Dalam hidup ada realiti yang tidak boleh kita sorokkan
Soal Jawab:
TV swasta perlu fahami aspirasi budaya tempatan LAMBAKAN program realiti TV, disambut dengan pelbagai reaksi oleh masyarakat Malaysia. Ada yang melihatnya sebagai alternatif hiburan yang baik. Begitupun, ada yang melihatnya sebagai wadah penjanaan budaya hedonisme. Wartawan Berita Minggu, ZIAUDDIN SHARUDDIN menemubual Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim manakala HAFIZAH ISZAHANID pula menemui Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Datuk Dr Shamsul Amri untuk butir lanjut.
Dari sudut pandangan ahli akademik, bagaimana Prof melihat fenomena program realiti TV hari ini?
Kita mesti membezakan antara keinginan idealisme dengan tuntutan pasaran. Pada satu ketika dulu, TV dan radio memainkan peranan untuk menyampaikan maklumat dan dasar kerajaan. Tapi kalau lihat keadaan TV dan radio sekarang ia tidak lagi mempromosi dasar dan prinsip pelaksanaan pembangunan dan sebagainya.
Tugas menyampaikan dasar dan maklumat kerajaan masih lagi dijalankan oleh radio. Tetapi dengan adanya rangkaian radio dan TV swasta, ia tidak fikirkan mengenai mesej kerajaan. Apa yang dia fikirkan keuntungan nak dapat dari mana. Dia seperti orang berniagalah, apa yang laku itu, itulah yang dijual. Apabila kita bincang tentang program realiti TV, kita tidak boleh marah dengan golongan ini kerana mereka ini orang berniaga.
Mereka akan jual apa yang mereka jual. Realiti TV adalah tuntutan pasaran sama seperti orang jual pakaian dari luar negara. Kenapa kita tidak marah orang yang jual baju Benetton misalnya, atau baju dari Jepun. Kehadiran realiti TV bukan satu keganjilan dan asing, ia sudah dijangkakan, tetapi ia lambat diperkenalkan di Malaysia sedangkan kalau di luar negara ia sangat popular lima tahun lalu.
Realiti TV di Malaysia masih dalam ruang hiburan sedangkan di luar negara, ia dalam pelbagai sifat seperti kehidupan seharian, kehidupan keluarga dan cabaran termasuk peraduan merentas benua. Secara condusive ia tidak bertentangan dengan tuntutan pasaran yang mendukung perniagaan TV dan radio swasta.
Bagaimana dengan pendapat mengatakan realiti TV itu wadah penjanaan budaya hedonisme dan mengenepikan adat dan adab Melayu khasnya dan Malaysia amnya?
Ya, elemen-elemen hedonisme itu ada, bukan hanya dalam hiburan dalam politik pun ada elemen itu. Apa yang harus kita jelas, adakah ini pandangan atau perkara yang sudah kita buktikan secara jelas.
Jadi Prof tidak setuju ia dikatakan menjana budaya hedonisme?
Saya tidak bersetuju dengan kenyataan yang mengatakan program sebegitu menjadi wadah penjanaan budaya hedonisme dan perkaitannya dengan Melayu. Apa bukti Melayu saja yang ambil bahagian.
Dalam mengkritik, oklah... kritiklah... tapi biarlah membina dan ada bukti. Saya boleh beri pandangan lain, kita harus terima dalam hidup ada realiti yang tidak boleh kita sorokkan. Kita bercakap tentang pendidikan seks di Malaysia, kita perkenalkan kondom, jarum suntikan dan macam-macam dengan sengaja lagi...mana moralnya? Itu kalau kita nak ambil pandangan yang negatiflah.
Sebenarnya, ini adalah tekanan pemasaran. Apa saja dipasarkan oleh orang. Kalau macam Datuk Seri Najib bagi komen dulu, dia tidak kata hentikan realiti TV ini tapi ada local content ... peraduan panjat pokok kelapa misalnya... saya rasa ramai lelaki muda tak tahu panjat pokok kelapa... monyet dah dapat dia belum tentu. Jangan terlalu cepat menghukum dan rumuskan ia hedonisme. Ada beberapa aspek yang harus kita lihat. Moral judgment is the last thing you should do. Sebabnya? Kalau dia tidak ada ilmu seni tidak ada ilmu agama juga, tiba-tiba nak terus kritik. Ilmu di tangan orang yang setengah tahu ni susah.
Kalau begitu, dengan lambakan program realiti TV yang mungkin tidak selari dengan agama dan adat, apa impaknya kepada orang Melayu?
Saya rasa impaknya ialah orang Melayu membincangkan perkara-perkara ini dengan lebih intelektual atau kita tunjuk, kita ini masih jumud. Tapi saya melihat apa yang lebih penting, bagaimana kita menganalisis isu itu. Ini yang lebih penting, kerana saya dapat mengukur kemampuan orang Melayu itu berfikir, ataupun isu yang ditimbulkan dan apa alat analisis digunakan.
