WALAUPUN ada kritikan daripada UMNO berhubung tindakan Pas menjemput juara Akademi Fantasia 3 (AF3) untuk mengadakan konsert di Kota Bharu pada 30 September ini, tetapi kritikan lebih hebat datang daripada parti berlabel Islam itu sendiri. Bukan setakat mengkritik, tetapi sampai membantah seperti dilakukan Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib (Utusan Malaysia 15 September).
Harun membantah kerana menganggap Mawi bukan seorang penyanyi hiburan Islam sebenar, sebaliknya dia adalah hasil produk sebuah rancangan realiti televisyen yang jelas menyimpang daripada ajaran Islam.
``Kita mahu penyanyi hiburan alternatif yang solid Islam dan bukannya yang lahir daripada rancangan yang jelas tidak berlandaskan Islam.
``Dewan Ulama tiada halangan sekiranya kerajaan Pas Kelantan menjemput penyanyi yang benar-benar memperjuangkan hiburan Islam sebenar untuk membuat pertunjukan di negeri itu,'' katanya.
Dewan Ulama merupakan badan tertinggi Pas dan dalam kes konsert Mawi ini, badan tertinggi itu tidak dirujuk untuk mendapat pandangan.
``Dewan Ulama tidak pernah diberitahu mengenai hasrat kerajaan Kelantan untuk menjemput Mawi mengadakan persembahan di negeri itu.
``Kita hanya mengetahui bahawa kerajaan Kelantan hendak membawa Mawi membuat persembahan, melalui laporan akhbar sahaja,'' jelas Harun.
Dengan itu beliau menganggap tindakan menjemput Mawi membuat konsert di Kota Bharu itu tidak kena-mengena dengan Pas, tetapi ia urusan kerajaan Kelantan semata-mata.
``Perkara menjemput Mawi ke Kelantan bukan urusan Pas tetapi ia adalah urusan kerajaan Kelantan. Selama ini pun tiada perbincangan dengan parti dan tiada kelulusan mengenainya dibuat,'' ujarnya.
Mungkin bantahan Harun ini boleh dianggap sebagai mewakili suara golongan ulama atau golongan tua dalam Pas yang tidak bersetuju dengan golongan sekular atau golongan muda yang berada di sebalik perubahan pendirian Nik Aziz terhadap hiburan itu. Bagaimanapun, sehingga kini belum ada di kalangan golongan ulama atau golongan tua Pas yang keluar memberi pandangan mengenai konsert Mawi itu kecuali Harun.
Akhbar rasmi Pas pada 16 September lalu mendakwa Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan bersetuju dengan konsert Mawi itu dalam beberapa siri ceramahnya. Didakwa oleh sesetengah pihak golongan sekular atau golongan muda Pas itu pula kebanyakan mereka merupakan orang JIM (Jamaah Islah Malaysia). Mereka dianggap orang yang paling dekat dengan Nik Aziz kini dan mampu mempengaruhinya untuk melakukan beberapa perubahan dalam Pas seperti membenarkan wanita menjadi calon pilihan raya dan bertanding dalam pemilihan parti.
Dikatakan mereka juga di sebalik perubahan pendirian Nik Aziz terhadap hiburan sehingga sampai ke tahap menjemput Mawi mengadakan konsert di Kelantan itu.
Perlu dijelaskan bahawa JIM menurut laman web www.jim.org.my merupakan pertubuhan bawah tanah yang ditubuhkan oleh para penuntut Malaysia di United Kingdom pada tahun 70-an atas nama Islamic Representative Council (IRC). Selepas tamat belajar, mereka kembali dan menubuhkan IRC di Malaysia. Mereka pada mulanya berusaha untuk menguasai Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), tetapi gagal. Kemudian mereka berusaha untuk menguasai Pas, tetapi gagal juga. Setelah misi afiltrasi mereka gagal dalam ABIM dan Pas, mereka menubuhkan JIM. Jadi penubuhan JIM sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pada tahun 1990 berlaku selepas para ahli IRC kecewa dalam usaha mendapatkan kuasa dalam menerajui ABIM dan Pas. Itulah serba ringkas tentang JIM menurut laman webnya.
