Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Markas Ayah Pin diroboh

Written By JOM JALAN on 1/08/05 | Isnin, Ogos 01, 2005

ROBOH: Penguat kuasa menjalankan operasi meroboh istana
'kerajaan langit' kumpulan ajaran sesat Ayah Pin
di Kampung Batu 13, Hulu Besut, Terengganu semalam. Laporan Zulkofli Jamaluddin, Ismail Mat, Nazura Ngah, Shaarani Ismail, Mohamad Ishak, Nurhayati Abllah dan Rohana Mohd Nawi



JERTIH: Tiga isteri ketua ajaran sesat Ayah Pin ditahan di sebuah rumah di Kampung Pinang, Palekbang, Tumpat, Kelantan, manakala semua replika di perkampungan ‘kerajaan langit’ itu di Kampung Batu 13, Hulu Besut di sini, dirobohkan dalam operasi berasingan, semalam. Isteri kedua Ayah Pin, Che Jaharah Awang, 45, Ruzilan Mukhtar, 41 (ketiga) dan Nik Kamariah Nik Pa, 33 (keempat) ditahan polis Kelantan, kira-kira jam 12 tengah hari manakala gerakan merobohkan replika di perkampungan kumpulan ajaran sesat itu bermula jam 2.50 petang.

Penahanan tiga isteri Ayah Pin itu dipercayai dapat membantu pihak berkuasa mengesan ketua ajaran sesat terbabit serta isteri pertamanya, Che Minah Ramli, 58, yang melarikan diri sejak 20 Julai lalu.

Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT), Syaikh Harun Ismail, berkata ketiga-tiga isteri Ayah Pin atau Ariffin Muhamad, 62, yang ditahan di sebuah rumah di Kampung Pinang, Palekbang, Tumpat, akan dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Besut, hari ini. Harun berkata, ketiga-tiga isteri Ayah Pin itu ditahan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan dan sudah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Besut.

“Sebaik dimaklumkan mengenai penahanan ketiga-tiga isteri Ayah Pin itu, tangkapan semula dibuat bahagian penguat kuasa Syariah Besut yang diketuai Pegawai Agama Daerah, Zulkefli Othman kira-kira jam 4 petang,” katanya.

Ketiga-tiganya dibawa ke pejabat JHEAT Besut kira-kira jam 6.45 petang untuk soal siasat.

Sementara itu, operasi merobohkan replika di perkampungan induk ajaran sesat itu membabitkan kira-kira 50 pegawai dan kakitangan Pejabat Tanah Daerah Besut, Jabatan Kerja Raya (JKR), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Syarikat Air Terengganu (SATU).

Operasi diketuai Ketua Penolong Pegawai Daerah Besut, Wan Harujan Sulaiman. Turut serta, Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Soaihami Rahim.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam Hadhari negeri, Muhammad Ramli Noh, ketika dihubungi berkata, tindakan merobohkan monumen itu melegakan masyarakat Islam, terutama di Terengganu.

Muhammad Ramli berkata, tindakan itu mengikut prosedur Ordinan Tanah kerana monumen berkenaan dibina di atas tanah status pertanian.

Di KOTA BHARU, Ketua Polis Kelantan, Datuk Zuber Shariff, berkata pihaknya sekadar membantu mengesan dan menahan ketiga-tiga isteri Ayah Pin itu sebelum diserahkan kepada kerajaan Terengganu untuk tindakan lanjut.

"Ketika serbuan dilakukan, tiga wanita itu berada dalam sebuah rumah," katanya.