Bagaimana dengan perubahan sikap orang Melayu sendiri? Zaman P Ramlee dulu, ibu bapa tidak mahu menantu macam Kassim Selamat, ahli muzik tapi sekarang terbalik pula keadaannya?
Orang Melayu sekarang berfikir lebih luas, lebih maju. Melayu memang sudah lama hilang malu. Tapi di mana yang lebih dimalukan. Maksud saya, orang Melayu dah ada label yang dianggap tidak malu lagi. Ia adat orang meniagalah... saya rasa keterbukaan orang yang menyanyi dan orang jual stokin dari meja ke meja itu sama saja. Keterbukaan orang Melayu dengan orang bukan Melayu itu sama saja. Kita lihat orang Melayu yang jual stokin dari meja ke meja, kenapa kita tak puji orang itu? Keberanian dan keterbukaannya? Pada saya, yang bermasalah orang yang tukang kritik, orang yang buat tidak ada masalah.
Mungkin sebab ia kontras dengan definisi Melayu dalam perlembagaan. Melayu mesti Islam dan nilai Islam itu tiada dalam realiti TV?
Mana ada realiti TV zaman Nabi Muhammad. Nak dibandingkan pun susah juga. Zaman nabi dan sahabat-sahabat mana ada realiti TV. Apa yang ‘Islamic’ yang ‘non Islamic’ susah juga saya tentukan. Siapa yang akhirnya yang tentukan ‘Islamic’ tak ‘Islamic’ itu?
Saya tidak ada masalah orang nak buat komen tapi siapa yang menentukan itu? Siapa? Fatwa? Badan Fatwa tidak diakui oleh negeri. Itu badan yang ditubuhkan untuk membantu kita. Dia kata Konsert Sure Heboh tu tak boleh, jalan juga, heboh juga. Saya yang risau kat Malaysia, ni siapa yang menentukan siapa salah siapa betul.
Apa yang berlaku di Malaysia ini, pandangan popular yang menentukan. Bukan sesuatu badan yang benar-benar bertanggungjawab. Orang kata, realiti TV itu banyak disukai orang Melayu, siapa kata? Tokoh Gapena ke? Kalau betul baru saya boleh pegang... tapi kalau sekadar cakap-cakap tepi jalan.. saya takut Orang Melayu menceceh, berbincang tanpa asas, kata-kata sedemikian hanya sekadar sedap didengar untuk perbualan. Kritikan begini satu ‘cecehisme’.
Misal kata, orang Islam... siapa dia nak tentukan? Ada fatwa ke.. ada ayat di mana ke.. adakah ini haram kah berlaku. Semuanya nak menunjukkan.. masalahnya bukan orang yang buat itu tetapi ayat yang kita guna untuk tentukan siapa salah siapa betul.. sebenarnya masalahnya Orang Melayu berfikir yang mana agama yang mana tak agama, yang mana dianggap budaya. Ini yang tak dapat dibezakan, bila tak jelas, bila naik satu pandangan, akan ada pandangan yang lain pula, berbalas-balas pandangan.
Jadi, program itu mengubah budaya orang Melayu?
Ya, kerana ia sesuai dengan tuntutan consumerisme dan perkembangan pasaran. Apa yang berlaku di Malaysia sekarang, budaya itu tidak berbeza dengan sepasang kasut. Boleh dibeli, boleh dijual boleh dipakej. Untuk pertunjukan pemimpin negara Russia misalnya, ha... ini dia pakej budayanya, datang dari India, ini pula pakejnya. Apa beza kasut dan itu? Jadi, apa yang berlaku sekarang ialah budaya menjadi satu komoditi, bila dijual sebagai komoditi ia akan dipasarkan mengikut keperluan audien. Keperluan orang yang nak beli. Kalau macam program realiti TV yang ditentukan oleh seratus peratus oleh SMS ini, dia perlu ikut. Ingat Mawi sedap sangat ke nyanyi? Tapi orang Felda selama-lamanya tak ada yang positif dalam hidup dia. Orang Felda selama-lamanya semuanya yang buruk-buruk. Sekali anak dia naik, habis semua Felda satu Malaysia bagi
Dengan SMS orang bawahan boleh bersuara sokongan. Apa orang Kuala Lumpur nak buat? Mawi dah menang... masuk aje dah menang... orang tak analisis program itu menjadi satu kancah perjuangan perbezaan golongan di Malaysia sebenarnya.
Maksud Prof program realiti TV seperti Akademi Fantasia perjuangan sosial?