Kembali kepada konsert Mawi. Secara peribadi penulis menyokong pendirian Nik Aziz membenarkan konsert Mawi di Kelantan dan bersetuju tindakan beliau menyoal balik pihak yang membantah supaya menunjukkan manakah hiburan alternatif jika mereka tidak bersetuju.
``Saya ada terima protes beberapa pihak, tapi saya tanya mereka apa pilihan anda terhadap bentuk hiburan yang ada sekarang ini? Jangan marah saja, tapi tunjukkan alternatif supaya kita dapat menyelamatkan mereka,'' lapor Harakah Daily pada 12 September lalu.
Bercakap tentang hiburan alternatif, mungkin ramai pembaca masih ingat bahawa penulis telah beberapa kali dalam beberapa tahun lalu mengkritik pendirian Pas mengharamkan hiburan tanpa menyediakan alternatif. Kini Nik Aziz menggunakan hujah yang sama untuk menjawab golongan yang membantahnya dalam Pas.
Walaupun menyokong pendirian Nik Aziz berhubung konsert Mawi ini, tetapi ini bukan bererti penulis menolak pendirian Harun. Ini kerana masalah muzik dan lagu merupakan masalah khilafiah yang ulama berbeza pandangan sejak turun-temurun.
Kerana sebab khilafiah, Harun ada hak menyatakan pandangan mengenai konsert Mawi, tetapi beliau tidak boleh memaksa Nik Aziz mengikut pandangannya kerana Nik Aziz sebagai mursyid am Pas dan Menteri Besar lebih berhak untuk membuat keputusan.
Bagaimanapun, agak baik kita meneliti sumber-sumber hukum keras yang mungkin menjadi titik tolak Harun menjadikan hujah menolak konsert Mawi yang dianggap bercanggah dengan Islam.
Sebenarnya pendirian Harun itu adalah tepat dengan hukum-hukum yang diijtihad oleh kebanyakan ulama zaman silam berdasarkan nas-nas daripada al-Quran dan hadis yang ditafsir dan dihurai mengikut pandangan mereka.
Sebagai contoh kita boleh mendapati pandangan paling keras datang daripada beberapa orang sahabat dan tabi'i termasuk Abdullah bin Mas'ud dan Abdullah bin Abbas di mana mereka menganggap lagu itu tergolong daripada perkara terlarang berdasarkan al-Quran dan sunah. (Tafsir al-Qurtubi, juz 14, muka surat 51-52).
Mereka berhujah dengan ayat 6 daripada surah Lukman yang bermaksud: Dan ada di antara manusia: Orang yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada lahwu al-hadis (percakapan-percakapan atau cerita-cerita) yang melalaikan; yang berakibat menyesatkan (dirinya dan orang ramai) daripada agama Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan; dan ada pula orang yang menjadikan agama Allah itu sebagai ejek-ejekan; merekalah orang-orang yang akan beroleh azab yang menghinakan.
Ayat di atas sebenarnya tidak qati'ie atau muktamad kerana para ulama yang menggunakannya untuk membuktikan nyanyian itu terlarang atau haram adalah berdasarkan tafsiran dan huraian mereka kepada ungkapan `lahwu al-hadis' (cerita-cerita atau percakapan-percakapan yang melalaikan). Sedangkan para ulama lain mentafsir dan menghuraikan `lahwu al-hadis dengan pengertian yang berbeza seperti syirik (add-Dhahak) dan semua percakapan yang menyebabkan manusia menjauhi ayat-ayat Allah dan jalan-Nya (Ibnu Jarir at-Tabari).
Sesetengah ulama di kalangan sahabat dan tabi'i turut menggunakan ayat 64 daripada surah al-Isra' di bawah ini untuk membuktikan nyanyian itu haram. Ayat itu bermaksud: Dan provokasilah sesiapa yang engkau dapat memprovokasikannya dengan suaramu; dan kerahlah penyokong-penyokongmu yang berkuda serta yang berjalan kaki untuk mengalahkan mereka; dan turut - campurlah dengan mereka dalam menguruskan harta benda dan anak-anak (mereka); dan janjikanlah mereka (dengan janji-janjimu). Padahal tidak ada yang dijanjikan oleh syaitan itu melainkan tipu daya semata-mata.
