MAWI dikerumuni peminatnya ketika tiba pada majlis perasmian Johorparks Ledang International Climbathon 2005 di Gunung Ledang Resort, Tangkak, Johor semalam. - Gambar SUFFIAN ABU BAKAR.
MUAR 26 Ogos - Juara Akademi Fantasia 3 (AF3), Asmawi Ani atau Mawi mengingatkan para peminat fanatiknya supaya tidak terlalu taksub memujanya sehingga menyebabkan beliau terlalu `takut' dengan harapan terlalu tinggi yang diletakkan ke atasnya.
Katanya, walaupun terharu dengan sambutan yang diterima oleh para peminat, beliau meminta mereka menganggapnya sebagai kawan dan jangan terlalu memuja beliau.
``Sebagai manusia biasa, saya takut dengan keadaan yang saya alami sekarang. Sokongan dan harapan anda semua menyebabkan saya dalam ketakutan dan tidak lena tidur,'' katanya.
Anak kelahiran Felda Taib Andak, Kulai, Johor yang baru menyambut hari lahirnya yang ke-24 semalam menyatakan demikian ketika diberi peluang berucap selama kira-kira lima minit semasa menghadiri Program `Johorparks Ledang International Climbathon 2005' yang dirasmikan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman di Gunung Ledang Resort, Tangkak, di sini hari ini.
Sepanjang ucapannya itu, Mawi juga terus memberi nasihat kepada peminatnya dan kali ini nasihatnya ditujukan kepada mereka yang gemar berlumba haram atau Mat Rempit.
``Kepada Mat-Mat Rempit di luar sana, hentikan perbuatan anda, berhati-hatilah ketika di jalan raya,'' katanya.
Peserta AF3 yang popular itu sempat mengajak tetamu yang hadir termasuk Menteri Besar melaungkan `Johor World' sebanyak tiga kali sebelum mengakhiri ucapannya.
Pada majlis itu, Mawi turut dilantik sebagai Duta Konservasi Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ) dan menjadi ahli taman negara itu seumur hidup.
Selain pelantikan itu, beliau turut menerima Anugerah Pencapaian Terbaik Anak Johor 2005 yang diberikan oleh Kerajaan Johor atas kejayaan beliau.
Ini merupakan anugerah ketiga yang diterima Mawi selepas beliau menjuarai AF3, baru-baru ini.
Majlis pelantikan dan penyampaian anugerah disempurnakan oleh Abdul Ghani yang turut menyifatkan Mawi mampu menjadi contoh terbaik belia yang berfikiran positif. Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Alam Sekitar Negeri, Freddie Long Hoo Hin berkata, Mawi dilantik sebagai duta konservasi kerana mengambil kira pencapaiannya yang sinonim dengan ikon remaja.
Katanya, PTNJ berharap Mawi dapat menyanyikan lagu yang berunsurkan konservasi bagi meniup semangat kepada generasi muda untuk menyintai alam semula jadi.
``Mawi dapat menjadi contoh kepada artis tanah air untuk menyampaikan dan mendendangkan lagu yang berunsurkan konservasi.
``Kami amat berharap pencipta lagu yang bakal mencipta lagu untuk Mawi dapat menghasilkan lagu yang bertemakan konservasi juga,'' katanya ketika berucap pada majlis itu.
Katanya, Anugerah Pencapaian Terbaik Anak Johor 2005 kepada Mawi adalah sebagai pengiktirafan terhadap kejayaan Mawi dalam bidang yang diceburinya sehingga diangkat sebagai contoh kepada anak muda.
``Sebagai juara AF3, Mawi mempunyai imej yang bersih dan mengharumkan nama Johor. Kejayaan yang dicipta Mawi harus dicontohi oleh semua lapisan masyarakat terutamanya yang dalam mengejar cita-cita,'' katanya.
Menurutnya, pihaknya berharap Mawi sebaris dengan penyanyi yang membawa lagu berunsurkan konservasi terkenal seperti Zainal Abidin, Ramli Sarip dan Anggun C. Sasmi.
Terdahulu, Mawi bersama Abdul Ghani dan Freddie serta lebih 300 hadirin majlis pelancaran menyertai acara J-robik yang diadakan di Dataran Kompleks Gunung Ledang Resort selama hampir sejam.
Mawi juga tidak menghampakan permintaan peminat untuk mendendangkan lagu `Gadis Melayu' yang dinyanyikan secara duet dengan seorang kakitangan Majlis Perbandaran Muar (MPM), Amy Mohammad.
© UTUSAN MELAYU (M) BHD