KONTROVERSI hampir-hampir menjadikan jalan lurus yang menanti di hadapannya kabur dan berdebu. Seolah-olah ada kekangan untuk dia meningkat pantas, apabila satu demi satu berita buruk dikaitkan dengan dirinya.
Mulanya soal status Linda yang dipersoalkan. Kononnya naib juara Akademi Fantasia 2 (AF2) ini adalah ibu kepada seorang anak, tetapi merahsiakannya. Kemudiannya soal kereta mewah yang dipandunya dikatakan ditaja oleh seseorang. Diikuti pula kisah keakrabannya dengan seorang personaliti wanita yang kemudiannya dikaitkan perasaan cinta.
Pendek kata, macam-macam hal yang dikaitkan dengan Linda, semuanya yang tidak sedap di pendengaran. Ini membuatkan namanya bagaikan tenggelam dek kuasa-kuasa anasir tidak sihat itu, lalu meninggalkan dia sedikit di belakang dibandingkan dengan nama-nama bintang baru lain.
Apalah daya. Kata Linda, dia tidak mempunyai kebolehan untuk menutup mulut orang lain daripada bercerita yang tidak baik tentang dirinya.
``Benar kak, kadang-kadang saya sampai tahap fobia untuk jumpa orang media,'' kata Linda meluahkan perasaan kepada Pancaindera.
Menurut Linda, dia pernah berasa takut untuk ditemu bual oleh rakan-rakan media. Tidak mahu hal yang bukan-bukan ditanya dan pada masa yang sama seolah-olah memaksa dirinya untuk menjawab, sedangkan kalau boleh dia tidak mahu melayan gosip dan tuduhan kurang berasas.
``Saya takut sebab tak tahu lagi hendak jawab apa dah. Balik-balik hal sama orang tanya, saya jadi sedih sangat dengan keadaan itu sampai rasa tak mahu jumpa orang lagi terutamanya orang media tetapi akhirnya saya terpaksa akur, inilah perjalanan yang saya pilih. Kalau ini jalannya, hendak tak hendak saya kena lalui dan hari ini saya semakin dewasa.
``Hari ini kalau ada gosip teruk saya tak menangis lagi. Tak mahu ambil pusing sebab tak mahu buat kepala serabut,'' kata Linda dalam senyum yang dipaksa, meluahkan rasa hatinya dengan mata yang berkaca.
Tidak seperti fotografi pertamanya dengan Pancaindera pada Ogos tahun lalu, kini bicaranya nampak makin yakin.
Walaupun dibalut seribu masalah, Linda seorang wanita yang kuat dan hari-hari yang dilewatinya nampak benar makin mematangkan dirinya.
Kata wanita Katholik kelahiran Ranau, Sabah ini dia sedar dibandingkan dengan Farah, Adam dan Zahid, namanya makin merudum. Semuanya gara-gara berita tidak sihat yang dibabitkan dengan dirinya selama ini.
Kata Linda, dia sendiri tidak tahu kenapa takdirnya sedemikian rupa. Ketika banyak yang melihat namanya bakal naik dengan pantas dalam bidang nyanyian dan lakonan dalam masa yang sama seperti ada sekatan untuk dia bergerak dengan lurus, mencari masa depan gemilang.
Sebagai pemenang tempat kedua di Akademi Fantasia 2 musim lalu, Linda dilihat tewas dengan Farah dan Adam, yang mana kedua-duanya jauh lebih popular dibandingkan dengan dirinya.
Farah lebih awal menerbitkan album sulungnya, sama juga dengan Zahid. Sementara Adam sudah mampu berbangga dengan lagu sendiri, sedangkan Linda tiada apa-apa lagi yang boleh dibanggakan.
Apa yang Linda ada? Tak ada apa-apa, cuma mengharapkan persembahan pentas saja. Filem? Terlalu awal mengukur kemampuannya kerana filem lakonannya Gila-Gila Pengantin Popular juga belum di pawagam.
``Memang kawan-kawan lain ada yang jauh ke depan dibandingkan dengan Linda ketika ini.
``Tetapi itu tidak bermakna Linda tidak mendapat peluang yang sama seperti mereka,''kata Linda menegaskan kenyataan.
Menjawab tentang nasib malangnya, kata Linda dia sendiri terkejut apabila berhadapan dengan semua itu. Paling dia kesal apabila hampir tidak ada berita positif tentang dirinya, seolah-olah langkah yang diaturnya teramat sumbang.
``Adakalanya terfikir juga kawan-kawan lain pun kena gosip juga, tapi tak seteruk saya. Seolah-olah apa yang saya buat, semuanya salah.
``Hendak berkawan dengan orang pun salah, hendak buat benda tu tak kena, benda ni pun kena komen. Semuanya jadi serba tak kena,' katanya mengulas mengenai kekecewaan hati dengan lebih lanjut.
