Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Nik Aziz tetap bawa Mawi ke Kelantan

Written By JOM JALAN on 13/09/05 | Selasa, September 13, 2005

KOTA BHARU 12 Sept. - Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, kerajaan negeri akan tetap membawa juara Akademi Fantasia 3 (AF3), Asmawi Ani atau Mawi mengadakan persembahan di Kelantan walaupun ada pihak yang tidak setuju.

Menurutnya, pihak-pihak yang tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan negeri itu perlu menyediakan program alternatif. Ini kerana, katanya, tujuan membawa Mawi mengadakan persembahan di Kelantan adalah untuk menarik golongan remaja daripada terlibat dalam gejala sosial dan penyalahgunaan dadah.

``Orang yang tentang (hasrat kerajaan negeri) membawa Mawi, tentanglah. Tetapi, apa program alternatif nak paut anak muda (daripada terjebak gejala sosial dan penyalahgunaan dadah).

``Ini kerana tujuan membawa Mawi adalah untuk bawa orang lain ke arah kebaikan. Dalam Islam tak ada benda diharamkan kecuali ada alternatif,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis ramah mesra bersama 60 orang pelajar tajaan Yayasan Islam Kelantan (YIK) yang akan melanjutkan pengajian mereka ke Asia Barat.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein baru-baru ini menyifatkan parti Pas semakin tertekan apabila sanggup menjemput Mawi mengadakan persembahan di Kelantan.

Hishammuddin berkata, tindakan Pas itu adalah bukti jelas bahawa parti pembangkang tersebut hipokrit dan tidak konsisten dalam perjuangan mereka.

Exco kerajaan negeri, Husam Musa sebelum ini berkata, Mawi akan diundang untuk mengadakan persembahan pada Konsert Amal Tautan Kasih pada 30 September ini.

Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am Pas berkata, beliau `merestui' Mawi mengadakan persembahan di Kelantan kerana berpendapat penyanyi terbabit mempunyai mesej tertentu.

Malah katanya, kenyataan penyanyi tersebut yang tidak lekang mengingatkan orang ramai `world, world juga akhirat jangan lupa' menyamai pemikiran beliau yang mahu orang ramai mengingati akhirat dan menghormati ibu bapa.

``Benda-benda ini saya nak sangat. Sampai sini, kita minta dia (Mawi) azan. Kalau tidak maghrib, isyak. Dia akan azan. Penyanyi lain tak pernah dengar pun azan. Benda-benda begini kita boleh kutip,'' ujarnya.[UTUSAN]