberi persamaan hak berdasarkan keadilan kepada lelaki dan perempuan. Peraturan pengasingan lelaki dengan wanita dalam ibadah sembahyang menunjukkan Islam adalah agama yang tersusun dan bersistem. Ia sebenarnya memberi kebaikan dan kesejahteraan kepada semua pihak. Mereka menunaikan sembahyang untuk mencapai kekhusyukan sepenuh dan diredai Allah swt. Allah swt menyebut dalam al-Quran bahawa orang Islam yang berjaya ialah mereka yang khusyuk dalam sembahyang (Al-Mukminum:1) dan orang yang lalai dalam sembahyang adalah orang yang kerugian besar. – (al-Maaun: 4).

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim pula menyebut kehebatan dan kecemerlangan sembahyang akan menentukan seseorang itu ahli syurga atau neraka. Ternyata bahawa ibadah sembahyang adalah satu ibadah yang paling hebat dan memberi nikmat besar kepada individu yang mencapai kekhusyukan dalam sembahyang. Ketinggian martabat dan hakikat sembahyang dalam pembentukan peribadi umatnya amat nyata apabila Allah swt menyerah sendiri kepada Rasulullah saw mengenai perintah melaksanakan ibadah sembahyang semasa peristiwa Israk-Mikraj.

Tindakan kontroversi seorang wanita menjadi imam sembahyang Jumaat dan membaca khutbah jelas sekali tidak mengambil kira ketinggian martabat dan kehebatan hakikat sembahyang itu. Oleh itu tindakan tersebut jelas dilihat sebagai tindakan wanita untuk memperjuangkan hak asasi wanita sebagai:

Memperjuangkan hak sama-rata lelaki dan perempuan seperti mana yang diamalkan dalam kebebasan pergaulan lelaki dan perempuan seperti mana yang terdapat dalam upacara sembahyang agama lain.

Berusaha melanggar disiplin ilmu yang dipegang oleh ulama dan fuqaha yang menjadi benteng kekuatan pegangan nilai umat Islam. Jika usaha ini berjaya maka peranan ulama dan fuqaha dalam mempertahankan nilai Islam akan terhakis.

Dengar datangnya sesuatu peristiwa baru, umat Islam hendaklah berfikir secara terbuka sebelum menerimanya. Ia juga hendaklah dinilai dan diselidiki dengan ilmu dan panduan yang jelas sebelum mengikutinya.

Firman Allah swt di dalam surah al-Hujuraat ayat 6 yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang telah kamu lakukan". – Rencana sumbangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Kiriman Zil Kamal zilkamal@gmail.com