Tetapi kedudukan ayat ini juga tidak qati'ie atau muktamad.
Jika merujuk kepada hadis didapati banyak sekali hadis yang mengharamkan nyanyian. Malah hadis kategori ini lebih banyak daripada hadis kategori yang menghalalkan nyanyian. Tetapi kedudukan kedua-dua kategori hadis itu bukan tidak boleh pertikai jika dihalusi perawi dan pembawanya dan ini termasuk hadis yang mengharam atau menghalal penggunaan alat palu seperti kompang dan rebana. Penulis tidak akan membincang lebih lanjut tentang perkara ini kerana sudah banyak kali dibincangkan.
Kerana al-Quran tidak memberi hukum yang qati'ie atau muktamad mengenai nyanyian ini serta hadis pula berbeza-beza, maka tidak dapat tidak para ulama pun berbeza pandangan tentangnya. Bagaimanapun, jika meneliti pandangan dan ijtihad ulama mazhab didapati mereka lebih cenderung kepada pendirian keras tentang nyanyian. Sebagai contoh Imam asy-Syafi'ie dalam kitab al-Umm memfatwakan bahawa nyanyian adalah makruh dan mana-mana lelaki menjadi penyanyi sehingga terkenal dan tersohor, dia tidak sah menjadi saksi, hodoh akhlak/tolol (safih) dan rendah moral (al-Umm, juz 6, muka surat 206). Manakala Imam Abu Hanifah dan ulama-ulama al-Irak lebih keras lagi kerana mereka mengharamkan langsung nyanyian (Syarh an-Nawawi `Ala Sahih Muslim, juz 6, muka surat 182).
Hujah
Berdasarkan hujah-hujah yang dijelaskan di atas menyebabkan terbentuk pendirian yang tidak bertolak ansur di kalangan ramai ulama dahulu dan sekarang ini.
Pada mereka semua hiburan termasuk yang ada kini adalah haram belaka. Harun dan ramai ulama atau golongan tua Pas terpengaruh dengan pendirian keras itu. Pas sebelum perubahan terbaru Nik Aziz juga berpegang dengan pendirian keras ini. Dengan itu tidak hairan jika yang kelam-kabut bila Nik Aziz menyatakan jatuh hati dengan Mawi dan berhasrat untuk membawanya mengadakan konsert di Kelantan adalah orang Pas sendiri. Mereka yang terbiasa dengan hukum lama yang selalu diratib oleh para ulama Pas dalam ceramah mereka terkejut kerana belum bersedia hukum baru yang mesra hiburan.
Liku-liku perjuangan pihak yang ingin membawa hiburan ke dalam Pas boleh dilihat pada kenyataan Dr. Siti Mariah Mahmud, Ketua Penerangan, Dewan Muslimat Pas ini. Beliau berkata, sebelum kontroversi Mawi timbul di dalam Pas, Dewan Harian DMPP telah beberapa kali memikirkan dan bercadang untuk mengadakan konsert dari zaman Ustazah Jamilah menjadi ketua muslimat lagi.
``Saya sendiri pernah membuat saranan ketika itu, kenapa tidak DMPP mengadakan malam seni dan meminta DMP negeri-negeri menyediakan satu persembahan pada malam sebelum muktamar muslimat semasa muktamar diadakan di Terengganu kerana masa itu kita memerintah dan tentu kita boleh dapatkan dewan tertutup untuk acara kesenian muslimat.
``Saranan tersebut tidak diterima kerana risikonya sangat tinggi kepada pimpinan muslimat. Ahli-ahli Pas masih memandang sepi seni dan hiburan ketika itu. Di kalangan muslimat sendiri, ada yang mengatakan kejatuhan Ustazah Jamilah sebagai ketua DMPP, di antara sebabnya kerana semasa upacara perasmian muktamar muslimat lagu Intifadah yang rancak digunakan sebagai latar belakang persembahan multimedia sehingga dikatakan menimbulkan rasa tidak senang kalangan ulama yang bermuktamar bersebelahan dengan Dewan Muslimat,'' kata Dr. Siti Mariah.
