Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Baca Yasin, makan biskut -- Razali Hasan ceritakan pengalaman dalam nahas helikopter

Written By JOM JALAN on 1/08/05 | Isnin, Ogos 01, 2005

SYUKUR... Razali Hasan satu-satunya yang terselamat dalam nahas helikopter di Bukit Batu Tiban dekat Kapit, masih mampu berjalan setibanya di Hospital Sibu, Sarawak, semalam. - Gambar ZULAZHAR SHEBLEE. Laporan BORHAN ABU SAMAH dan IZWAR ABDUL WAHID

SIBU 31 Julai - ``Saya hanya membaca Yasin, makan biskut masin dan minum air yang dibawa,'' kata Razali Hasan, satu-satunya mangsa yang terselamat dalam nahas helikopter Long Ranger di Bukit Batu Tiban, Long Singut, dekat Kapit di sini.

Tiga unsur itulah yang menyelamatkannya sepanjang enam hari terperangkap di tebing bukit hutan tebal itu.

Pada malam, Razali tidur di tempat duduk belakang kokpit helikopter - bersama-sama mayat anggota tentera, Koperal Empeni Karong, 33, yang masih terikat pada kerusinya.

Razali, 48, kakitangan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) memang sering membawa biskut masin dan bekalan air setiap kali masuk hutan.

``Saya biasa masuk hutan dan ini membantu semasa saya menempuh keadaan sukar,'' katanya ketika ditemui pemberita semasa dibawa untuk menerima rawatan di Hospital Sibu, hari ini.

Tambah Razali, sepanjang berada di tempat kejadian dia sentiasa berdoa dan membaca surah Yasin yang dibekalkan oleh isterinya, Fatimah Nen, 43, semasa hendak bertolak ke Bukit Batu Tiban.

Berikut ialah cerita ringkas beliau sebelum insiden itu berlaku, yang dipetik secara naratif:

``Juruterbang Kapten Razali Sani, 48, memberitahu kami pesawat akan mendarat di atas bukit itu. Saya melihat Ramli Jamal (rakan sejawatannya dari Jupem) telah membuka pintu helikopter.

``Tiba-tiba angin lintang pukul pesawat kami. Helikopter berpusing-pusing dan jatuh ke bawah. Lepas itu saya tak ingat apa-apa lagi. Saya pengsan. Apabila tersedar saya tengok Koperal Empeni terduduk atas kerusinya tidak bergerak, saya gerak-gerakkannya - dia sudah mati. Saya panik. Saya ambil surah Yassin dari poket dan saya baca bagi tenang diri.

``Saya kemudian cuba cari jalan keluar dan saya lihat helikopter pecah tiga. Kapten Razali tercampak kira-kira tiga meter dari pesawat.''

Mayat Ramli, kemudian ditemui di bawah perut helikopter itu.

Razali kelihatan tenang ketika dibawa ke hospital dan sempat tersenyum kepada ahli keluarga dan para wartawan yang menunggu di hospital itu.

Dia mengalami kecederaan pada tangan, dada dan kepala, tetapi tidak membimbangkan.

Sementara itu adik mangsa, Sedek, 41, berkata, abangnya memang lasak dan mempunyai pengalaman luas tentang hutan kerana lama bekerja dalam bidang pembalakan.

``Semasa kerja dalam bidang pembalakan dia banyak belajar jenis tumbuhan dan serangga yang boleh dimakan.

``Bak kata abang saya, jika ada pisau dan mancis dia akan dapat hidup di dalam hutan,'' katanya.

Helikopter yang dinaiki Razali terhempas pada 25 Julai lalu ketika hendak mendarat di puncak Bukit Batu Tiban bagi mengubah batu tanda di sempadan Sarawak-Kalimantan Barat.