Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Berakhirkah fenomena Mawi?

Written By JOM JALAN on 7/08/05 | Ahad, Ogos 07, 2005


SEMALAM berakhirlah program realiti televisyen paling popular di negara ini, Akademi Fantasia (AF) musim ketiga. Penonton yang diberi hak eksklusif untuk menentukan siapa pemenangnya telah membuat keputusan mereka.

Justeru sama ada kita suka atau tidak, keputusan yang dibuat oleh penonton dengan menggunakan wang poket mereka sendiri melalui undian khidmat pesanan ringkas (SMS) harus kita hormati.

Apa pun tamatlah sudah satu program realiti televisyen yang sering sahaja menjadi perhatian pelbagai pihak sama ada dalam bentuk pujian mahupun kritikan.

AF3 kali ini mencatatkan sejarah apabila seorang pelajarnya, Asmawi Ani @ Mawi mencatatkan peratusan undi tertinggi (tidak termasuk undi di konsert akhir) - satu jumlah yang belum pernah dicatatkan oleh mana-mana pelajar AF sebelum ini.

Kemunculan Mawi ternyata mengundang pelbagai polemik, Mawi bukan sahaja dipuji, disanjung dan dihargai tetapi beliau juga menjadi mangsa kritikan dan kecaman.

Namun mereka hanya mampu mengkritik dan mengecam tetapi ribuan peminat AF tetap melihat Mawi sebagai insan yang mempunyai kelebihan tersendiri justeru sama ada Mawi juara atau tidak, anak kelahiran Kulai, Johor ini sudah pun popular.

Tambahan pula sejarah AF mencatatkan, tidak semestinya juara menjadi popular sebagai contoh dalam AF1, Khai lebih popular daripada Vince manakala dalam AF2 Adam dan Farah lebih popular daripada Zahid. Justeru bukanlah satu yang ganjil jika Mawi gagal menjadi juara beliau akan lebih popular daripada Felix.

Mawi berjaya bukan disebabkan undi simpati atau kasihan kerana Mawi tidak pernah `bercakap dengan kamera' atau mengadu kepada guru mengenai kemiskinan keluarganya.

Malah Mawi tidak pernah mengeluh biarpun diberikan cabaran dengan pelbagai lagu, Mawi tetap Mawi beliau tidak diminta diminati apatah lagi dibenci.

Muncul juara AF bukan buruan, apa yang lebih penting bagi beliau ialah menggunakan bakat yang dianugerahkan oleh Ilahi bagi menaikkan taraf hidup keluarga yang menjalani kehidupan serba kekurangan di tanah rancangan Felda Taib Andak, Kulai.

Tetapi tiada siapa menduga Mawi menjadi satu fenomena, nama beliau disebut di mana-mana daripada kanak-kanak sampailah orang tua, daripada orang kampung hinggalah ahli politik. Imej `ustaz' yang dibawanya telah menyebabkan Mawi diminati oleh ramai orang sehingga wujudnya istilah fanatik kepada penyokong-penyokong setianya.

Mereka yang menyokong Mawi dianggap buta seni, memberi undi kerana kasihan dan keputusan mereka memilih Mawi hanya merosakkan seni hiburan tanah air.

Itulah tuduhan dangkal yang diberikan oleh kelompok-kelompok yang sudah tentu menyokong pelajar lain. Jika memilih Mawi dianggap buta seni, bagaimana pula dengan orang yang sudah `berbaris panjang' untuk menjemput Mawi menyanyi di majlis mereka, apakah mereka juga `buta seni'?

Bagi mereka yang tidak menyukai Mawi, pemuda berusia 24 tahun ini bukan penyanyi, bukan penghibur dan tidak layak berada di AF, mereka mencari seribu satu kelemahan Mawi hinggakan bak kata orang kalau Mawi batuk pun mereka sifatkan `mengada-ngada'.

Kemunculan Mawi melalui `intifadanya' yang mencatatkan sejarah dengan menjadi pelajar pertama menyerikan AF dengan nasyid, mampu mendendangkan apa juga bentuk lagu serta perwatakannya yang jujur tidak pernah menjadi pertimbangan mereka.

Apa yang pasti mereka `menyerang' Mawi habis-habisan terutamanya melalui saluran @15. Bagi mereka, Felix, Amylea atau Marsha lebih bagus, malah kalau orang lain terlupa lirik tidak apa kerana kononnya ia lumrah tetapi kalau Mawi terlupa lirik bak kata orang, `bagai nak pecah televisyen' yang menyiarkan ruangan chat di @15.

