Written By JOM JALAN on 8/04/05 | Jumaat, April 08, 2005
Kematangan yang ditunjukkan Siti pada aspek komunikasi menyebabkan keseluruhan persembahannya pada malam itu melengkapkan misinya.
Pasaran global - Siti sudah bersedia
Oleh SAHARUDIN MUSTHAFA (Yang membuat liputan konsert solo Siti di Royal Albert Hall, London, baru-baru ini)
JARANG benar artis Malaysia bercita-cita mahu mengadakan persembahan di Royal Albert Hall, London.
Barangkali, sebilangan besar daripada mereka merasakan sukar untuk berbuat demikian di pentas antarabangsa.
Tapi hari ini penyanyi nombor satu negara, Siti Nurhaliza sudah membuka ruang kepada penyanyi-penyanyi Malaysia yang lain untuk menuruti langkahnya pada masa depan.
Siti memahat nama yang sangat cemerlang di mata pengurusan dewan itu sehingga diundang beraksi sekali lagi.
Mengadakan persembahan di dewan itu merupakan cita-cita Siti sejak dari dulu lagi. Dan anak seni berusia 26 tahun itu tidak lagi bermimpi apabila pada 1 April lalu cita-cita dan impiannya itu menjadi kenyataan.
Pada persembahan solo di dewan berusia 134 tahun itu, Siti memperlihatkan kematangannya pada segenap aspek termasuk vokal bertenaga dan kematangan skil komunikasinya.
Lebih istimewa lagi, pada persembahan solonya itu Siti tidak sekadar berbahasa Malaysia, sebaliknya, dia menyahut cabaran bercakap dalam bahasa Inggeris dengan baik sekali.
Itulah hasilnya bagi Siti yang sangat konsisten dalam kerjaya seninya.
Setiap inci kelemahannya diperbaiki dari semasa ke semasa dan Siti juga telah bekerja keras merealisasikan hasratnya.
Yang penting, Siti mendapat sokongan bukan sahaja daripada peminat-peminatnya, sebaliknya, bersama-sama Siti ke kota metropolitan itu ialah rombongan tenaga kerja yang hebat dan mereka yang mempunyai reputasi cemerlang dalam dunia hiburan.
Hasilnya, selepas susah payah meyakinkan pihak pengurusan Royal Albert Hall, dia akhirnya memijakkan kaki dan menjadi artis Malaysia pertama mengadakan konsert solo di dewan itu.
``Saya mahu anda semua tahu bukan mudah untuk artis seperti saya mengadakan persembahan di sini dan sebetulnya pada ketika ini saya sangat gementar,'' katanya dalam bahasa Inggeris selepas menyampaikan lagu Dialah Di Hati, Ku Milikmu dan Cinta Tak Berganti secara medley sebagai pembukaan konsertnya.
Prestij
Dewan berprestij itu ditawan Siti dengan matlamat untuk memperkenalkan muzik Malaysia di peringkat global.
Dan Siti bertuah kerana dia berjaya meletakkan namanya sebaris dengan penghibur terbaik.
Konsert yang berlangsung lebih dua jam itu memperlihatkan kemampuan lagu-lagu Melayu menguasai pasaran global.
Masakan tidak! Suara merdu Siti menyampaikan lebih 30 buah lagu pada malam bersejarah itu turut diiringi sekumpulan muzik Orkestra Simfoni London (LSO) iaitu suatu perkara yang jarang-jarang dilakukan oleh pemuzik berkenaan.
Pastinya juga ini akan menjadi sejarah yang sukar dilupakan dalam sejarah industri muzik tanah air.
Jika selama ini kita lebih banyak mendengar lagu-lagu Melayu dimainkan oleh bangsa sendiri, kelainan di Royal Albert Hall ialah irama Melayu turut dimainkan oleh pemuzik berbangsa Inggeris.
Barangkali, pemuzik-pemuzik LSO juga sudah tentu teruja apabila mendengar keindahan muzik Melayu yang disusun semula muziknya oleh Pengarah Muzik terkenal tanah air, Roslan Aziz.
Sentuhan Roslan juga sebetulnya masih berbisa dan dia memberikan hasil yang sangat luar biasa sehingga hasil susunan muzik bagi kesemua lagu terutama lagu-lagu Melayu nyanyian Siti bagaikan lagu-lagu baru penyanyi itu.
Selain LSO, persembahan Siti turut diiringi sekumpulan pemuzik Malaysia dan diiringi oleh konduktor terkenal Indonesia, Erwin Gutawa.
Kematangan yang ditunjukkan Siti pada aspek komunikasi menyebabkan keseluruhan persembahannya pada malam itu melengkapkan misinya.
Pada malam itu juga, daripada 30 buah lagu Melayu hanya sebuah lagu Inggeris iaitu Get Here menjadi pilihan penyanyi yang turut ditabalkan sebagai Bintang Paling Popular pada majlis Anugerah Bintang Popular, Ahad lalu.
Antara lagu berentak pop yang digubah semula oleh Roslan ialah Debaran Cinta, Bisikan Asmara, Seindah Biasa, Percayalah, Dialah Di Hati, Ku Milikmu dan Cinta Tak Berganti.
Sementara lagu-lagu tradisional yang menjadi pilihan tempoh hari pula ialah Nirmala, Cindai, Zapin Budi, Joget Pahang, Joget Berhibur, Joget Kasih Tak Sudah, Ya Maulai, Mahligai Permata dan lain-lain.
``Semenjak kecil lagi, saya didedahkan dengan lagu-lagu tradisional kerana ibu dan ayah saya begitu cintakan kesenian itu dan di dewan hebat ini saya mahu berkongsi keindahan lagu-lagu itu dengan anda semua,'' ujar Siti sebelum menyampaikan seleksi lagu-lagu tradisional itu.
Di dewan itu, Siti juga memperlihatkan keberaniannya mempersembahkan tarian yang berbeza daripada penampilannya sebelum ini.
Barangkali, Siti sangat realistik bahawa elemen-elemen berani dan moden, penting dalam usahanya mengetengahkan namanya di peringkat global.
Biarpun begitu, itu tidak bermakna Siti lupa dengan pendiriannya untuk mengekalkan budaya wanita Timur.
Empat persalinan yang membaluti tubuhnya sarat dengan elemen-elemen kesopanan.
Kemeriahan konsert juga diteruskan apabila khalayak yang terdiri daripada 80 peratus rakyat Malaysia dan selebihnya penonton asing, bangun sambil menari ketika Lagu Rindu didendangkan Siti.
Kepuasan
``Saya sangat senang hati melihat anda semua terhibur selain menghayati setiap lagu yang saya nyanyikan. Semua ini memberi kepuasan kepada saya,'' kata Siti merakamkan penghargaannya.
Kejayaan Siti untuk menembusi peringkat global bermula dengan konsert di Royal Albert Hall.
Selepas ini, Siti berikrar untuk bekerja lebih keras untuk memastikan dia lebih yakin untuk menembusi pasaran global.
``Insya-Allah saya sudah bersedia untuk menembusi pasaran global. Maklum balas yang diterima di Royal Albert Hall memberi motivasi kepada saya untuk membuktikan muzik Malaysia mampu mendekati bangsa asing.
``Apa yang menggembirakan saya juga ialah pertaruhan saya di Royal Albert Hall tidak sia-sia dan saya mahu seluruh rakyat Malaysia berkongsi kebanggaan ini,'' kata Siti lagi.
Sebaliknya, apa yang Siti perlu tahu ialah dia hanya memerlukan keyakinan diri yang teguh untuk membawanya ke mercu paling tinggi dalam karier seninya.