Laporan ABD. AZIZ ITAR
SHAH ALAM 30 Julai - Mawi terus mengungguli Akademi Fantasia 3 (AF3) apabila menduduki senarai teratas empat pelajar yang terpilih ke peringkat akhir program realiti tv itu minggu depan.
Keputusan itu sekali gus menafikan desas-desus yang heboh diperkatakan sebelum ini kononnya anak muda yang berasal dari Kulai, Johor itu akan tersingkir hasil usaha pihak-pihak tertentu. Mawi mara ke final
Mawi atau nama sebenar Asmawi Ani, 24, yang mendendangkan lagu Pergi Tak Kembali (Rabbani) memperoleh 36 peratus daripada keseluruhan undian yang dihantar menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).
Tiga pelajar lain yang terpilih ke peringkat akhir terdiri daripada Felix (23 peratus), Marsha (13 peratus) dan Amylea (13 peratus).
Bagaimanapun hasrat dua pelajar lagi iaitu Yazer dan Kefli untuk membuat persembahan di peringkat akhir musnah.
Mawi jelas memukau para penonton yang memenuhi segenap ruang di Stadium Malawati, Shah Alam dan kejayaannya melangkah ke peringkat akhir disambut sorakan penyokong-penyokongnya.
Konsert minggu kesembilan menyaksikan Felix mendendangkan lagu Anak (Freddie Aguilar); Marsha, Ku Pendam Sebuah Duka (Khatijah Ibrahim) dan Amylea, Gemilang (Jaclyn Victor).
Yazer yang mendendangkan lagu This Love (Maroon 5) menduduki tempat kelima membawa pulang hadiah berupa pakej percutian ke Pulau Bali, Indonesia, sebuah kerusi urut, beg, trofi dan wang tunai RM3,000.
Sementara itu, Kefli yang menyampaikan lagu Tak Tahu (Adam AF2) pula tidak mendapat sebarang hadiah sama seperti Elliza, Fuad, Reza, Amy, Ekin, Akma, Aidil dan Idayu yang terkeluar pada konsert-konsert mingguan AF3 sebelum ini.