Oleh Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my
TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Barangkali ungkapan ini cukup tepat ditujukan kepada juara Akademi Fantasia 3 (AF3), Asmawi Ani atau Mawi, yang kini menjadi tumpuan ramai.
Sejak meninggalkan akademi hampir sebulan lalu, rezeki anak muda dari Felda Taib Andak, Kulai, Johor ini nyata kencang dan akan berlanjutan
hingga akhir tahun ini. Walaupun sudah bertunang, Mawi terus diminati.
GANDINGAN MANTAP...Mawi bersama Jamal selepas persembahan.
Selepas berganding dengan Siti Nurhaliza di Johor, Mawi berpeluang pula berkongsi pentas dengan Jamal Abdillah sempena Konsert Terima Kasih anjuran Mahir Entertainment & Productions di Dewan Perdana Felda, kelmarin.
Sambutannya cukup membanggakan apabila dewan penuh dengan kira-kira 1,000 penonton. Mawi pula tidak menghampakan peminatnya, biarpun keletihan kerana tidak cukup tidur.
Mawi masih meneruskan tanggungjawabnya sebagai penghibur. Apa yang pasti, peminat puas menyaksikan persembahannya tanpa pulang tangan kosong.
Seorang peminat, Fatimah dari Gombak berkata, dia datang ke Dewan Perdana Felda, hanya untuk menyaksikan persembahan Mawi yang disifatkannya sebagai ëmenakjubkaní.
Katanya, sejak dalam AF3 lagi dia sudah meminati Mawi kerana menyifatkan anak Felda ini mempunyai aura yang besar menjadi penghibur berjaya suatu hari nanti. Baginya, Mawi memang berbakat.
"Mawi juga seorang yang telus dan jujur. Matanya amat mempesonakan termasuk tahi lalat di atas bibir. Malah, dia juga begitu sopan ketika
berinteraksi bersama peminatnya," katanya. Adat manusia berpegang pada janji. Justeru, walau sesukar mana sekalipun, Mawi bertekad memberikan persembahan terbaik. Ditambah dengan gandingannya bersama Jamal pada malam
itu dianggap peluang paling berharga.
HEBAT...bintang Mawi sebagai penghibur semakin bersinar. — Gambar SURIANIE MOHD HANIF
Katanya, dia amat mengagumi Jamal kerana suara penyanyi yang pernah popular dengan lagu Azura ini amat mengasyikkan.
"Sukar untuk memperkatakan vokalnya kerana Jamal sememangnya hebat. Apabila diberi peluang mengadakan persembahan bersamanya, saya terus menerimanya.
"Sebagai orang baru dalam industri hiburan, saya berasakan peluang seperti ini harus dihargai. Saya pasti bukan saja saya, tetapi masih ramai artis muda negara ini ingin menjayakan persembahan bersama Jamal.
"Namun, segalanya ditentukan Tuhan. Malam ini adalah rezeki saya. Memandangkan kini saya juga artis, jika boleh saya mahu peminat
menerima lagu nyanyian saya.
"Terus-terang saya katakan saya begitu kagum dengan lagu yang pernah dipopularkan Jamal selama ini," katanya.
Pemuda berusia 24 tahun yang begitu sinonim dengan panggilan Mawi 'World'
ini, berkata dia berharap peminatnya yang hadir terhibur dengan
persembahannya. Jika diikutkan, Mawi masih lagi tidak berpuas hati.
Katanya, kalau kesihatannya tidak terganggu, dia akan pastikan ersembahan paling 'terbaik' dapat dipersembahkan kepada peminatnya. Namun, apa boleh buat, semuanya sudah takdir dan dia perlu menerimanya.
Kata Mawi lagi, melihatkan peminatnya gembira dan bersorak riang meneriakkan namanya, sudah menunjukkan mereka terhibur. Oleh itu, terima kasih tidak terhingga diucapkan kepada mereka.
Persembahan Mawi dan Jamal pada malam itu amat bertenaga. Kedua-duanya nyata berbeza dan mempunyai 'keistimewaan' tersendiri. Selaku bintang baru, nyata Mawi berkarisma.
Persembahan yang bermula pada jam 8.30 malam itu, dimulakan dengan persembahan Fauziah Datuk Ahmad Daud (Ogy) selaku pengacara dengan dua lagu yang menyentuh kalbu, Bila Bulan Bicara dan My Way diiringi pemuzik
diketuai komposer S Atan.
'Selepas kemunculan Ogy, konsert diserikan lagi dengan persembahan bekas pelajar AF3, Idayu dengan lagu Percayalah diikuti Sahri AF1 dengan lagu Di Sudut Kamar Hatiku.
'Pemenang tempat ketiga AF3, Amylea, menghangatkan lagi suasana dengan lagu Hati Ini Telah Dilukai yang pernah dipopularkan Krisdayanti dan
Don't No Why (Norah Jones).
Mawi menyanyikan lima lagu iaitu Pergi Tak Kembali daripada Kumpulan Rabbani, Oh Fatimah (A Ramlie), Mimpi Laila (Yassin), Beautiful Maria dan
Aduh Saleha pastinya paling ditunggu-tunggu.
Bagi memeriahkan suasana yang cukup menghiburkan itu, Jamal hadir mempersembahkan beberapa lagu dari album barunya seperti Gadis Melayu serta Sandarkan Pada Kenangan (duet bersama Ogy). Tidak ketinggalan, medley Menaruh Harapan dan Kasihnya Ibu.
Pada persembahannya juga, Jamal sempat berseloroh kepada penonton bahawa mereka sememangnya begitu menantikan kemunculan Mawi berbanding dirinya. Namun, dalam masa sama dia juga memuji kehebatan Mawi.
©The New Straits Times Press (M) Berhad