Mawi juara AF3
Written By JOM JALAN on 7/08/05 | Ahad, Ogos 07, 2005
SHAH ALAM 6 Ogos - Malam Mawi. Sorakan dan jeritan kegembiraan bergema di Stadium Malawati di sini malam ini apabila Mawi diumumkan sebagai juara Akademi Fantasia 3 (AF3).
Seperti diduga, pelajar paling popular program realiti TV itu muncul juara, sekali gus menafikan spekulasi hangat sebelum ini mengenai dakwaan kononnya ada pihak yang tidak mahu Mawi menjuarai program tersebut.
Mawi atau nama penuhnya Asmawi Ani, 24, bukan setakat menjuarai AF3, malah turut memenangi Anugerah Vokal Terbaik dan Persembahan Terbaik - anugerah yang buat julung kalinya diperkenalkan oleh Astro.
``Saya percaya pada rezeki. Ini adalah rezeki Allah,'' kata Mawi.
Ternyata aura `Mawi World' berjaya menerobos segala konspirasi yang diuar-uarkan bagi membolehkan anak Felda Taib Andak, Kulai, Johor itu mendapat sokongan padu daripada para pengundi dan peminat setianya.
Malah, fenomena Mawi turut menenggelamkan kehebatan saingan terdekatnya, Felix Agus yang setiap minggu sentiasa tampil dengan persembahan yang konsisten.
Mawi yang mendendangkan lagu Seroja dendangan asal S. Effendi dan sebuah lagu baru, Aduh Saliha, ciptaan Pengetua AF3, M. Nasir, ternyata memukau 6,000 penonton yang memenuhi Stadium Malawati pada malam ini.
Dia sememangnya memberikan persembahan terbaiknya pada malam konsert mingguan terakhir itu.
Sebaik muncul di pentas, stadium tersebut bergema dengan laungan `World' dan `Mawi' daripada penyokong setianya.
Kemenangan itu turut membuktikan bahawa Mawi terus mengungguli kedudukan carta undian yang dipertikaikan ramai apabila Astro tidak menyiarkan kedudukan peratusan undian khidmat pesanan ringkas (SMS) sejak 30 Julai lalu.
Konsert terakhir malam ini memperlihatkan Mawi meninggalkan tiga pelajar lain dengan peratus undian sebanyak 58 peratus, pesaing terdekatnya, Felix mendapat 30 peratus, Amylea lapan peratus dan Marsha hanya empat peratus.
Kemenangan itu melayakkan Mawi membawa pulang hadiah bernilai lebih suku juta ringgit termasuk wang tunai RM20,000, pangsapuri di A' Famosa Melaka, kereta Suzuki Swift 1.5L Hatch, pakej percutian ke London dan Paris, sistem teater rumah dan peralatan elektrik serta lain-lain barangan.
Bagi Anugerah Vokal dan Persembahan Terbaik, Mawi memperoleh hadiah wang tunai RM6,000 berserta trofi.
Mawi mula mencetuskan fenomena dalam program yang diadaptasi daripada program La Academia, Mexico itu sejak diserapkan semula ke dalam AF3 selepas tersingkir daripada konsert Prelude, 21 Mei lalu.
Sementara itu, Felix yang memberikan persembahan hebat menerusi lagu Kudaku Lari dan Warkah Berlagu Pilu hanya mampu menduduki tempat kedua.
Dia yang sentiasa mendapat peratusan kedua terbaik nyata tidak berjaya menepis populariti Mawi dan terpaksa akur dengan kehendak penonton.
Biarpun begitu, pemuda Dusun dari Kota Belud, Sabah itu tetap berjaya membawa pulang hadiah berjumlah hampir RM45,000 termasuk wang tunai RM10,000.
Amylea yang mempunyai masa depan cerah dalam industri muzik tempatan kerana keunikan bakat dan imejnya pula berjaya menduduki tempat ketiga dengan hadiah berjumlah hampir RM35,000 termasuk wang tunai RM5,000.
Dia yang selama ini terkenal dengan sikap rendah diri berjaya memukau penonton dengan persembahan mantap menerusi lagu Sweet Child O' Mine dan Ku Berserah.
Marsha yang sering memberikan persembahan menggoda pula membawa pulang barangan bernilai hampir RM18,000 termasuk wang tunai RM4,000 untuk tempat keempat.
Dia mendendangkan lagu Manusia dan Untuk Terakhir Kali.
Sementara itu Yazer yang tersingkir minggu lalu tetap berjaya membawa pulang hadiah bernilai RM14,000 termasuk wang tunai RM3,000 apabila terpilih sebagai pemenang tempat kelima. Dia juga menerima pakej percutian ke Bali.