Telemovie ini berkisar tentang pembunuhan - Anita Sarawak.
Oleh Nor Fadzilah Baharudin
PEMINAT Anita Sarawak pasti sentiasa tersenyum ketika melihat telatah diva itu dalam sitkom Agensi Melor yang disiarkan di Astro Ria setiap Isnin pukul 9.30 malam.
Masakan tidak! Aksi bersahajanya dengan suami tersayang, Mahathir Abdullah bersama para pelakon lain berjaya menambat hati penonton.
Terbaru, Anita atau lebih mesra dengan panggilan Kak Nita bakal tampil dengan telemovie berjudul Topeng. Istimewanya, skrip telemovie ini ditulis oleh suaminya sendiri.
Ketika dihubungi, Kak Nita begitu seronok menceritakan mengenai telemovie pertama lakonannya itu.
Menurut Anita, telemovie itu membongkar beberapa kisah pembunuhan dan Anita akan membawakan watak sebagai orang yang banyak memberikan kerjasama kepada pihak polis dalam menyelesaikan kes-kes tersebut.
``Telemovie ini berkisar tentang pembunuhan yang berlaku berulang-ulang. Kiranya cerita ini genre thriller dan penonton akan diselubungi rasa berdebar-debar sepanjang menontonnya,'' katanya.
Kata Anita, penggambaran akan dimulakan selepas Hari Raya Aidilfitri dan ia bakal menemui para penonton pada bulan Januari tahun depan di saluran Astro Ria.
``Topeng bakal diarahkan oleh Rashid Sibir dan para pelakon utamanya juga telah dikenal pasti, cuma mereka belum lagi memberi kata putus.
``Lokasi pengambarannya di sekitar Kuala Lumpur dan banyak pengambarannya diadakan di dalam rumah berbanding di luar,'' katanya dengan suara ceria.
Album Inggeris selepas 20 tahun
Dalam pada itu, setelah hampir 20 tahun tidak menghasilkan album Inggeris, Anita bakal tampil dengan sebuah album Inggeris terbaru.
Menurutnya, album ini merupakan hadiah kepada para peminat yang selama ini banyak menyokongnya.
Album berkonsepkan easy listening dan lagu cinta itu bakal diterbitkan oleh suaminya bersama trio adik beradik KRU.
``Album ini ada kelainannya berbanding yang terdahulu. Para pendengar akan dapat merasai dan menjiwai setiap lagu dalam album itu nanti.
``Jika mereka mendengar sambil menutup mata pun mereka dapat merasai seolah-olah saya berada di depan mata,'' kata Anita lagi.
Selain itu, Anita juga kini sibuk dengan beberapa rakaman program televisyen untuk musim Hari Raya.[UTUSAN]