Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Written By JOM JALAN on 9/04/05 | Sabtu, April 09, 2005


KAPAL MISTERI...Kapal Glenn Brave Heart yang berlabuh kira-kira 500 meter di luar dermaga Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang menimbulkan tanda tanya banyak pihak berikutan beberapa aktiviti mencurigakan dikesan di atas kapal tersebut.
Kapal misteri di Pelabuhan Utara jadi tanda tanya
PELABUHAN KLANG 8 April - Petugas di Pelabuhan Utara di sini tertanya-tanya mengenai kehadiran sebuah kapal misteri yang berlabuh kira-kira 500 meter dari dermaga pelabuhan itu sejak Julai lalu.
Lebih mencurigakan, dakwa mereka, terdapat aktiviti ketenteraan yang dilakukan di atas kapal tersebut setiap pagi yang melibatkan kira-kira 25 anggota tentera berpakaian komando yang dilengkapi dengan raifal M-16.
Antara aktiviti tersebut ialah berkawat setiap pagi dan beberapa latihan ketenteraan ala komando dari semasa ke semasa, seolah-olah mereka sedang bersiap sedia untuk melakukan suatu tugasan khas.
Menurut seorang saksi, anggota komando Gurkha itu berpakaian seragam warna coklat perang, beret warna merah yang tertulis Dare To Die dan terdapat bendera empat negara Malaysia, Singapura, Indonesia dan Brunei pada lengan kanan uniform mereka.
Dakwanya, kapal itu dikatakan mempunyai bahagian buritannya yang boleh dibuka untuk menjadi pelantar dan mempunyai kira-kira 20 petugas awam, dipercayai berbangsa Nepal dan Myanmar.
Selain itu, kapal tersebut juga dilihat membawa sebuah helikopter sering meninggalkan kapal itu untuk ke satu destinasi yang tidak diketahui dan akan kembali mendarat di situ.
``Malah, helikopter itu juga pernah dilihat membuat penerbangan malam,'' katanya.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, kapal itu dicat dengan warna kelabu iaitu warna universal bagi kapal tentera laut dan tertera perkataan Glenn Brave Heart dengan nombor kapal L 1946 pada badannya.
Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut dengan sumber perkapalan mendapati, kapal tersebut didaftarkan di Panama sebagai sebuah kapal dagang tetapi nombor pada kapal itu adalah milik sebuah kapal tentera laut sebuah negara.
Pemeriksaan itu juga mendapati kapal tersebut mematikan Sistem Pengenalan Automatiknya (AIS) iaitu salah satu keperluan yang mesti dipatuhi oleh semua kapal dagang setiap masa.
AIS yang menggunakan frekuensi radio akan membolehkan kedudukan sebenar kapal itu dikesan oleh pihak berkuasa dan hanya kapal perang sahaja tidak memasang sistem itu.
Menurut sumber Northport, pihaknya tidak boleh mengambil tindakan terhadap kapal tersebut kerana ia tidak berlabuh di dermaga.
``Ia berada di luar kawasan kita dan hanya pihak berkuasa negara seperti polis dan tentera laut boleh membuat pemeriksaan lanjut terhadap kapal tersebut,'' katanya.
Kementerian Pertahanan ketika dihubungi berkata, pihaknya sedang menyiasat kehadiran kapal itu dan belum dapat memberi jawapan.