Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Empat lelaki cedera ditetak berebut tapak sarang burung

Written By JOM JALAN on 6/04/05 | Rabu, April 06, 2005

Oleh: HALIMAH JULKIP

KOTA KINABALU 5 April - Akibat berebut tapak mengutip sarang burung, empat lelaki cedera ditetak dengan parang dalam pergaduhan membabitkan dua kumpulan di kawasan Gua Madai, Kunak-Lahad Datu, semalam.
Empat lelaki yang cedera itu berusia 24 hingga 32 tahun.
Pergaduhan itu juga berlarutan hingga ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kunak apabila empat lagi lelaki dari dua kumpulan terbabit bertumbuk ketika membuat laporan polis.
Polis berjaya meleraikan pergaduhan itu dan menahan kesemua mereka berusia 31 hingga 39 tahun untuk siasatan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kunak, Asisten Supritendan Mohd. Rizuan Mohd. Zain berkata, dua daripada mangsa telah dihantar ke Hospital Tawau dan dilaporkan stabil, manakala dua lagi diberi rawatan pesakit luar.
``Dalam kejadian pukul 8.30 pagi itu, dua kumpulan pencari sarang burung berselisih faham apabila masing-masing berebut untuk mengutip sarang burung di kawasan tersebut,'' katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Gua Madai adalah antara kawasan tumpuan pencari sarang burung yang popular di Sabah dan sarang burungnya mempunyai nilai komersial tinggi di pasaran. Sarang burung banyak digunakan sebagai bahan dalam perubatan Cina.
Kata Mohd. Rizuan, akibat masing-masing tidak mahu mengalah, kedua-dua kumpulan itu mula bertengkar hingga berlaku insiden tetak-menetak.
Empat lelaki dari kedua-dua kumpulan itu cedera di leher, tangan dan tulang rusuk.
Mohd. Rizuan memberitahu, empat lagi lelaki yang ditahan itu pula adalah ahli keluarga keempat-empat mangsa.
Beliau berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.