Ya. Akademi Fantasia sebagai contoh, tetapi kalau dilihat ia usaha membina kumpulan berbakat yang hendak diasah bakatnya ke satu peringkat supaya mencapai profesionalisme. Ia sama dengan Mencari Champion yang dianjur oleh Kementerian Belia dan Sukan.
Kalau nak lawan kualiti suara, tak terlawan AF dengan Malaysian Idol. Malaysian Idol, pengkritiknya semua orang muzik. Kalau AF, you tahulah... Kudsia itu tahu ke nyanyi? Untuk saya, program ini ada elemen tersendiri. Ia dijadikan satu pentas perjuangan orang ramai. Pendemokrasian muzik itu yang lebih penting. Di mana orang ramai mungkin dari kelas bawahan boleh suarakan apa yang dia suka. Kelas atasan, sikit tapi banyak duit, orang bawahan, sikit duit tapi ramai. AF ni adalah akademi kelas bawahan. Tapi jangan perlekehkan mereka. Dengan SMS, orang bawahan boleh bersuara buat kali pertama. Dengan SMS mereka boleh bersuara. Dulu mana.. takut kena tangkaplah...AF adalah tanda pertama.
Pilihan raya dulu, Barisan Nasional (BN) menang 90 peratus kerusi dengan 60 peratus undi, macam mana pembangkang dapat 40 peratus undi tapi tidak 10 peratus kerusi? Maknanya BN tak menang dengan undi. Tapi AF terbalik, dia menang kerana undi. AF give me another political twist. There is, with the accessablity is so open that anyone can vote ...but do we want that in Malaysia? Adakah itu demokrasi yang kita mahu? Unthinking democracy? Betul tak? Rasa sedap undi, sedap baik ke sedap tak baik ke tak penting, itu soalnya.
Kalau senario program realiti TV itu begitu, mungkin boleh seimbangkan komersial dengan budaya?
Saya ingat tak perlulah.. macam mana kita nak kawal pasaran. Apatah lagi dengan pendapatan berjuta-juta.
Mungkin sebenarnya, hedonisme itu sudah sebati dengan kita, jadi kita sudah anggap semua itu biasa.
Ada dua perkara. Kita kena lihat muzik yang bagaimana boleh dan tidak boleh. Jangan terlalu kejam sedangkan budaya hedonisme paling besar ada di dunia Arab. Apa yang berlaku bukan hedonisme, label itu terlalu keras. Kena tengok dulu, baru orang itu boleh kritik dan tegur dan guna kehalusan orang Melayu untuk nilai.
Tapi kebanyakan program sebegini melekakan. Ia boleh disertai tanpa kepakaran.
Ia leka kalau tengok tanpa ilmu dan iman. Kalau tengok benda yang kita tak tahu mesti leka, sebab dia tak faham, dia main setuju saja... apa yang dia setuju entah dia pun tak tahu. Itu yang masalahnya. Hedonisme berkait dengan perkara-perkara yang mengkhayalkan terutama bagi orang yang tak tahu.
Tapi teknik pemasarannya memang ke arah apa yang benda dipasarkan, boleh ke arah meng ‘hedon’ kan itu, benda tak sedap, kata sedap padahal tak sedap. Hedonisme ia tentang ‘exhibitionisme’... its about showing off... kita selalu kritik bila apa yang kita mahu dari program itu kita tidak dapat. Sedangkan orang itu ada perjuangan tersendiri. Macam Mawi, dia datang dari keluarga susah, dia mungkin fikir itu jalan untuk dia mencapai kesenangan buat perubahan, itu perjuangan dia. Itu cara dia. Benda hiburan kadangkala tak payah ilmu pun tak apa, tengok saja. Kecualilah kalau kita pengkritik. Kalau nak memikir sambil berhibur baik baca buku. Kalau nak kritik, kita kena ada ilmu tentangnya bukan atas dasar tak suka. Kalau tak suka, kritik itu sebenarnya masalah. Tak adillah..
Tapi ada juga program realiti TV ini yang tidak bagus. Yang itu kalau tengok ia memang ikut pasaran. Ia tentang cinta, ia ekoran melankoliknya orang Malaysia. Siti Nurhaliza naik kerana lagu-lagu cinta. Ia tema universal. Tapi ya, ia tidak sesuai dan saya setuju dengan pandangan ia merendahkan martabat kaum wanita.
Pandangan Prof yang mengatakan Orang Melayu lebih suka hiburan?
Saya akan kata, rekod Cina dan India laku juga. Macam mana nak kata orang Melayu lebih suka hiburan. Nak bandingkan dengan siapa? Kalau bandingkan rekod Siti Nurhaliza dengan penyanyi Cina siapa lagi banyak? Orang Cina lebih ramai di dunia ini. Itu jawabnya. Andaiannya, orang Melayu lebih suka hiburan dan orang lain lebih suka bekerja, saya tak setujulah. Ini kempen memburukkan Melayu