SEPANG 19 April - ``Saya senang (gembira) sekali dapat ke Kuala Lumpur, orang di sini sangat baik dan pemurah,'' kata Mahathir Mohamad, anak yatim piatu dari Panti Asuhan Al-Wasliah, Desa Mudik, Pulau Nias sebelum berlepas pulang dari Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA), pagi ini.
Mahathir, 9, yang diterbangkan dengan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) ke sini pada 14 April lalu atas usaha Utusan Malaysia turut melahirkan rasa bertuah kerana dapat memenuhi impian bertemu idolanya, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
``Saya paling bertuah bila diterima menjadi tamu kepada Pak Mahathir, orangnya sangat hebat,'' katanya dalam nada ceria ketika ditemui sebelum menaiki pesawat MH860 ke Medan, di KLIA, di sini.
Kanak-kanak tersebut kelihatan tidak sabar-sabar untuk pulang dan menceritakan pengalaman singkat yang amat manis baginya ketika berada di negara ini kepada kawan-kawan di Panti Asuhan Al-Wasliah.
Jumaat lalu, iaitu sehari selepas ketibaannya di sini, Mahathir yang diiringi oleh ketua rumah kebajikan Al-Wasliah, Yorhaman Harafei berjaya mencapai impiannya untuk berjumpa dengan Dr. Mahathir apabila menjadi tetamu khas di kediaman bekas Perdana Menteri itu.
Pada pertemuan itu, Dr. Mahathir menyampaikan sumbangan peribadi RM1,200 kepada Mahathir, RM400 kepada Yorhaman dan RM1,000 kepada Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) yang turut membantu membawa kanak-kanak itu ke Malaysia.
Kedatangannya ke sini bermula apabila jurugambar Utusan Malaysia, Halim Khalid yang membuat liputan tragedi gempa bumi di Pulau Nias pada 29 Mac lalu secara kebetulan bertemu dengan Mahathir yang meluahkan hasratnya untuk bertemu bekas pemimpin ternama itu.
Kanak-kanak itu diberi nama Mahathir Mohamad oleh bapa angkatnya kerana sangat kagum dengan kepimpinan Dr. Mahathir yang mendapat pengiktirafan dunia sebagai pemimpin ulung.
Ketika ditanya mengenai nasihat daripada bekas Perdana Menteri itu, Mahathir yang asyik bermain dengan patung beruang berwarna krim tersenyum sambil berkata, ``saya akan ikut semua nasihat dia''.
Dr. Mahathir semasa dalam pertemuan itu menasihatkan kanak-kanak itu supaya tekun belajar supaya berjaya kelak.
Rombongan Mahathir dan Yorhaman itu turut disertai oleh pegawai PBSM, Suhana Mohd. Salleh, Pengerusi Media PBSM, Datuk Ahmad Talib serta wartawan dan jurugambar Utusan Malaysia, Shahril Kadir dan Raja Jaafar Raja Ali.
Sementara itu, Yorhaman berkata, Mahathir telah meluahkan hasratnya untuk kembali ke Malaysia kerana kagum dengan keindahan dan sikap ramah rakyat negara ini.
``Dia memberitahu saya, Dr. Mahathirlah yang membangunkan Malaysia. Malah dia turut kagum, bekas Perdana Menteri itu pintar sekali menguruskan (memerintah) negara.
``Bagi saya sendiri, tidak mungkin tanpa pemimpin yang bagus (hebat) seperti Pak Mahathir itu Malaysia dapat menjadi sebuah negara yang makmur. Indonesia perlu mengikut cara Malaysia kalau mahu maju,'' katanya.
Katanya, beliau dan Mahathir turut mendapat pengalaman baru yang tidak terfikir oleh mereka sebelum ini iaitu bersemuka bekas Perdana Menteri yang sesekali dilihat di kaca televisyen atau mendengar suaranya di radio.
``Pak Mahathir begitu baik sekali dan bersedia menerima orang-orang kecil (miskin) seperti kami dan ini membuat kami lebih kagum kepada beliau,'' tambahnya.
Penerbangan Malaysia telah menaja tiket penerbangan pulang Mahathir dan Yorhaman ke Medan selain memberi pengecualian caj untuk bagasi yang mengandungi pelbagai sumbangan daripada orang ramai termasuk pakaian, buku serta kitab suci al-Quran.