Persoalannya, apakah industri hiburan tanah air akan ranap semata-mata kerana AF melahirkan seorang penyanyi yang memperjuangkan lagu nasyid? Kenapakah kemunculan Mawi tidak dilihat sebagai tepat waktunya ketika golongan remaja dan belia khususnya di kawasan Felda diancam masalah keruntuhan moral?

Kenapa Mawi tidak dilihat sebagai artis yang boleh menjadi idola berikutan latar belakang agamanya yang kukuh?

Namun kini, sama ada mereka marah, geram, menyampah atau benci segala-galanya sudah berakhir, Mawi sudah melangkah keluar dari AF dan sekali gus akan memulakan perjalanannya sebagai anak seni.

Sepanjang sepuluh minggu dalam AF, Mawi tidak mengetahui apa-apa sama ada beliau menjadi idola atau dibenci oleh orang, Mawi tidak mahu semua itu terjadi kerana matlamat utamanya ialah mengubah kehidupan keluarganya.

Berikutan populariti Mawi, Astro sendiri terpaksa berhadapan dengan pelbagai tuduhan termasuklah kononnya wujud konspirasi untuk menyingkirkan Mawi pada konsert ke-9 dan ia menjadi semakin ketara apabila jumlah undi yang diperoleh oleh pelajar menjelang konsert akhir semalam tidak lagi disiarkan.

Apa yang lebih menarik, kemunculan Mawi dianggap mengubah segala-galanya, AF yang sebelum ini dilihat hanya sebuah rancangan hiburan yang melekakan remaja, mula dinilai oleh sayap-sayap dalam parti politik.

Biro Putera UMNO berhasrat untuk menjadikan Mawi sebagai remaja contoh ketika Puteri UMNO terus teraba-raba mencari populariti dengan mengkritik AF. Anehnya ketika mereka melemparkan kritikan itu ada di antara pemimpin pergerakan tersebut turut menyaksikan konsert ke-8 dua minggu lalu `secara langsung' di Stadium Malawati, Shah Alam sebaik sahaja selesai Perhimpunan Agung UMNO di Kuala Lumpur.

Itulah hebatnya AF, selepas ini pelajar-pelajar akan membawa haluan masing-masing termasuk Mawi yang sudah tentu sibuk memenuhi pelbagai jemputan di saat-saat `musuh-musuhnya' meratapi kejayaan beliau.

Namun begitu, cabaran besar sedang menanti penyokong-penyokongnya kerana mereka perlu memastikan fenomena Mawi tidak berakhir bersama-sama dengan tirai AF yang dilabuhkan.

Sokongan berterusan harus diberikan kepada anak kelahiran Kulai, Johor itu sebagai bukti bahawa sokongan mereka bukan bermusim. Ini kerana sejarah AF yang lalu telah menjadi bukti bagaimana kehangatan sokongan kepada seseorang pelajar itu hanya bersifat sementara sahaja.

Fenomena Mawi tidak harus hanya hebat ketika konsert AF berlangsung sahaja, sebaliknya ia perlu berterusan memandangkan sokongan peminat amat penting dalam menentukan nasib seseorang artis itu.

Walaupun mungkin Mawi tidak menjadi juara, Astro seharusnya berbangga kerana melahirkan insan seni seperti Mawi kerana beliau bukan sahaja boleh dijemput untuk majlis-majlis biasa tetapi juga keagamaan hatta untuk berzanji dan mengaji al-Quran sekalipun.

Ibarat kata, Mawi bagaikan `artis dua alam', boleh memeriahkan majlis makan malam atau konsert dengan lagu-lagu pop serta mampu menyerikan majlis berbentuk keagamaan dengan nasyid melalui suaranya yang syahdu.

Apa pun kepada Mawi, beliau diharapkan tidak mengalami kejutan budaya akibat populariti yang dikecapi, janganlah kejayaan mengaburinya hingga terlupa jati dirinya yang sebenar.

Mawi perlu mengekalkan sikap sederhana serta mempertahankan sahsiah sebagai seorang yang mempunyai didikan agama yang kukuh kerana cabaran dunia hiburan amat hebat.

Beliau tidak harus terikut-ikut dengan trend kebanyakan artis yang sering sahaja berubah kerana populariti atau kononnya ingin mengikuti perkembangan semasa.

Semoga melalui populariti Mawi, AF bukan lagi akan dianggap rancangan hiburan yang melalaikan sebaliknya mampu melahirkan bintang yang boleh menjadi idola kepada remaja menuju ke arah kebaikan. Selamat berjuang, Mawi!