Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Rossa di Planet Hollywood

Written By JOM JALAN on 2/08/05 | Selasa, Ogos 02, 2005

AKSI Rossa ketika menghiburkan para peminat di Planet Hollywood Kuala Lumpur malam kelmarin.

Gementar di Planet Hollywood
Laporan WANDA IDRIS

PERTAMA kali beraksi di pentas Planet Hollywood, Rossa mengakui dirinya gementar; mungkin kerana ia pengalaman perdana mengadakan persembahan di pentas terbuka di negara ini.

Namun kata penyanyi kecil molek yang semakin jelita itu, dia terpana menyaksikan sambutan menggalakkan daripada para peminat yang memenuhi segenap ruang di pusat hiburan itu pada malam minggu lalu.

Tidak menyangka, kehadirannya di negara ini diterima, biar ramai kalangan audience yang hadir malam itu terdiri daripada anak muda seberang yang menetap di sini.

``Saya benar-benar teruja apabila melangkah ke pentas. Sudah lama saya mengimpikan saat ini. Hinggakan saya seperti tidak mahu berhenti menyanyi.''

Begitu jawapan Rossa disulami ketawa bahagia kala menyelami perasaannya terhadap persembahan istimewanya dalam rangka promosi album terbarunya Kembali, di negara ini.

``Memang saya agak gementar di pentas itu tetapi mereka membantu saya berdiri di sini. Saya tahu orang di sini suka dengan lagu-lagu Indonesia dan begitulah sebaliknya, kami juga menyenangi lagu-lagu Melayu,'' tambah Rossa ramah ketika ditemui di belakang pentas sebaik selesai persembahan itu.

Kembali penjualan ketiga tertinggi

Rossa bukanlah nama baru kepada peminat industri muzik tempatan meski namanya masih tidak sekukuh rakan seperjuangan lain umpamanya Kris Dayanti, kumpulan Sheila On 7 dan terbaru Peter Pan.

Namun kehadirannya kira-kira empat tahun lalu tetap diterima dan ternyata lagu Tegar memberinya laluan untuk diterima masyarakat di sini.

Kini dia datang lagi untuk mempromosikan album Kembali yang menduduki carta penjualan ketiga tertinggi di negaranya selepas Peter Pan dan Ada Band.

``Saya amat bersyukur dengan sambutan itu dan saya berharap ia juga mendapat perhatian menggalakkan daripada peminat di sini terhadap saya,'' katanya yang berada selama seminggu di negara ini untuk mempromosikan albumnya itu.

Kurang Menyengat

Sememangnya terpaku menyaksikan kejelitaan Rossa di pentas. Berwajah comel, vokalnya mantap mengiringi laungan muzik yang bergema.

Menyajikan 16 lagu tanpa henti untuk persembahan selama dua jam, Rossa sentiasa menguasai pentas dengan penuh bersemangat.

Melontarkan lagu Kembali sebagai pembuka tirai persembahan, sesuai agenda utama untuk mempromosikan albumnya, kebanyakan lagu-lagu pilihan dipetik daripada album Kembali; Bicara Pada Bintang, Wanita Yang Kau Pilih, Pujaan Hati, dan Aku Bukan Untukmu.

Rossa turut menghangatkan suasana malam dengan lagu-lagu seperti Perawan Cinta, Sakura dan lagu popularnya Tegar.

Namun sayang sekali, Tegar diungkapkan dalam bentuk remix yang membuatkan audience tidak mampu menikmati keindahan versi sebenar yang dinanti.

Turut disampaikan medley Nada Dan Cinta, Hati Yang Terpilih dan Kini serta lagu Cinta yang pernah dipopularkan Titiek Puspa.

Kata Rossa, lagu Cinta merupakan lagu dendangannya yang dipetik daripada album tribute artis Indonesia untuk penyanyi tersebut.

Rossa juga menyampaikan dua lagu Inggeris, To Love You More yang dipopularkan oleh Celine Dion dan Runaway (The Corrs).

Biar kejelitaan dan vokalnya memukau namun persembahan Rossa malam itu kurang menyengat; mungkin kerana lagu-lagu pilihan yang disampaikan kurang popular di negara ini.

Malah ada juga lagu-lagu yang dipetik daripada album ketiganya berjudul Kini yang tidak dipasarkan di negara kita.

``Memang saya mahu sangat album Kini dipasarkan di sini. Tapi nampaknya tiada rezeki. Lalu saya sampaikan lagu-lagu itu sekadar mahu memperkenalkannya kepada para peminat,'' jelas Rossa atau nama sebenarnya Sri Rossa Roslaina Handiyani.

Misha menggoda

Rossa turut menjemput Misha Omar berduet bersama-samanya menyampaikan lagu popular Misha, Bunga-Bunga Cinta dan lagu Rossa, Akankah Bisa yang dipetik daripada album Kembali. Menjelaskan tentang rakan duet pilihannya, kata Rossa, dia terpanggil untuk berduet dengan Misha Omar kerana mengagumi keunikan vokal penyanyi itu.

``Bagi saya dia seorang penyanyi luar biasa. Saya suka sangat dengan suaranya. Suara seperti itu tidak ada di Indonesia,'' pujinya.

Malah kata Rossa, dia menyenangi sikap Misha yang dianggapnya penyayang dan kelakar.

``Dia juga suka menggoda,'' kata Rossa ketawa.