Edisi KL : Ayah Pin tukar wajah
Oleh Adnan Mohamad
TUMPAT: Pemimpin kumpulan ajaran sesat, Ariffin Mohamad, 65 (gambar), atau Ayah Pin kini dipercayai merancang menukar identiti bagi meloloskan diri untuk bersembunyi di Thailand bagi mengelak ditahan pihak berkuasa.
Bagaimanapun, tindakan itu dikesan pihak berkuasa agama dan undang-undang di Kelantan yang mendakwa sudah tahu lokasi persembunyian pemimpin itu.Menurut sumber, laporan terbaru diterima, Ayah Pin kini sedang bersembunyi di sebuah rumah rakan judinya di satu daripada kampung di Tumpat - daerah tiga isterinya ditahan, 31 Julai lalu. Malah, beberapa penduduk kampung tempat persembunyian pemimpin itu turut mendakwa melihat kelibat Ayah Pin yang dikatakan bersembunyi di sebuah rumah rakan rapatnya.
“Sehingga ini, maklumat yang kami ketahui Ayah Pin sedang membuat rancangan untuk menyeberangi ke Thailand dan menyembunyikan identitinya daripada diketahui penduduk tempatan.
“Kemungkinan besar dia meloloskan diri ke Thailand kerana kampung terbabit terletak di sempadan di mana setiap hari penduduk menyeberangi sempadan secara haram,” katanya. Sumber itu berkata, rumah tempat Ayah Pin mendapatkan perlindungan itu amat terkenal di kalangan penduduk tempatan sebagai tempat bermain judi.
Menurutnya, Ayah Pin dipercayai memasuki Kelantan menggunakan sebuah kereta dengan bantuan rakan rapatnya itu tetapi tidak dapat dipastikan bila dia tiba di kampung terbabit. Ayah Pin dikatakan lolos pertama kali apabila Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) menahan 21 pengikutnya, pada 3 Julai lalu.
Dua hari selepas itu, Ayah Pin dengan bangganya mencabar kerajaan untuk menahannya dengan alasan tidak gentar dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Bagaimanapun, perkampungannya menjadi gamat apabila replika cerek, payung dan bahtera dibakar dalam serangan oleh kira-kira 50 individu tidak dikenali, pada 18 Julai lalu. Sejak itu, perkampungan Ayah Pin menjadi tumpuan penguat kuasa JHEAT dan polis yang melancarkan gerakan untuk mencari pemimpin terbabit tetapi tidak berjaya.
Ayah Pin dikatakan masih berada di perkampungan itu tetapi didakwa tidak kelihatan apabila Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) menahan 59 pengikutnya di perkampungan itu, pada 20 Julai lalu.
©The New Straits Times Press (M) Berhad