Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Puteri Sultan turut rai kepulangan Mawi

Written By JOM JALAN on 16/08/05 | Selasa, Ogos 16, 2005

KULAI: Juara Akademi Fantasia musim ketiga (AF3), Asmawi Ani atau Mawi disambut sebagai wira oleh penduduk kampungnya dan kawasan sekitar di Felda Taib Andak di sini, semalam.
Seawal jam 3 petang, padang Kampung Bahagia Felda Taib Andak, sesak dengan lebih 4,000 penduduk setempat dan peminat dari luar daerah yang tidak berganjak walaupun hujan.

Sebelum itu, sejurus tiba di Johor Bahru, Mawi diraikan pada majlis minum petang bersama puteri Sultan Johor, Tunku Muna Najiah dan sepupunya, Tunku Shahariah serta kira-kira 200 ahli Majlis Wanita Johor (Mawar) pada satu majlis tertutup di Hotel M Suite.

Mawi yang tiba tepat jam 7 malam di kampungnya, disambut dengan paluan kompang dan bunga manggar serta dibawa menaiki kenderaan Naza Ria milik Ketua Unit Foto Berita Harian, Kamaruddin Ahmad yang juga anak jati Felda berkenaan.

Juara AF3 itu sempat bersalaman dengan orang ramai serta mengagihkan bunga telur kepada kanak-kanak sebagai tanda penghargaan terhadap sokongan serta kehadiran mereka.

Sejurus selepas azan Maghrib, Mawi muncul di pentas khas dan berkata: “Saya ucap terima kasih kepada penduduk Felda Taib Andak, saya anak jati Felda Taib Andak dan anak Johor, kita raikan semangat Melayu, tak akan Melayu hilang di dunia.

“Semoga Tuhan membalas jasa penduduk yang menghantar SMS (khidmat pesanan ringkas). Saya tak mampu nak balas, saya cuba yang termampu.”

Mawi yang mengakhiri ucapan itu dengan berselawat, terus ke Masjid Nurul Saadah untuk berjemaah solat Maghrib dan mengadakan majlis tahlil bersama penduduk serta peminatnya.

Kenduri kesyukuran adalah acara kemuncak bagi meraikan Mawi yang kini menjadi simbol kejayaan anak peneroka dalam bidang seni negara ini.

Sebelum ketibaan Mawi, orang ramai turut dijamu bubur lambuk yang disediakan khas penduduk kampung berkenaan. Dua periuk bubur lambuk dimasak pada jam 2 petang dengan kos RM500 yang dikumpul penduduk bagi meraikan hadirin yang menyambut kepulangan Mawi.

Hari ini, Mawi akan menyertai raptai konsert perasmian Jalur Gemilang dan Bulan Kemerdekaan di Danga Bay. Beliau bersama penyanyi Siti Nurhaliza dijemput khas untuk menghiburkan warga Johor serta pelancong.

Sementara itu di KOTA KINABALU, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) di sini, dibanjiri lebih 1,000 peminat yang menyambut ketibaan tiga bintang AF3 berasal dari Sabah.

Mereka berkumpul di depan balai ketibaan kenamaan seawal jam 10.30 pagi apabila mengetahui naib juara AF3, Felix dan dua rakannya, Marsha dan Yazer tiba dengan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) jam 11.05 pagi.

Felix, Marsha dan Yazer yang diberi cuti rehat sehingga Khamis ini untuk kembali ke pangkuan keluarga selepas tiga bulan berada di akademi, mengadakan persembahan pertama di Dewan Hongkod di Penampang, malam tadi.

Sejurus tiba di KKIA, ketiga-tiganya yang turut disertai bekas calon AF3, Haider, disambut meriah di bilik kenamaan.

Dalam sidang akhbar singkat di bilik itu, ketiga-tiganya gembira dapat kembali ke Sabah dan merakamkan penghargaan kepada rakyat negeri itu.

Felix yang berasal dari Kota Belud berkata, beliau terharu dengan sokongan rakyat negeri ini dan tidak menyangka mempunyai ramai peminat termasuk di sini.

Marsha yang berasal dari Tamparuli pula berkata: "Saya terkejut apabila dimaklumkan lagu ‘Pokok Kalapak’ yang saya dendangkan tempoh hari turut popular di sini sekarang."