Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Written By JOM JALAN on 7/04/05 | Khamis, April 07, 2005


Sukarnya jadi anak seorang cendekiawan
Oleh KHADIJAH IBRAHIM
ANAK mana yang tidak merasa bangga kalau orang asyik bercerita tentang kehebatan bapanya sebagai seorang cendekiawan negara. Namun ada kalanya kebanggaan yang dirasai itu akan bertukar menjadi fobia setiap kali berhadapan dengan orang ramai.
Mana tidaknya, sebaik sahaja orang ramai mengetahui bahawa Norazlina adalah anak kepada Tan Sri Dr. Awang Had Saleh, maka layanan terhadapnya akan berubah serta- merta.
Kata Norazlina, dari segi itu dia merasa bangga menjadi anak kepada tokoh pendidikan negara yang dikagumi ramai kerana sentiasa mendapat layanan istimewa.
Ibaratnya, nama Awang Had Saleh itu menjadi `tiket' untuk Norazlina melangkah ke satu tempat dengan mudah. Namun dia tidak pernah menggunakan kelebihan tersebut untuk kepentingan diri.
Sebaliknya, Norazlina sentiasa berdebar dan takut bila orang mengetahui bahawa dia adalah anak kepada Awang Had Saleh.
Takut
Kata Norazlina, ``Saya takut kalau orang membandingkan saya dengan bapa. Sejak di sekolah rendah perasaan itu menghantui saya. Bayangkan! Kalau buat karangan, mesti kawan-kawan kata saya minta tolong bapa. Sebenarnya, saya buat sendiri dan kemudian barulah bapa perbetulkan mana yang salah.
``Bila saya dewasa, ada yang cuba membandingkan kredibiliti saya dengan bapa,'' cerita Norazlina.
Masalahnya, kata Norazlina, dia tidak mempunyai ilmu atau kredibiliti seperti bapanya. Jelasnya, dia hanyalah anak Awang Had Saleh dan tidak mampu untuk menandingi atau berada sebaris dengan bapanya.
Kata Norazlina, dalam mendidik anak-anak seramai enam orang, bapa dan ibunya sentiasa tegas dan bersikap terbuka.
Hasil daripada didikan itulah sehingga kini, Norazlina tidak kekok untuk bergaul dengan pelbagai lapisan masyarakat baik di bandar atau desa.
Selain itu, bapanya juga tidak menghalang Norazlina menceburi bidang penyiaran, walaupun dia merupakan pemegang ijazah dalam bidang reka bentuk dari universiti luar negara.
``Dari dulu bapa memberikan anak-anaknya kebebasan mencorak masa depan sendiri. Dalam keluarga, hanya saya saja yang membabitkan diri dalam bidang sebegini. Seorang kakak saya, ikut jejak bapa, dia jadi pensyarah,'' cerita ibu kepada Karisma Putera Abdul Rahman, 5 dan Kencana Putera Abdul Rahman, 17 bulan.
Seperti Wan Zaleha yang sinonim dengan TV3, nama Norazlina juga sering dikaitkan dengan ntv7. Sewaktu kemunculan stesen tersebut, dia merupakan di antara pembaca berita utama.
Kehilangannya selama setahun setengah kerana mengikut suami ke Sabah, membuatkan peminat-peminatnya kerinduan. Kini Norazlina kembali ke stesen ceria anda itu sebagai Pengurus Bahagian Persembahan.
Selain itu, dia juga bakal muncul sebagai pengacara dalam program bual bicara, Diyan Cerita Seorang Wanita yang akan bersiaran pada 16 April ini pukul 4.30 petang.
Program itu akan mengundang beberapa wanita dari pelbagai peringkat untuk berkongsi pengalaman pahit manis dalam kerjaya.
``Selama setengah jam saya akan menemu bual tetamu. Ini adalah program bual bicara pertama yang saya kendalikan. Memang mencabar sebab ia dibuat secara langsung,'' katanya tentang Diyan Cerita Seorang Wanita yang bakal disiarkan selama 26 episod itu.