Oleh: HATA WAHARI
KUALA LUMPUR 8 April - Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Rais Yatim hari ini memberitahu, beliau `amat terseksa' apabila mendengar siaran radio Rentak Irama Melayu Asli (RIMA) dalam bentuk baru.
Malah, katanya, sejak RIMA diubah konsep asalnya dan kini dikenali sebagai Klasik FM, beliau terpaksa menapis dan mengubah siaran apabila radio tersebut menyiarkan lagu-lagu lain.
Bekas Menteri Penerangan yang mengakui peminat setia RIMA itu menyifatkan RIMA sekarang sebagai radio `potpuri klasik' kerana mencampuradukkan lagu Hindustan dan lagu-lagu Inggeris lama.
``Saya tidak faham mengapa konsep asal RIMA ditukar daripada 100 peratus lagu-lagu Melayu asli kepada 70 peratus lagu Melayu asli dan 30 peratus lagi lagu-lagu lama dari pelbagai bahasa.
``Sekiranya Kementerian Penerangan ingin menyiarkan lagu-lagu lama seperti lagu Hindustan, kementerian seharusnya mewujudkan radio lain yang boleh menggunakan konsep lagu klasik.
``Adalah lebih baik sekiranya lagu-lagu klasik bahasa lain ini disiarkan di stesen-stesen radio bahasa tersebut kerana ia lebih sesuai dan praktikal,'' kata Rais kepada Utusan Malaysia hari ini.
Rais memberitahu, sebelum ini beliau mewajibkan pemandunya memasang siaran radio tersebut setiap kali menaiki kereta untuk ke pejabat atau ke mana-mana sahaja.
Malah beliau sentiasa mendengar siaran RIMA setiap kali berada di rumah atau di mana-mana sahaja kawasan yang mendapat siaran radio tersebut.
Malangnya kata Rais, sejak konsep asal RIMA ditukar beberapa minggu lepas, beliau terpaksa menapis dan mengubah siaran kerana `terseksa' mendengar lagu yang disiarkan.
Bagi beliau, katanya, RIMA merupakan siaran radio yang menjadi kebanggaan peminat lagu-lagu Melayu asli.
Rais berkata demikian ketika diminta mengulas desakan beberapa ahli Parlimen yang mewakili Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) mendesak Kementerian Penerangan mengembalikan konsep asal RIMA yang menyiarkan 100 peratus lagu Melayu Asli.
Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Mohamed Aziz yang menjadi jurucakap kumpulan itu berkata, penukaran RIMA kepada Klasik FM dengan format 70 peratus lagu Melayu Asli dan 30 peratus lagu lama pelbagai bahasa hanya merosak dan mencemarkan RIMA.
Malah tegas Mohamed, kesemua ahli Parlimen tidak dapat menerima penjelasan Menteri Penerangan berhubung perkara itu kerana ia bukan realiti sebenar.
Rais memberitahu, ketika sedang asyik mendengar lagu-lagu Melayu asli yang merdu disiarkan oleh radio tersebut, tiba-tiba dipaksa mendengar lagu-lagu Hindustan dan lagu-lagu dari bahasa lain.
Beliau tidak faham kenapa kementerian mengubah konsep RIMA.
Sehubungan itu kata Rais, kementeriannya telah menghantar memorandum mendesak Kementerian Penerangan mengembalikan semula konsep asal RIMA.
``Memorandum itu telah dihantar baru-baru ini kerana kementerian berpendapat konsep asal RIMA harus dikekalkan seperti dulu.
``Kementerian juga akan mengemukakan pendapat ke Kabinet agar konsep asal RIMA dikekalkan sekiranya perkara itu dibangkitkan dalam mesyuarat minggu depan.
``Bagaimanapun perkara ini perlu dibangkitkan sendiri oleh Menteri Penerangan, Datuk Seri Abdul Kadir Sheikh Fadzir kerana bantahan tersebut membabitkan kementeriannya,'' katanya.
Isu RIMA ini timbul apabila Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) melancarkan penjenamaan semula stesen radionya dengan menggunakan tema 32 stesen, 1 Suara, Radio RTM.
Majlis pelancaran penjenamaan semula radio yang dilancarkan pada 1 April lepas sejajar dengan sambutan ulang tahun RTM ke-59 dengan temanya, Tetap Unggul.
Sempena penjenamaan itu, semua 32 stesen radio milik kerajaan akan menggunakan nama baru dan ini termasuk RIMA yang ditukar nama kepada Klasik FM.