Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Tawar RM1j beli Mawi

Written By JOM JALAN on 11/09/05 | Ahad, September 11, 2005

Oleh ABIE ABDULLAH abie@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Sebuah syarikat rakaman sanggup ‘membeli’ Asmawi Ani (Mawi) dengan nilai RM1 juta sebagai bayaran perpindahan sekiranya pihak pengurusan juara Akademi Fantasia 3 itu sanggup melepaskannya.

Tawaran itu dibuat selepas melihat perkembangan drastik karier Mawi, baik jualan album kompilasinya yang melebihi 150,000 unit mahupun tawaran persembahan yang dikatakan artis paling laris di Malaysia ketika ini.

“Kalau dicongak dengan jumlah jualan album Mawi World, syarikat pengeluar secara puratanya boleh untung RM10 bagi setiap unit. Atau sekurang-kurangnya mereka untung RM500,000. Jumlah itu belum dikira daripada bayaran untuk persembahan.

“Bagaimanapun, pengambilan bintang AF3, termasuk Mawi, mempunyai risiko tersendiri kerana secara tradisi kita boleh lihat sejauh mana perkembangan mereka. Kalau muncul AF baru, yang lama mula tenggelam. Saya tidak tahu apa sebabnya, tetapi hakikatnya begitu.

“Jadi dalam kes Mawi, saya boleh katakan ia sebagai jangka pendek. Mungkin setahun dua, tidak lama dan selepas itu akan ada bintang baru. Saya berminat mengambil Mawi berdasarkan pencapaiannya setakat ini,” kata jurucakap syarikat itu.

Menurut wakil syarikat yang berpengalaman sebagai penerbit album ini, dia melihat Mawi boleh mendatangkan hasil lumayan jika bijak mengatur strategi, termasuk menerbitkan album setiap enam bulan sekali secara konsisten dalam tempoh dua tahun.

Namun, secara realitinya dia percaya pihak pengurusan Mawi, Maestro Management & Talent tidak akan melepaskan artis ‘lombong emas’ itu.

Manakala sebuah lagi syarikat rakaman terkenal ketika dihubungi berkata, pihaknya kurang berminat dalam soal bayaran perpindahan ini, sebaliknya lebih suka menjalin kerjasama dengan kedua-dua belah parti.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan fenomena yang dicipta Mawi.

“Program realiti selalunya bermusim dan bintangnya silih berganti. Cuma dalam kes Mawi, impaknya berbeza.

“Malah, dalam penerbitan realiti TV di Malaysia, impak Mawi paling besar. Bukan saja peminat muzik, tetapi merebak ke dalam Parlimen yang menjadikannya topik perbincangan.

“Perkara ini sangat subjektif sama ada ia boleh bertahan lama atau sebaliknya.

“Saya tidak fikir Maestro mahu melepaskan Mawi selepas mereka berusaha membentuk bintang itu. Kami di syarikat rakaman ini pun tidak akan melepaskan dengan mudah artis yang kami bina kerana ia aset syarikat,” kata jurucakap itu.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Operasi Maestro Management & Talent, Freddie Fernandez, berkata pihaknya bersikap terbuka untuk berbincang dalam soal perpindahan pengurusan artis di bawah jagaan mereka.

Bagaimanapun, kata Freddie, tawaran hanya terbuka kepada graduan lain, sebaliknya lebih selesa menguruskan juara AF, termasuk Mawi, di bawah pengurusan mereka.

“Seperti juara AF2, Zahid, kami menerbitkan albumnya sendiri. Begitu juga Mawi, kami berbangga dengan kejayaannya dan kalau boleh, kami mahu kekalkan mereka di bawah penjagaan label Maestro.

“Kalau ditanya mengenai harga, itu saya tidak boleh jawab,” kata Freddie.

Freddie turut bangga dengan kejayaan album Mawi World yang mencipta sejarah dalam industri rakaman tempatan.

Album studio Mawi dijadualkan di pasaran pada 17 Oktober depan.

“Segala perancangan diadakan sekarang, termasuk perbincangan dengan M Nasir dan komposer lain. Mengenai penerbit album, kami belum putuskan siapa bertanggungjawab tetapi kami akan lakukan demi kebaikan Mawi dan industri.

“Cuma konsep album, secara dasarnya kami pilih muzik ketimuran,” katanya.


©The New Straits Times Press (M) Berhad .