Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Written By JOM JALAN on 6/04/05 | Rabu, April 06, 2005


AHLI Dewan Undangan Chuah, Foo Ming Chee (kanan) melihat longgokan timun laut yang ditemui terdampar di pantai Port Dickson, Negeri Sembilan, semalam.
Oleh: TARMIZI ABDUL RAHIM, LAUPA JUNUS dan SUWARNI MOKHTAR
PORT DICKSON 5 April - Beratus-ratus ekor timun laut yang hanya hidup di celah-celah batu karang ditemui terdampar dan mati di tepi beberapa pantai utama di sini semalam - fenomena yang setakat ini masih membingungkan pakar marin.
Fenomena itu sungguh aneh dan tidak pernah berlaku sebelum ini, menurut penduduk di sini yang menyaksikan kejadian tersebut.
Bagaimanapun, pakar marin biologi yang ditanya adakah kematian timun laut ini boleh dijadikan tanda amaran akan berlakunya tsunami dalam masa yang terdekat memberitahu tiada kajian saintifik yang boleh mengaitkannya.
Pertanyaan itu dibuat ekoran fenomena sebelum ini mendapati populasi ikan menjadi banyak di laut Kuala Kedah tiga hari sebelum tsunami 26 Disember lalu dan kehadiran ikan lumba-lumba di perairan yang sama sebelum gempa kuat 29 Mac lalu.
Timun laut atau nama saintifiknya bohadschia-marmorata sepanjang antara 15 dan 35 sentimeter itu mulai ditemui oleh orang ramai di tepi pantai Tanjung Gemuk, Glory Beach Resort, Teluk Kemang dan Linggi kira-kira pukul 5 petang semalam.
Hidupan laut itu kebiasaannya hidup dalam dasar laut berlumpur sedalam antara lima dan 15 meter.
Pensyarah Biologi Marin Fakulti Sains Universiti Malaya (UM), Affendi Yang Amri pula berkata, fenomena itu mungkin ada kaitan dengan kejadian gempa bumi yang berlaku di Pulau Nias, Sumatera, 29 Mac lalu.
Katanya, gempa yang berlaku mungkin telah menyebabkan lumpur berasid yang berada di dasar laut telah naik ke permukaan dan mengganggu habitat hidupan itu hingga menyebabkan kematian dalam kuantiti yang banyak.
``Bagi hidupan laut yang lain seperti ikan, apabila berlaku keadaan sebegini, mereka akan melarikan diri dari kawasan itu, tetapi pergerakan timun laut yang terlalu lambat mungkin menyumbang kepada jumlah kematian yang banyak,'' katanya ketika dihubungi hari ini.
Timun laut itu mempunyai nilai komersial tinggi dalam perubatan alternatif terutamanya dalam perubatan tradisional Cina.
Ia bukannya Gamat seperti yang ditemui di Pulau Langkawi walaupun daripada jenis keluarga spesies yang sama.
Menurut seorang pakar yang terlibat dalam penyelidikan timun laut sejak 20 tahun lalu, Prof Dr. Ridzwan Hashim, hidupan itu merupakan spesies yang tahan lasak kepada tekanan persekitaran melainkan, keadaan pencemaran yang berlaku terlampau teruk.
Menurut Ridzwan, biasanya spesies organisma bentik (hidup di dasar) itu ditemui selepas berlaku ombak.
``Saya dapati fenomena ini berlaku semasa menjalankan kajian di Semporna, Sabah,'' katanya yang juga Timbalan Dekan Akademik, Kulliyah Sains, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Seorang lagi pakar penyelidik hidupan marin, Dr. Razali Kemp Mohamad Rais menyokong pendapat Ridzwan itu.
Beliau berkata, ia mungkin dibawa oleh ombak besar yang berlaku di perairan itu sejak dua hari lalu. Affendi bagaimanapun menolak pendapat itu kerana jika benar ia akibat ombak besar, hidupan laut lain seperti tapak sulaiman akan turut dibawa arus ke pantai.
Ahli Biologi Marin Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Kee Alfian Abdul Adzis juga berpendapat, kejadian ombak besar mungkin ada kaitan dengan fenomena itu.
Apabila ditanya adakah kematian timun laut ini boleh dijadikan tanda amaran akan berlakunya tsunami dalam masa yang terdekat, Kee Alfian berkata tiada kajian saintifik yang boleh mengaitkan kedua-duanya.
Dalam pada itu, menurut Razali, kejadian itu adalah biasa kerana timun laut itu memang ada di dalam dasar laut Port Dickson terutamanya di kawasan batu karang yang berlumpur dan berlumut serta mempunyai rumpai laut.
``Lumut dan rumpai laut yang terlekat pada batu-batu karang memang merupakan makanan utama hidupan ini.
``Timun laut ini memang banyak terdapat dalam dasar laut di sini tetapi ia terlalu jarang ditemuinya terdampar di dasar laut,'' katanya yang juga Pengarah Urusan Akademi Kembara Nusantara Sdn. Bhd. ketika dihubungi di sini.
Katanya, beliau percaya fenomena itu berlaku berpunca kerana sistem ekologi hidupannya dirosakkan oleh manusia.
``Apabila rumah mereka telah diceroboh menyebabkan sistem ekologinya terjejas dan keadaan bertambah teruk lagi apabila berlaku ombak besar baru-baru ini yang telah mengheretnya ke tepi pantai.
``Ini bukan masalah bencana alam tetapi akibat angkara manusia yang tidak bertanggungjawab,'' katanya.