Laporan: KHADIJAH IBRAHIM
KUALA LUMPUR 5 Ogos - Felix atau Mawi. Siapa lebih hebat? Cakap-cakap sebelum ini mengatakan, Felix sedang mendahului Mawi. Bagaimanapun, ia pantas dinafikan oleh Astro. Segala-galanya berpunca daripada keputusan untuk tidak menyiarkan undian khidmat pesanan ringkas (SMS) terkini penonton.
Sebelum ini tersebar cerita kononnya ada pihak-pihak tertentu sedang merancang untuk menyingkirkan Mawi daripada menyertai konsert akhir.
Itu pun ditolak oleh Astro. Mawi, 24, pula, bagaimanapun, berjaya melepasi halangan tersebut. Kesemua insiden ini, selain cerita tentang kehebatan aura Mawi World, akan menjadikan tumpuan seluruh negara malam esok, tertumpu di Stadium Malawati, Shah Alam, di mana konsert terakhir Akademi Fantasia 3 (AF3) akan berlangsung.
Mampukah Mawi melakukannya? Apakah akan berlaku kejutan pada konsert terakhir AF3 yang dibawakan oleh Astro itu?
Selain Felix, 23, dua lagi pencabar Mawi ialah Amylea dan Marsha.
Lagu Seroja dendangan penyanyi asal S. Effendi dan sebuah lagu baru, Aduh Saliha, ciptaan Pengetua AF3, M. Nasir menjadi taruhan Mawi.
Felix pula mendendangkan lagu, Kudaku Lari dan Warkah Berlagu Pilu. Amylea (Sweet Child O Mine/Ku Berserah) dan Marsha (Manusia/Untuk Terakhir Kali).
Jika berdasarkan kedudukan undi, kelebihan untuk dinobatkan sebagai juara AF3 ialah antara Mawi dan Felix.
Bagaimanapun, kemenangan yang berdasarkan 100 peratus kepada undian penonton melalui SMS apa-apa sahaja boleh berlaku.
Sebelum konsert terakhir 30 Julai, Mawi mendapat undian 36 peratus, manakala Felix pula 23 peratus. Bagaimanapun, selepas konsert, kedudukan Felix Agus, peserta dari Sabah ini semakin rapat dengan Mawi atau Asmawi Ani, peserta dari Johor. Mawi menerima 31 peratus undian dan Felix 22 peratus.
Sementara Amylea atau Amylea Azizan, 19, anak kelahiran Langkawi, Kedah, pula hanya memperoleh 17 peratus undian SMS. Marsha Milan Londoh atau Marsha, 20, dari Sabah, menerima 13 peratus undian.
Kemuncak kepada konsert mingguan di Stadium Malawati akan bermula pukul 8.30 malam esok yang dijangka dihadiri 6,000 penonton.
Pada malam itu juga penonton akan mengetahui siapakah di antara 14 pelajar AF3 yang dipilih menerima anugerah khas iaitu Anugerah Vokal Terbaik yang dipilih melalui undian SMS penonton. Akademi Fantasia yang diadaptasi daripada program La Academia, Mexico itu, pada program pertamanya telah menampilkan Vince sebagai juaranya. Sementara Zahid muncul sebagai juara musim kedua.
Bagaimanapun, populariti Akademi Fantasia musim ketiga lebih terserlah apabila pelajarnya Mawi, menjadi sebutan ramai. Pelajar itu menjadi tumpuan pada setiap konsert mingguan.
Sejarah Mawi dalam AF3 amat menarik.Dia pernah tersingkir sewaktu Konsert Prelude pada 21 Mei lalu. Bagaimanapun, kemudian diterima semula menyertai akademi oleh para tenaga pengajarnya dan ini telah mencetuskan satu fenomena luar biasa pada industri muzik tempatan.
Sejak itu, Mawi tidak menoleh ke belakang. Peratusan undi Mawi sentiasa berada di tangga teratas.
Juara AF3 akan membawa pulang hadiah berjumlah hampir RM300,000 termasuk wang tunai RM20,000.
Di samping itu, akan menerima sebuah pangsapuri di AFamosa, Melaka, kereta Suzuki Swift 1.5L Hatch, pakej percutian ke London dan Paris, sistem teater rumah dan peralatan elektrik, sebuah kerusi urut dan lain-lain barangan.
Sementara pemenang kedua bakal menerima hadiah berjumlah hampir RM45,000 termasuk wang tunai RM10,000. Pemenang ketiga pula akan menerima hadiah berjumlah hampir RM35,000 termasuk wang tunai RM5,000.
Tempat keempat menerima barangan bernilai hampir RM18,000 termasuk wang tunai RM4,000.
Pelajar AF3, Yazer sudah pun diumumkan minggu lalu sebagai peserta yang terpilih berada di tempat kelima dan akan menerima hadiah bernilai RM14,000 termasuk wang tunai RM3,000.
Sementara itu, semua tiket konsert AF3 berharga RM40 dan RM20 habis dijual dalam tempoh tiga jam sahaja sebaik dibuka untuk jualan Isnin lalu.
Untuk konsert akhir AF3 malam esok, sebanyak 6,000 tempat duduk termasuk tempat duduk khas disediakan di Stadium Malawati, Shah Alam.
Ini berbeza dengan kapasiti tahun lalu di mana konsert final Akademi Fantasia musim kedua diadakan di Stadium Putra, Bukit Jalil dengan kapasiti penonton dua kali ganda daripada Stadium Malawati.
Keadaan ini disebabkan Astro tidak mempunyai pilihan kerana tiada tempat lain yang boleh digunakan untuk menjayakan konsert final ini.
Selain itu, para peminat setia AF juga tidak menghiraukan kenaikan harga khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada 50 sen tahun lalu kepada 65 sen tahun ini.
Sementara itu, sejarah AF menunjukkan, sepanjang 10 konsert mingguan berlangsung, AF2 menerima 15 juta undian SMS daripada penonton.
Ia merupakan tiga kali ganda lebih tinggi berbanding AF1.
Untuk konsert akhir AF2 sahaja, Astro menerima 4.9 juta SMS daripada para penonton.
Daripada jumlah tersebut, Astro menghulurkan dana berjumlah RM300,000 bagi membiayai tiga warganegara Malaysia yang layak melanjutkan pelajaran dalam bidang kesenian.
Pada masa yang sama, Astro dan Maxis turut menyumbangkan RM200,000 untuk didermakan kepada badan-badan kebajikan.