Apakah Linda yakin bahawa dia berada di landasan yang betul dan segala tujahan hanya kata-kata fitnah yang tidak berasas?
``Ya, saya berani kata setakat ini saya di landasan yang benar. Pasal kereta, gosip tu bukan saya yang cipta, pihak lain yang cipta,'' tegasnya dengan yakin.
Linda bertanya kepada diri sendiri kenapa hal-hal kecil pun mahu dikaitkan dengan dirinya.
`` Apa yang saya buat, orang lain pun buat juga, tetapi kenapa hanya saya saja yang kena?
Tujahan paling mengguris sudah tentu tentang hak milik keretanya yang dipersoalkan.
``Satu lagi, pasal orang kata saya sudah ada anak. Itu memang tahap teruk kepada saya.
``Saya cuba hendak bagi tahu semua orang bahawa itu tidak benar, tetapi macam mana?
``Akhirnya saya sendiri yang kena makan hati, orang cakap macam-macam tapi tak ada peluang untuk bela diri,'' katanya.
Akhirnya dia terpaksa akur, ini adalah jalan yang sudah dipilih. Bahawa dunia artis terpaksa didepani dengan penuh keberanian.
``Dulu saya hanya baca gosip dan kontroversi artis lain. Sekarang bila kena pada diri saya sendiri, baru saya tahu betapa sakitnya untuk berhadapan dengan semua ini.
``Apa hendak buat, jalan ini sudah saya pilih. Jadi, sabar sajalah selagi saya boleh bersabar,'' katanya.
Kelewatan album sulungnya berada di pasaran adalah berpunca daripada dirinya sendiri, bukan syarikat rakaman Maestro Talent.
``Mereka hendak terbit album saya dulu, selepas Zahid sebelum Farah. Tetapi masa sepatutnya masuk studio, saya sakit. Suara langsung tak keluar dan Maestro bagi saya cuti seminggu.
``Bagaimanapun proses rakaman kena mula juga sebab studio sudah ditempah, jadi Farah yang masuk studio dulu, sebab saya tak sihat.'' katanya.
Selepas dia sembuh, kata Linda dia bersemangat untuk meneruskan rakaman yang tergendala,tetapi sibuk pula dengan aktiviti jelajah AF2 di seluruh negara.
``Saya sendiri pun geram sebab album saya asyik tertangguh. Kalau ada album sendiri mungkin orang tak akan cakap hal-hal yang tak relevan dengan kerjaya seni saya macam sekarang macam yang sedang Farah nikmati sekarang.
Dia jarang kena gosip, sebab dia ada album yang hendak diceritakan, tetapi saya tidak. Mungkin sebab tu orang asyik cakap hal-hal di luar kerja seni saya,'' katanya memberi tanggapan.
Nah, jelas bukan hanya Farah yang disayangi di Masetro Talent, tetapi kesemua bakat baru yang diusahakan untuk berkembang. Cuma masa untuk Linda akan sampai apabila album sulungnya akan ke pasaran nanti.
Sudah terjawab kenapa dan mengapa album Farah lebih dahulu keluar di pasaran. Bukan kerana Linda kurang bagus atau bukan juga kerana pilih kasih Maestro Talent. Sama sekali tidak.
``Album lambat sebab salah saya sendiri. Tetapi nampaknya selepas ini peminat tidak akan menunggu lagi.
``Saya sudah sambung semula rakaman yang tertangguh dan album sulung saya akan dipasaran bila-bila masa saja lagi,'' katanya mengenai album yang dijangka dipasaran awal Ogos ini.
Inilah masa untuk membersihkan segala kekeruhan. Setelah terpalit dengan pelbagai kontroversi yang kurang sihat dan banyak menjejaskan namanya, pemilik nama penuh Norlinda Nunawil ini merasakan dia perlu melakukan sesuatu demi menjaga maruah dan peribadi diri.
``Nama saya perlu dibersihkan. Untuk masa depan, saya tidak mahu lagi melayan perkara-perkara negatif. Saya sudah semakin yakin dengan diri dan pasti apakah kehendak masa depan saya.
``Paling penting saya mahu memberi sepenuh tumpuan kepada kerjaya nyanyian. Biarlah masa yang akan menentukan segalanya dan saya percaya hari depan akan sentiasa cerah untuk saya andai saya tidak mudah menyerah kalah dengan keadaan,'' azamnya.
Pun begitu bukan hanya kecewa yang diraih dalam perjalanan menuju puncak. Masih ada juga berita gembira yang menceriakan dirinya sepanjang bergelar orang popular seperti hari ini.
``Pertamanya sudah tentu rezeki yang datang. Saya gembira sebab rezeki selepas AF banyak membantu kehidupan saya dan membolehkan saya menyara keluarga.
``Apa yang keluarga hendak saya boleh sediakan setakat mana yang saya termampu dan ia mengubat kepedihan yang sama rasai,'' katanya.(TENGKU KHALIDAH TENGKU BIDIN)