Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Konsert di London - Berapa ramai penonton mat saleh?

Written By JOM JALAN on 6/04/05 | Rabu, April 06, 2005


SITI Nurhaliza bersama sebahagian daripada ahli kelab Sitizone.com yang menyambut kepulangannya di KLIA petang kelmarin.

Oleh ABD. AZIZ ITAR

KITA memang boleh berbangga apabila Siti Nurhaliza berjaya mengadakan konsert solo pertamanya di Royal Albert Hall, London pada 1 April lalu.
Namun, sedihnya masih ada yang mempertikaikan pencapaian yang diraih oleh Siti. Antara `suara sumbang' yang ditimbulkan ialah, di manakah hebatnya konsert itu kalau lebih 90 peratus penonton yang menyaksikannya terdiri daripada rakyat Malaysia yang kebetulan berada di London.
Utusan Malaysia sempat menemui Siti sejurus selepas dia tiba dari London petang Isnin lalu bagi mendapatkan komennya berhubung isu tersebut.
``Siti tak kisah. Itu terpulanglah pada pandangan masing-masing. Apa pun bagi Siti, konsert itu bukanlah sesuatu yang mudah untuk direalisasikan,'' komennya ringkas.
Menurut Siti, dia tidak menafikan konsert itu paling banyak disaksikan oleh rakyat Malaysia di sana berbanding penduduk London sendiri.
Bagi Siti, apa yang penting konsert itu akan Siti jadikan batu loncatan untuk mengorak langkah ke peringkat antarabangsa dalam bidang nyanyian.
``Siti akui daripada 2,500 penonton, hanya 10 hingga 20 peratus sahaja mat saleh yang menonton konsert Siti di Royal Albert Hall. Penonton selebihnya hanya pelajar dan rakyat Malaysia yang kebetulan berada di sana.
``Mat saleh yang datang itu pun dibawa oleh pelajar-pelajar kita di sana. Walaupun jumlahnya tidak ramai tetapi Siti yakin mereka berpuas hati.
``Mereka tentunya akan bercakap dari mulut ke mulut tentang konsert itu. Bagi Siti, ini juga satu publisiti awal Siti di sana,'' katanya.
Sementara itu, Roslan Aziz selaku Penerbit dan Pengarah Muzik konsert Siti di London amat berpuas hati dengan persembahan anak kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu.
``Saya sifatkan konsert Siti di London sempurna dan berjaya mencapai matlamatnya. Siti memang layak mengadakan konsert di pentas seperti Royal Albert Hall.
``Tiada sebarang masalah atau insiden yang tidak diingini sewaktu konsert itu berlangsung.
``Malah, semua penonton terhibur menyaksikan konsert itu. Ramai di antara mereka berdiri, menari dan menyanyi bersama-sama sewaktu Siti menyampaikan lagu-lagunya,'' kata Roslan semasa ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang petang kelmarin.
Kata Roslan, dia akan ke London dalam beberapa minggu lagi untuk menjalani proses menerbitkan konsert itu dalam bentuk cakera padat video (VCD).
``Siti Nurhaliza Production (SNP) merancang mahu menerbitkan konsert itu dalam bentuk VCD. Tarikh dipasarkan, kena tanya SNP,'' katanya lagi.