Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Gigil lutut nyanyi depan ayah

Written By JOM JALAN on 10/09/05 | Sabtu, September 10, 2005


Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my

Kegigihan Ramli Sarip berjuang hingga bergelar Papa Rock

KETIKA Ramli Sarip mula memasang impian menjadi artis terkenal, dia dikutuk tidak boleh jadi penyanyi kerana bersuara serak. Pengalaman pun kurang, hanya setakat menyanyi pada majlis kenduri kahwin dan majlis kecil.

Suasana dilalui Ramli ketika itu berbeza dibandingkan pada hari ini. Apakan tidak, remaja sekarang mendapat sokongan keluarga, lebih-lebih lagi jika menyertai realiti TV yang menjadi-jadi sekarang ini.

Namun, Ramli pada zaman remajanya bukan saja tidak berani menyuarakan keinginan itu kepada bapa tercinta malah hendak menyanyi depan arwah bapanya, Sarip Sham, menggigil lututnya.

“Masa dulu, saya malu hendak menyanyi depan ayah kerana saya segan dan hormatkannya sebab arwah dulu mengajar agama. Tetapi dalam pada itu ayah tahu minat saya terhadap seni.

“Maka arwah nasihatkan saya kalau hendak menyanyi juga buat betul-betul jangan hangat-hangat tahi ayam. Caranya itu bukan pula menyuruh ataupun menghalang, semuanya terpulang kepada saya,” katanya.

Itu peristiwa 35 tahun lalu tetapi sekarang Ramli yang dikenali sebagai Papa Rock disegani dalam industri muzik kerana ketulenannya dalam berkarya dan suara serak basahnya yang dulu dikecam kini menjadi igauan ramai.

Ramli yang ditemui pada pelancaran album kompilasi, Ruh Zaman, baru-baru ini, sempat mengenang kembali perjalanan seninya sejak remaja sehingga sekarang. Setiap lagu nyanyiannya bukan ilham kosong tetapi ada cerita yang boleh dikongsi bersama pendengar.

Album itu memuatkan 30 lagu popular dan terbaik dari zaman Ramli bersama Sweet Charity sehingga kemunculannya secara solo.

Antara lagu yang disisipkan, Teratai, Kamelia, Sejuta Wajah, Batu, Ribut 10.49 Pagi, Istilah Bercinta, Kumiliki Bayanganmu (duet dengan Francisca Peter), Penunggu, Senandung Berbudi (Jay Jay), Kasih Tak Kesampaian, Lagu Zaman (S M Salim), Nyanyian Serambi, Warisan Alam, Kau Yang Satu, Orang Kota, Syair Laila Majnun (Jamal Abdillah), Blues Felda Blues dan Doa Buat Kekasih (Kathy Ibrahim).

“Ilham menghasilkan lagu Blues Felda Blues tercetus selepas selalu sangat buat persembahan di Felda iaitu ketika bersama Sweet Charity sehingga sekarang.

“Lalu saya terfikir apa akan jadi kepada peneroka Felda apabila anak-anak mereka keluar bekerja di bandar. Lagu itu dimuatkan dalam album Rentak Hidup.

“Penunggu pula tidak popular di kalangan DJ radio tetapi menjadi kegemaran di kalangan rockers. Dalam setiap persembahan ia menjadi lagu wajib kumpulan rock.

“Lagu ini terpengaruh dengan ilmu hitam yang menjadi tema filem klasik, Black Magic, lakonan Hussein Abu Hassan. Ia menceritakan wanita terkena sihir ilmu hitam. Penunggu digam kerana dikatakan berunsur syirik,” kata Ramli.

Jikalau Berkasih pula boleh dikatakan lagu ‘berhantu’ kerana ia popular sejak zaman Ramli bersama Sweet Charity dan lagu itu kemudian dirakamkan semula mengikut cara Ramli apabila dia menyisipkan lagu itu dalam album solonya.

“Album itu berjaya dijual melebihi 25,000 unit. Tak tahulah sama ada peminat membeli album itu kerana Ramli Sarip ataupun Sweet Charity,” katanya lagi.

Ramli juga berasa seronok merakamkan semula lagu Kumuliki Bayanganmu kerana keunikan lagu itu dan ‘feel’ ketika menyanyikan lagu itu. Dendangan asal lagu itu Ramli bersama Kathy Ibrahim.

Dalam banyak lagu, rakaman lagu Syair Laila Majnun paling susah kerana Ramli cenderung kepada rock Timur blues manakala Jamal Abdillah pula lebih kepada qasidah dan pop etnik Timur.

“Semasa rakaman saya melontarkan suara cara saya dan Jamal dengan gayanya. Kami gabungkan kedua-duanya lalu membentuk satu irama yang amat menarik. Susah sikit hendak buat satu melodi kerana mungkin banyak benda kena ubah,” katanya lagi.

Dalam perjuangannya selama ini, Ramli yang sudah biasa dengan irama ghazal dan dondang sayang tidak malu mengaku dirinya Melayu yang berpegang kepada adat Timur.

Ramli juga sudah berbelas tahun berkempen hapuskan dadah. Dia melakukannya bukan kerana desakan sesiapa tetapi dia berasa perlu buat sesuatu demi menyelamatkan bangsanya.

Insan unik ini juga tidak mahu menilai sumbangannya kepada dunia sebaliknya meminta peminat menjadi juri menilai pembabitannya selama 35 tahun dalam industri seni.

“Saya tidak layak untuk menilai hasil kerja sendiri. Saya bagi kepada peminat untuk melihat sejauh mana perjalanan dan pencapaian kerjaya saya selama ini.

“Selain itu saya juga membiasakan diri saya untuk hidup sendiri. Sebab itu saya tidak terlalu bergantung kepada syarikat rakaman kerana mereka pun ada masalah jadi saya dan syarikat kena tolong-menolong,” kata.


©The New Straits Times Press (M) Berhad