Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Najib terima permohonan maaf Kompas

Written By JOM JALAN on 6/05/05 | Jumaat, Mei 06, 2005

BANGI 5 Mei - Datuk Seri Najib Tun Razak menerima baik permohonan maaf akhbar Indonesia, Kompas, berhubung laporan tidak benar yang mengaitkan beliau dalam isu pergeselan kapal perang Indonesia dan Malaysia di Laut Sulawesi awal bulan lepas.

Timbalan Perdana Menteri berkata, tidak ada tindakan lain akan diambil terhadap akhbar Indonesia itu dan perkara itu telah selesai.

``Tindakan meminta Kompas memohon maaf dibuat kerana secara prinsipnya tindakan ini adalah lebih kepada kepentingan negara daripada kepentingan peribadi,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Gerak Usahawan 2005 dan melancarkan logo baru Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi di sini hari ini.

Akhbar Kompas semalam memohon maaf kepada Najib dan rakyat Malaysia atas kesalahannya melaporkan satu berita yang tidak benar berkaitan isu pergeselan kapal perang Indonesia dan Malaysia di perairan Laut Sulawesi awal bulan lepas.

Ketua Pengarang Kompas, Suryopratomo membuat permohonan maaf itu dalam satu berita yang dilaporkan di muka 11 akhbar itu semalam di bawah tajuk Kompas dan Timbalan Perdana Menteri Malaysia `sepakat berdamai'.

Suryopratomo berkata, apabila hal itu tidak benar, Kompas meminta maaf kepada Najib dan masyarakat Malaysia atas kejadian itu.

Beliau mengakui Kompas tidak mendapatkan pengesahan daripada Najib sendiri, yang juga Menteri Pertahanan Malaysia, sebelum melaporkan berita itu di bawah tajuk Menhan (Menteri Pertahanan) Malaysia minta maaf pada 15 April.

Berita itu, yang dinafikan keras oleh Najib, antara lain menyebut bahawa beliau telah mengemukakan permohonan maaf secara lisan kepada Indonesia berikutan pergeseran kapal Tentera Laut Diraja Malaysia KD Rencong dengan kapal Tentera Nasional Indonesia, KRI Tedung Naga.

Sehubungan itu Najib telah menuntut akhbar Indonesia itu membuat permohonan maaf secara terbuka.

Najib menegaskan, beliau mengambil tindakan tersebut kerana ia lebih menyentuh maruah negara dan tidak akan bertolak ansur terhadap apa-apa isu yang boleh menyebabkan maruah negara terjejas.

``Saya berharap isu ini dan jalan penyelesaiannya akan menjadi contoh yang baik bagi kedua-dua negara dalam mengelak ketegangan di samping mencari jalan penyelesaian.

``Kalau ada masalah kita cari jalan penyelesaian daripada terus berkonfrontasi antara satu sama lain atau mencari jalan meneruskan ketegangan antara kedua-dua pihak,'' katanya.