Bukan sahaja hiburan tetapi mengadakan forum mengenai seni pun tidak dibenarkan juga. Dr. Mariah menjelaskan, Unit Amal Nisa' di bawah Dr. Lo'Lo' juga bercadang mengadakan wacana dan forum seni tetapi forum tersebut dinasihatkan supaya dibatalkan kerana dikhuatiri pendapat panel wacana mendahului pendapat Syura Ulama.
``Pascamuktamar tahun 2003, apabila Ustazah Kalsom menjadi ketua muslimat, saya pernah membuat kenyataan akhbar yang DMPP bercadang untuk membuat konsert muslimat. Namun ditawakufkan (dihentikan) memandangkan tiada garis panduan daripada ulama dan pimpinan muslimat tidak mahu mengundang kritikan dan tentangan daripada dewan sendiri. Tambahan pula apabila usaha Dewan Pemuda mengorak langkah mengadakan malam seni di Taman Melewar menerima pelbagai kritikan daripada ahli Pas sendiri.
``Setiap kali bila persoalan seni dan hiburan dibangkitkan, respons kita hanyalah hiburan dibolehkan Islam tetapi tidak boleh melanggar batas syarak.
``Harakah sendiri pernah menyiarkan rencana dan wawancara mengenai isu seni dan hiburan. Namun usaha mereka untuk memangkin kita untuk memberi kata putus mengenai seni dan hiburan tidak tercapai.
``Perbincangan kita senantiasa berkisar mengenai alat-alat muzik yang boleh dan tidak boleh dimainkan, sama ada wanita boleh turut berlakon di atas pentas, kalau wanita tidak boleh berlakon bolehkah orang lelaki memakai pakaian wanita dan berlakon sebagai wanita dan sebagainya. Sedangkan realiti dunia seni dan hiburan sudah jauh daripada kerangka pemikiran seperti ini,'' jelasnya.
Menurut Dr. Siti Mariah, tarikan seni dan hiburan begitu kuat serta begitu berakar umbi dan dengan itu Pas memerintah di Kelantan, ia terpaksa `menguruskan seni, hiburan dan kebudayaan dan dalam peringkat awal ia berusaha menghapuskan unsur-unsur syirik di dalam beberapa amalan kebudayaan seperti wayang kulit dan makyung.
Usaha ini sudah berjaya dan kini wayang kulit kembali semula tanpa unsur syirik dan yang tinggal hanya makyung. Makyung bermasalah kerana ramai pemainnya adalah wanita.
Dr. Mariah memuji tindakan Nik Aziz menjemput Mawi mengadakan konsert di Kelantan, tetapi persembahan dalam konsert itu tidak melibatkan kaum wanita.
Beliau menyoal tentang hukum pengharaman penyertaan wanita dalam persembahan hiburan kerana dianggap suara mereka aurat, apakah hukum itu akan dapat bertahan?
``Sampai bilakah hukum wanita tidak boleh memperdengarkan suara merdu akan bertahan? Dalam tahun 60-an atau 70-an saya diberitahu ada pimpinan Pas yang pernah membawa masuk kumpulan El Suraya dari tanah seberang yang masyhur dengan lagu Selimut Putih.
``Bukankah soal suara ialah soal furu' bukan dasar?
``Kalangan ulama (bukan ulama Pas) dan orang Pas sendiri nampaknya boleh menerima artis Siti Nurhaliza kerana secara relatif persembahannya lebih sopan dan kehidupannya sebagai artis ditanggapi bersih. Kalaulah lebih ramai artis boleh membawa imej seperti beliau, mungkin dunia seni dan hiburan tidak akan dipandang sebagai punca kemungkaran,'' soalnya dengan berani. (Harakah, 16-30 September 2005).
Beberapa orang kawan penulis menyatakan kebimbangan mereka terhadap penyertaan Pas dalam menganjur hiburan kerana mungkin akan berubah menjadi galakan tidak langsung dan sekali gus mencetus persaingan tidak sihat dalam bidang hiburan. Padahal bidang hiburan itu sendiri kini berada dalam tahap berlebih-lebihan atau melampau dan perlu dikenakan kawalan berpatutan.