Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Dewan Ulama Pas bantah Kelantan jemput Mawi

Written By JOM JALAN on 15/09/05 | Khamis, September 15, 2005

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD

KUALA TERENGGANU 14 Sept. - Dewan Ulama Pas hari ini membantah tindakan kerajaan Pas Kelantan menjemput juara Akademi Fantasia 3 (AF3), Asmawi Ani atau Mawi mengadakan persembahan di negeri itu.


Ketuanya, Datuk Harun Taib berkata, ini kerana Mawi bukan seorang penyanyi hiburan Islam sebenar, sebaliknya dia adalah hasil produk sebuah rancangan realiti televisyen yang jelas menyimpang daripada ajaran agama.

``Kita mahu penyanyi hiburan alternatif yang solid Islam dan bukannya yang lahir daripada rancangan yang jelas tidak berlandaskan Islam.

``Dewan Ulama tiada halangan sekiranya kerajaan Pas Kelantan menjemput penyanyi yang benar-benar memperjuangkan hiburan Islam sebenar untuk membuat pertunjukan di negeri itu,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Harun mengulas kenyataan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa kerajaan negeri akan tetap membawa Mawi mengadakan persembahan di negeri itu walau pun ada pihak yang tidak setuju.

Kelmarin, Mursyidul Am Pas itu berkata, pihak-pihak yang tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan negeri itu perlu menyediakan program alternatif.

Menurut Nik Abdul Aziz, tujuan membawa Mawi mengadakan persembahan di Kelantan adalah untuk menarik golongan remaja daripada terlibat dalam gejala sosial dan penyalahgunaan dadah.

Exco kerajaan negeri, Husam Musa sebelum ini berkata, Mawi akan diundang untuk mengadakan persembahan pada Konsert Amal Tautan Kasih, 30 September ini.

Sambil memberitahu Dewan Ulama tidak pernah diajak berbincang mengenai perkara itu, Harun berkata, banyak pendekatan lain yang boleh menarik remaja Kelantan mengelakkan diri daripada masalah dadah serta sosial.

Beliau menegaskan, dengan menjemput Mawi mengadakan persembahan, tidak semestinya hasrat tersebut dapat dilaksanakan dengan berkesan.

``Dewan Ulama tidak pernah diberitahu mengenai hasrat kerajaan Kelantan untuk menjemput Mawi mengadakan persembahan di negeri itu.

``Kita hanya mengetahui bahawa kerajaan Kelantan hendak membawa Mawi membuat persembahan, melalui laporan akhbar sahaja,''

Harun menegaskan, tindakan kerajaan Pas Kelantan membawa Mawi ke negeri itu tidak ada kena mengena dengan parti tetapi ia adalah urusan kerajaan negeri itu semata-mata.

Katanya, sepanjang pengetahuannya, kerajaan Pas Kelantan tidak pernah mengemukakan kertas kerja kepada pihak tertinggi parti itu berhubung perkara tersebut.

``Perkara menjemput Mawi ke Kelantan bukan urusan Pas tetapi ia adalah urusan kerajaan Kelantan. Selama ini pun tiada perbincangan dengan parti dan tiada kelulusan mengenainya dibuat,'' ujarnya. [UTUSAN]