Edisi KL : Mawi laung hidup Melayu
Oleh Mohd Ramzi Sanny dan Ellyna Ali
KULAI: Laungan ‘Hidup Melayu’ sebanyak tiga kali daripada lebih 4,000 peminat Asmawi Ani, 24, atau Mawi menggegarkan padang awam Kampung Bahagia Felda Taib Andak, di sini ketika menyambut kepulangan juara Akademi Fantasia 3 (AF3) itu ke kampung halamannya, petang semalam.
Walaupun kemunculannya di astaka padang awam felda itu hanya kira-kira 10 minit, ia sudah cukup mengubat kerinduan dan memuaskan hati ribuan penduduk serta peminatnya dari seluruh negeri ini yang menunggu sejak jam 3 petang.
Mawi tiba astaka itu selepas diarak dari rumahnya kira-kira jam 7 malam terharu dengan sambutan hangat peminatnya yang setia menunggu walaupun terlewat daripada jadual asal.
Hujan lebat kira-kira jam 6.15 petang tidak menghalang orang ramai beredar malah setia menunggu untuk menatap wajah wira mereka.
Ketika diberi peluang berucap di hadapan peminatnya, Mawi dengan lantang melaungkan ‘Hidup Melayu’ sebanyak tiga kali diikuti seluruh peminatnya.
“Sebagai anak jati Felda Taib Andak, anak jati Johor marilah kita raikan semangat Melayu, tak akan Melayu hilang di dunia. Hidup Melayu! Hidup Melayu! Hidup Melayu.
“Saya berterima kasih kepada semua penduduk Felda Taib Andak dan peminat yang menyokong dan mengundi untuk kejayaan ini.
“Semoga Allah yang membalas jasa penduduk yang menghantar SMS (sistem pesanan ringkas), saya tak mampu nak balas, saya cuba yang termampu,” katanya yang turut meminta maaf kerana tidak dapat memenuhi permintaan untuk bernyanyi kerana sudah masuk waktu solat Maghrib.
Mawi kemudian mengakhiri ucapannya dengan berselawat atas Nabi terus meninggalkan pentas untuk ke Masjid Nurul Sa’adah untuk solat Maghrib bersama penduduk serta peminatnya.
Turut menyambut kepulangan Mawi di astaka itu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Permai, Zainal Abdidin Jidin dan bapa Mawi, Ani Ahmad, 65.
Terdahulu Mawi memenuhi permintaan bersalaman dengan orang ramai yang menunggu kemunculannya serta memberi bunga telur kepada kanak-kanak.
Peminat Mawi sanggup bersesak-sesak untuk bersalaman atau memegangnya yang mengharumkan nama felda itu.
Tindakan orang ramai menyerbu ke arah Mawi sebaik muncul di astaka untuk mengambil gambar anak muda itu hampir menyebabkan keadaan tidak terkawal, tetapi tindakan pantas anggota polis dan petugas keselamatan menyuraikan keadaan.
Sebelum ketibaan Mawi, orang ramai dijamu dengan bubur lambuk kenduri Mawi yang disediakan khas oleh penduduk kampung felda berkenaan.
Dua periuk bubur itu dimasak pada jam 2 petang dengan kos RM500 yang dikumpul oleh penduduk sebagai tanda penghargaan kepada 2,500 orang luar yang datang kampung berkenaan untuk bersama meraikan Mawi.
Selepas menunaikan solat Maghrib, Mawi bersama ribuan penduduk felda dan peminatnya termasuk yang baru tiba dari Perak dan Pulau Pinang yang memenuhi Masjid Nurul Sa`adah bertahlil sebagai tanda kesyukuran kejayaannya itu.
Mawi kemudian menyampaikan sumbangan peribadi kepada 46 anak yatim dan kanak-kanak kurang bernasib baik di felda itu.
Imam masjid itu, Azman Sarpin sempat meminta jemaah masjid dan peminat supaya mendoakan Mawi yang kini menjadi simbol kepada kejayaan anak peneroka dalam bidang seni negara ini sentiasa sihat dan dipanjangkan umur.
Sebelum menjamu hidangan kenduri kesyukuran, Mawi bersama jemaah berselawat kemudian membacakan doa kesyukuran seterusnya bertakbir Allahu Akbar sebanyak tiga kali.
Terdahulu Mawi yang sampai di Johor Bahru kira-kira jam 2 petang menghadiri majlis minum petang bersama puteri Sultan Johor, Tunku Muna Najiah serta sepupunya Tunku Shahariah serta kira-kira 200 ahli Majlis Wanita Johor (Mawar) di majlis tertutup di Hotel M Suite di sini,
Difahamkan dalam majlis itu Mawi mendendangkan empat lagu termasuk lagu popularnya, Aduhai Saliha.
©The New Straits Times Press (M) Berhad