Keluarga buat kenduri - Jika Mawi juara AF3
Written By JOM JALAN on 1/08/05 | Isnin, Ogos 01, 2005
PARA peminat Mawi tentunya boleh menarik nafas lega apabila pelajar Akademi Fantasia 3 (AF3) itu akhirnya terpilih ke peringkat akhir program realiti televisyen (TV) itu pada 6 Ogos ini. Ini kerana, sebelum ini tersebar khabar angin mengatakan tentang adanya satu konspirasi yang mahu menyingkirkan pelajar AF3 yang paling popular itu dari akademi tersebut.
Bagaimanapun, desas-desus itu lenyap di puput bayu apabila Mawi atau Asmawi Ani berjaya meneruskan cabarannya ke peringkat akhir AF3 selepas menyampaikan lagu Pergi Tak Kembali (Rabbani).
Kejayaan Mawi itu turut dikongsi oleh tiga lagi pelajar AF3 iaitu Felix, Marsha dan Amylea yang terpilih ke peringkat akhir menerusi undian khidmat pesanan ringkas (SMS) para penonton selepas berakhirnya konsert minggu kesembilan AF3 di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor malam kelmarin.
Selain para penyokong, ahli-ahli keluarga Mawi juga kelihatan puas dan bersorak gembira apabila nama pelajar dari Felda Taib Andak, Kulai, Johor itu diumumkan terselamat daripada disingkirkan dari AF3.
Bapa Mawi, Ani Ahmad, 65, turut melahirkan rasa bersyukur apabila anaknya itu berjaya menambat hati para pengundi SMS yang sekali gus memilih Mawi untuk meneruskan cabaran bagi memburu gelaran juara program realiti TV paling popular itu.
``Alhamdulillah, pak cik bersyukur kerana Mawi mampu berada hingga ke tahap ini (peringkat akhir). Malam ini Pak cik berserah saja kepada Allah. Kalau ada rezeki dia (Mawi) maka adalah rezekinya tu.
``Kalau ditakdirkan dia terkeluar, pak cik redha. Kalau dia terkeluar bermakna dia tak baguslah, tak ada rezekilah namanya tu. Dulu pun dia pernah terkeluar dari AF3, masa tu pak cik suruh dia balik kampung saja, nak buat macam mana?'' cerita Ani sewaktu Mega menemuinya pada konsert itu bersama menantu lelakinya serta lima orang anak saudara Mawi.
Meskipun Ani mendoakan kejayaan Mawi tetapi dia sedikitpun tidak mengharapkan sebarang habuan daripada hadiah yang disediakan jika ditakdirkan anaknya itu muncul juara AF3.
``Apa pun, selagi belum termaktub keputusan (Mawi menjadi johan AF3), pak cik tak nak lah letak harapan yang tinggi. Tapi kalaulah ditakdirkan Mawi menang, pak cik akan buat kenduri doa kesyukuran kat kampung (Felda Taib Andak).
``Soal hadiah (kondominium) pula, itu terpulanglah kepada dia (Mawi) nak duduk kat mana. Sebabnya, rumah buruk kami di kampong tu pun boleh duduk lagi,'' ujarnya merujuk kepada hadiah yang bakal dimenangi jika Mawi menjuarai pertandingan nyanyian itu.
Dalam pada itu, seorang anak saudara perempuan Mawi yang enggan memberitahu namanya menjelaskan, pelajar AF3 berusia 24 tahun itu sudahpun mempunyai lesen memandu kereta sejak hampir setahun lalu.
``Kalau Mawi menang, dia tak ada masalah nak pandu kereta yang dimenanginya tu. Untuk hadiah pakej melancong pula, saya rasa dia akan pilih saudara terdekatnya pergi dengannya (bercuti ke London),'' katanya.
Apa kata kawan-kawan Mawi
Dalam ribuan peminat yang menyaksikan persembahan konsert AF3 minggu kesembilan itu, kawan-kawan Mawi daripada bekas anggota kumpulan nasyid Warisiqsalam tidak ketinggalan hadir memberi sokongan.
Malah sembilan daripada 14 anggota kumpulan nasyid dari Kulai, Johor yang datang dengan menaiki sebuah bas itu turut mengiringi persembahan Mawi pada konsert tersebut.
Mohd. Sanusi Jaafar, 21, yang merupakan salah seorang anggota Warisiqsalam dan juga teman rapat Mawi sewaktu di zaman persekolahannya merasa bangga kerana dapat memberi sokongan kepada teman sekampungnya itu.
``Saya memang akan sokong Mawi habis-habisan kerana dia kawan lama saya. Suatu ketika dulu, kami pernah sama-sama belajar di Sekolah Menengah Sultan Ibrahim, Kulai, Johor. Dia senior tiga tahun daripada saya.
``Kami tubuhkan Warisiqsalam selepas Mawi balik kampong kerana berhenti kerja di Pasaraya Giant, (bersebelahan Stadium Malawati, Shah Alam). Ketika itu Mawi bekerja sebagai artis (pelukis).
``Kami pernah menyertai beberapa pertandingan nasyid di Johor antaranya di Simpang Renggam pada tahun 2001,'' imbau Sanusi berhubung nostalgianya bersama Mawi suatu ketika dulu.
Seorang lagi rakan Mawi, juga anggota Warisiqsalam iaitu Saiful Md. Said, 24, berkata, ``Saya tahu Mawi memang ada bakat menyanyi sebab saya tinggal berjiran dan sudah kenal lama dengan dia.
``Tapi saya tak sangka dia tiba-tiba boleh jadi top macam ni. Saya bukan sahaja confident tapi over confident Mawi memang boleh jadi juara AF3,'' ujarnya.
Mawi dominasi undian SMS
Sejak minggu kedua menyertai AF3 pada 11 Jun lalu, Mawi menjadi pelajar akademi itu yang paling banyak sekali menerima undian SMS.
Minggu lalu, Mawi masih berada di tangga teratas undian SMS iaitu sebanyak 36 peratus diikuti oleh pencabar terdekatnya, Felix (23 peratus), Marsha (13 peratus), Amylea (13 peratus), Yazer (8 peratus) dan Kefli (6 peratus).
Yazer atau Mohd. Yazer Yusof, 23, dari Tawau, Sabah yang menyampaikan lagu This Love (Maroon 5) muncul pemenang tempat kelima AF3 dan menerima hadiah berupa pakej percutian ke Pulau Bali, Indonesia, beg, kerusi urut, trofi dan wang tunai berjumlah RM3,000.
Sementara itu, Marsha pula menyampaikan lagu Ku Pendam Sebuah Duka (Khatijah Ibrahim), Felix (Anak - Freddie Aguilar), Kefli (Tak Tahu - Adam AF2) dan Amylea (Gemilang - Jaclyn Victor).
Sabtu ini buat kali terakhir menyaksikan Mawi, Felix, Marsha dan Amylea akan berentap di Stadium Malawati bermula pukul 8.30 malam bagi merebut gelaran juara AF3 dan kuasa penentuan itu tentunya 100 peratus berdasarkan undian SMS para penonton. Selamat menuju ke puncak!